![]() Oleh : Harun Tafsir. Tidak terbayangkan betapa berat beban hidup ini, jika manusia tidak dilengkapi dengan kemampuan “menghibur diri”. Manusia hanya akan melihat derita dan masalah. Melihat senarai derita itu, panjang sejauh-jauh mata memandang. Menatap senarai masalah itu, sambung-menyambung tanpa henti sejak manusia lahir sehingga mati. Tetapi jika hidup hanya bertabur derita, pasti manusia tidak akan mampu bertahan. Begitu lahir, ia akan langsung mati. Sebahagian dari hidup ini, tentulah berisi dari kebalikan derita, yaitu bahagia, walau hanya sementara. Maka antara derita dan bahagia, pasti akan silih berganti. Inilah yang membuat failasuf seperti Sartre amat bingung. Mengapa manusia boleh bertahan hidup dalam derita tanpa merusak diri. Tentu saja fakta ini sangat mengherankan baginya. Banyak orang tergoda untuk mati, sehingga berani bunuh diri, kerana derita yang dirasa tiada penghujungnya. Tetapi realitinya lebih banyak orang berani hidup daripada berani mati. Hal demikian ini tentunya boleh menjadi bukti yang nyata bahawa di dalam hidup, seseorang boleh menahan derita ataupun menerima bahagia, bila-bila masa, di manapun ia berada. Percayalah hidup ini tidak akan selamanya menderita, kerana dunia bukanlah neraka. Demikian juga hidup ini tidak akan selamanya bahagia, kerana dunia bukanlah syurga. Arwah Atuk dahulu pernah menasihati saya, bahawa salah satu cara untuk menahan penderitaan adalah dengan cara ”menempa diri”. Nasehat Arwah Atuk tersebut saya terjemahkan dalam bentuk suatu cara, yang saya bahasakan dengan ”menghibur atau menempa diri ”. Menghibur atau menempa diri ini berarti tidak larut dalam kesedihan, ketika menghadapi suatu masalah. Kerana larut dalam kesedihan akan menyebabkan manusia menggelabah, menuding jari dan menyalahkan orang lain. Dan secara ekstremnya akan merusak diri sendiri ataupun mengganggu orang lain. Secara jujur, hingga saat ini, jurus menghibur atau menempa diri ini banyak membantu saya menghadapi dan mengatasi masalah. Saya tidak segan untuk menghibur dan menempa diri, ketika menghadapi sebarang masalah. Baik berupa kekecewaan kerana harapan tidak dapat dicapai, tidak memperoleh sesuatu hak yang mestinya diterima ataupun kerana suatu kegagalan. Dengan cara dan sikap itulah akhirnya saya mampu menyajikan artikel ini. Suatu fenomena hidup telah saya alami ketika beberapa bulan akhir-akhir ini menjelang berakhirnya tahun 2011, rezki yang saya terima jauh berkurang. Dan yang lebih menyedihkan lagi, kekurangan rezki itu diikuti oleh meningkatnya tuntutan keperluan asas yang mesti saya tanggung dan tunaikan, bukan tuntutan kemewahan ataupun keinginan bermegahan. Masalah yang menimpa ini terasa tidak tertanggungkan, kerana jalan penyelesaiannya tiada cara lain kecuali dengan rezki yang berupa wang. Saya tidak pernah menyalahkan sesiapapun dan tidak pernah menetapkan seseorang sebagai punca merosotnya rezki saya, mungkin ini peringatan Tuhan, agar saya tidak selalu mengharapkan panas sehingga petang, kerana hujan boleh turun di tengah hari. Bingung dan sedih itu memang ada, tetapi saya cuba redam dengan jurus menghibur dan menempa diri. Ingatlah sebelum ini rezkimu ada. Lihatlah orang yang rezkinya lebih sedikit dari engkau. Benar pula anjuran para cerdik pandai, bahawa ”dalam perkara ibadah tengoklah yang di atasmu...dan dalam perkara rezki tengoklah yang di bawahmu ...” Pelan-pelan saya hapus masalah itu dari pikiran. Rezki yang berkurang itu akan tetap berkurang, walapun bersedih sehingga menitikkan airmata darah sekalipun. Saya cuba alihkan pikiran itu dengan menatap luasnya samudera di Tanjung Lipat, yang mengajarkan kepada saya, bahawa semasa ombak lembut menyapu pantai ataupun ombak menggelora menghantam tanah yang landai, samudera itu tetap luas. Tidak pernah berubah. Saya alihkan pandangan menatap keteguhan Gunung Kinabalu, yang tertancap tegar walau diguncang prahara yang membadai ataupun diusap oleh semilirnya angin sepoi-sepoi basah. Saya suka menatap langit yang tidak pernah bosan menaungi alam dunia, walau kadang disaput oleh awan yang kelabu, mendung yang menghantar hujan. Sungguh luas alam dunia ini. Begitu luasnya sehingga apalah artinya berbanding masalah yang saya hadapi. Saya cuba mengembangkan dada seluas yang saya boleh lakukan. Saya nyatakan kepada diri sendiri, menghibur dan menempa diri sendiri, bahawa masalah yang sedang saya hadapi itu