| TENOM: Pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) diminta mengiklankan harga pasaran semua jenis pisang untuk dijadikan panduan para pekebun kecil. Seorang pekebun kecil di sini, Basir Abdullah berkata harga pasaran pisang tidak diketahui oleh kalangan pekebun menyebabkan harga hasil tanaman mereka adakalanya ditentukan sewenang-wenangnya oleh pemborong. "Adalah lebih baik kalau pihak kerajaan melalui agensi berkaitan dapat mengeluarkan harga pasaran pisang pada setiap minggu seperti yang dilakukan terhadap harga getah dan koko," katanya. Menurut Basir, adalah tidak adil kalau harga pasaran pisang ditentukan oleh pihak pemborong disebabkan para pekebun tidak mempunyai maklumat tentang harga sebenar hasil pertanian itu di pasaran. "Ketiadaan maklumat mengenai harga semasa menyebabkan ada di antara pekebun tertipu yang kemudiannya boleh menjejaskan pendapatan mereka," katanya. Basir seterusnya menegaskan, pekebun kecil juga mengharapkan agar kerajaan dapat mewujudkan sebuah agensi yang bertanggungjawab memantau para pemborong bagi menyelaraskan harga pasaran pisang di negara ini. Menurut Basir lagi, persaingan pemborong yang datang dari luar daerah juga menyebabkan harga pasaran pisang tidak stabil dan dalam konteks ini para pekebun kecil tidak mempunyai kuasa meletakkan harga yang sepatutnya. "Selain daripada membuat pemantauan harga, agensi seperti Pertubuhan Peladang juga sewajarnya dilantik untuk membeli semua hasil tanaman orang kampung supaya wujud pusat pemasaran dengan harga yang stabil. Kemudahan ini juga diperlukan oleh para pekebun yang tidak terdedah kepada maklumat-maklumat pasaran," katanya. Sementara itu, Basir menyatakan bahawa keluaran tanaman pisang di sini semakin meningkat ekoran banyak permintaan dari pemborong namun ketiadaan jadual tetap pembelian hasil pertanian itu menjadi masalah yang tersendiri bagi para pekebun pisang. "Memang ada banyak pemborong datang ke kampung-kampung namun ketiadaan jadual tetap menyebabkan terdapat pekebun mengalami kerugian apabila hasil mereka terbiar berhari-hari," katanya. |
| Last Updated on Tuesday, 12 May 2009 10:15 |





