Ops Pasir Elemen Penting Jamin Keselamatan Perairan Timur Sabah PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Tuesday, 26 January 2010 23:31

SANDAKAN: Pelaksanaan Ops Pasir sejak 10 tahun lepas di perairan pantai timur Sabah masih relevan dan menjadi elemen penting dalam menentukan keselamatan di perairan itu, kata Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Azizan Ariffin.
Beliau berkata operasi tersebut telah dijalankan dengan baik oleh ATM bersama agensi keselamatan yang lain dalam menangani segala ancaman keselamatan.
"Operasi ini masih relevan dan ia akan diteruskan hinggalah kita menerima arahan daripada kerajaan untuk menghentikannya.
"Kita perlu menentukan keselamatan di kawasan itu terutama untuk memberi keyakinan kepada rakyat di negeri ini, pelabur dan pelancong asing," katanya kepada pemberita selepas melawat Markas Taktikal Ops Pasir Utara di Kem Pulau Berhala di sini Selasa.
Azizan berkata dalam lawatan dua harinya sejak semalam ke kawasan pelaksanaan Ops Pasir di perairan timur Sabah yang membabitkan sektor selatan dan utara, beliau berpuas hati dengan aspek pengendalian operasi tersebut.
"Anggota ATM yang terlibat dalam pelaksanaan operasi ini komited untuk menentukan kawasan perairan, kepulauan dan pesisir pantai di timur Sabah berada dalam keadaan selamat.
"Hasil lawatan ini, saya melihat apa yang kita buat sekarang adalah mencukupi dalam menentukan keselamatan di kawasan itu dan kita memberi jaminan akan sentiasa menentukan keadaan aman kepada rakyat di negeri ini," katanya.
Berhubung notis 'warden' yang dikeluarkan kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur pada 15 Jan lepas, Azizan berkata ia adalah nasihat perjalanan biasa dan negara lain juga ada mengeluarkannya.
Nasihat perjalanan itu meminta rakyat asing agar berwaspada terhadap kemungkinan serangan pengganas di kawasan perairan timur Sabah.
"Ia tidak hanya dikeluarkan pada masa sekarang tetapi pernah dikeluarkan sebelum ini.
"Pasukan keselamatan yang terlibat dalam pelaksanaan operasi di perairan timur Sabah terdiri ATM, polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bersama agensi penguatkuasaan yang lain sentiasa berusaha memastikan keselamatan di kawasan itu berada di tahap yang terbaik.
"Ini termasuk menentukan keselamatan pelancong dari luar negara yang mengunjungi kawasan itu," kata Azizan.

Last Updated on Tuesday, 26 January 2010 23:32
 

Weather

Sabah Travel Map Guide

Hotel Booking & Reservations