terlalu kecil untuk dipikirkan. Saya yakin “bersama datangnya kesukaraan akan teriring di belakangnya kemudahan…” Keyakinan ini mendatangkan kegembiraan dan harapan. Lebih-lebih lagi jika teringat, bahawa “ sesuatu yang terasa menyusahkan, akan membawa banyak hikmah yang dapat dipetik disebaliknya. Dan sesuatu yang menggembirakan, mungkin banyak mudarat mengiringinya.” Yang pahit itu dapat menjadi ubat. Dan yang manis itu boleh menimbulkan penyakit. Saya teringat kembali suatu masa dahulu, ketika masih menuntut di Ma’had Tahfidz Al-Qur’an antara tahun 1970 - 1974, pernah suatu ketika Ustaz membawa saya ke tepi sebuah tasik. Anehnya Ustaz menyuruh saya membawa segenggam garam dan sebuah cawan. Tanpa banyak tanya saya bawa apa yang Ustaz suruh. Ketika sampai di tepi tasik, Ustaz menyuruh saya mengambil air dari tasik dengan cawan dan disuruhnya saya membubuhkan setengah garam yang saya bawa. Setelah itu Ustaz menyuruh saya minum air dalam cawan yang sudah dibubuh garam. Kemudian Ustaz bertanya : “Apa yang kamu rasa ?”. Jawab saya : “Sangat masin Ustaz.” Kemudian Ustaz menyuruh saya melemparkan garam yang masih tersisa ke dalam tasik. Ustazpun kemudian menyuruh saya minum air dari tasik setelah saya taburkan sisa garam yang saya bawa ke dalamnya, dan bertanya kepada saya : “Apa yang kamu rasa ?” Saya jawab : “Airnya tawar, tidak masin”. Ustazpun berkata sambil tersenyum : “Wahai muridku ! Garam dan air itulah perumpamaan bagaimana kita menghadapi sesuatu masalah. Air dalam cawan dan air dalam tasik perumpamaan hati kita, dan garam seumpama masalah yang kita hadapi. Kalau masalah itu kamu sikapi dengan kesabaran yang sedikit, seperti air dalam cawan, maka masalah akan terasa sangat besar. Tetapi kalau sikap kita menghadapi masalah seperti luasnya air dalam tasik, maka masalah itu akan tenggelam dalam kesabaran hati kita, sehingga tidak akan mempengaruhi apapun sikap kita.” Hati ini tiba-tiba terbimbing untuk menuju kemungkinan dan harapan yang luas tanpa batas. Hati dan pikiran ini akhirnya tidak cuma tergadai untuk soal-soal yang terlalu remeh jika bandingannya adalah seluruh hidup kita. Dari fenomena akhir tahun 2011 yang saya hadapi, teringat saya sebuah lagu, yang liriknya seperti berikut : Duka derita, duka laraku di dunia Tidaklah aku sesali dan juga takkan aku tangisi Sesakit apapun yang kurasakaan dalam hidupku Semoga tak membuatku kehilangan jernih jiwaku Andaikan dunia mengusir aku dari buminya Tidaklah aku merintih dan juga takkan aku mengemis Ketidak adilan yang ditimpakan oleh manusia Bukanlah alasan bagiku untuk membalasnya Reff. : Asalkan karena itu Tuhan menjadi sayang padaku Segala kehendak-Nya menjadi syurga bagi cintaku Bukanlah apa kata manusia yang kuikuti Tetapi pandangan Allah Tuhanku yang kutakuti Ada tiadaku semata-mata milik-Nya jua Ada tiadaku semata-mata milik-Nya jua Walaupun dalam usia yang sudah senja, wujud dalam diri suatu keazaman untuk tahun depan 2012, saya akan terbang tinggi, mengepakkan sayap. Berlari lebih laju, untuk menggapai kurnia Tuhan dengan lebih meningkatkan usaha yang mungkin selama ini tidak pernah melintas dalam fikiran, kerana keasyikan menjalani rutinity berkongsi ilmu yang menyita hampir seluruh waktu dan perasaan cukup menerima belas ihsan dari orang, sehingga melunturkan semangat juang untuk mencari rezki lebih guna melaksanakan tanggung jawab memenuhi tuntutan keperluan asas kehidupan, bukan kemewahan dan bermegah dalam kehidupan, sekedar meneruskan hidup yang tinggal beberapa saat lagi. Yaaah, banyak sekali masalah sederhana yang kita biarkan menyita hampir seluruh pikiran, padahal masalah itu murah sekali harganya jika bandingannya adalah seluruh dari kehidupan dan melimpah ruahnya kurnia Tuhan. Jika semua yang kita kehendaki dapat kita miliki, darimana kita belajar KEDERMAWANAN dan KEIKHLASAN ? Jika semua yang kita impikan harus segera terwujud, darimana kita belajar KESABARAN ? Jika setiap doa yang kita panjatkan langsung dikabulkan, bagaimana kita dapat belajar BERIKHTIAR ? Jika kehidupan kita selalu bahagia, bagaimana kita mengenal ALLAH SWT lebih dekat ? Tetaplah yakin dan percaya bahwa segala ketentuan-NYA adalah YANG TERBAIK UNTUK KITA. Selamat jalan tahun 2011 Selamat datang tahun 2012 Faidza azamta fa tawakkal alallah. Pada-Mu ya Allah aku berazam dan kepada-Mu jua aku berserah diri. Kampung Likas, akhir 2011. ------ ~~~~~~~~~~ |





