|
MAJORITI SAMBUT BAIK KEPUTUSAN SALLEH |
|
|
|
|
Written by Administrator
|
|
Tuesday, 10 November 2009 08:00 |
|

KOTA KINABALU: Majoriti ahli Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) di negeri ini menyambut baik keputusan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Tun Said untuk tidak bertanding jawatan Timbalan Yang Dipertua USIA pada mesyuarat agung 13 hingga 15 November ini. Ketua USIA Bahagian Kuala Penyu, Awang Hashim Awang Damit berkata, keputusan Salleh yang juga Ketua Umno bahagian Kota Belud perlu dihormati di mana beliau telah meletakkan kepentingan perpaduan masyarakat Islam lebih utama daripada jawatan.
"Ahli USIA perlu menghormati keputusan ini dengan berlapang dada di mana ianya mencerminkan kesungguhan pemimpin yang lebih mengutamakan perpaduan dari jawatan yang bakal di pertandingkan," katanya. Salleh ketika mengumumkan perkara ini kami berkata, beliau membuat keputusan tersebut bagi memberikan tumpuan terhadap tanggungjawabnya terhadap parti bagi membantu Ketua Menteri Datuk Seri Musa Haji Aman untuk memperkukuhkan Umno di Sabah. Sementara itu, perwakilan USIA dari Bahagian Beluran, Haji Lokman Datuk Madalis pula berkata USIA bahagian itu menghargai dan menghormati keputusan Salleh yang yang beliau sifatkan lebih kepada komitmen beliau untuk memantapkan perpaduan masyarakat Islam di negeri ini. "Jika berlaku pertandingan kita tidak menafikan akan berlaku sedikit perpecahan kerana perwakilan akan menyokong calon mereka masing-masing, justeru keputusan ini mencerminkan kematangan dan kejujuran Salleh sebagai tokoh pemimpin yang mempunyai wawasan untuk sama-sama melihat USIA sebagai badan dakwah untuk bergerak maju ke hadapan," katanya. Menurut Lokman dengan hanya tinggal 2 calon bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua ketika ini iaitu penyandangnya Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin dan Tan Sri Ampong Puyun, usaha untuk berkompromi boleh dilakukan tanpa sebarang pertandingan kecuali bagi jawatan jawatan Naib-Naib Yang Dipertua dan ahli majlis tertinggi yang terlalu ramai menawarkan diri untuk bertanding bagi mengisi jawatan jawatan tersebut. |
|
Last Updated on Tuesday, 10 November 2009 08:03 |