| Majikan Diminta Ambil Inisiatif Tingkatkan Keselamatan Pekerja Di Jalan Raya |
|
|
|
| Written by Administrator |
| Monday, 25 January 2010 23:37 |
|
KOTA KINABALU: Majikan digesa mengambil inisiatif dalam mempertingkatkan keselamatan pekerja bukan saja di tempat kerja, tetapi juga di jalan raya.
Menggesa demikian, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) Tan Sri Lee Lam Thye berkata hampir 50 peratus daripada jumlah kes kemalangan industri yang dilaporkan setiap tahun di seluruh negara merupakan kemalangan yang berlaku dalam perjalanan ke tempat kerja. "Majikan mungkin tidak sedar tentang hal ini dan memberi fokus terhadap keselamatan di tempat kerja saja. "Mulai sekarang, saya berharap majikan menyedari masalah ini dan mengambil inisiatif untuk menganjurkan kursus-kursus keselamatan di jalan raya, keselamatan pemandu dan keselamatan penunggang motosikal yang terdiri daripada pekerja mereka," katanya kepada pemberita selepas Seminar Niosh untuk Media di sini pada Isnin. Lee juga berkata Niosh sedia membantu majikan dalam penganjuran program keselamatan di jalan raya yang melibatkan pekerja mereka. Sementara itu, Lee berkata kes kemalangan industri di negara ini semakin berkurangan setiap tahun dalam tempoh lapan tahun sejak 2000. Katanya, sebanyak 35,947 kes industri dilaporkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada 2008, kurang 39,439 kes berbanding lapan tahun sebelumnya. |
| Last Updated on Monday, 25 January 2010 23:38 |









