JANGAN LEKA SUASANA TENANG PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 25 January 2010 23:20

TAWAU: Anggota tentera diingatkan supaya tidak leka dengan suasana "tenang" khususnya di perairan pantai timur Sabah, sebaliknya sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan, kata Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Azizan Ariffin.
  Beliau berkata langkah itu penting memandangkan landskap geo-strategik dan potensi ancaman keselamatan yang tidak menentu di kawasan itu ketika ini.
  "Peringatan ini kita buat di mana pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab terus mengintai peluang untuk mengambil kesempatan atas kelalaian atau kelemahan kita," katanya ketika berucap pada majlis perasmian bangunan baru Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (Pangkalan Operasi Hadapan) (MK ATB 2) di Kem Kukusan, dekat sini, pada Isnin.
  Katanya tahap kewaspadaan di kawasan Ops Pasir (operasi khas mencegah jenayah dan pencerobohan di perairan Malaysia) seharusnya berada pada tahap yang tinggi pada bila-bila masa demi menjamin kedaulatan dan kepentingan negara.
  "Bagi memenuhi matlamat tersebut, saya mengingatkan kepada seluruh warga ATB 2 supaya sentiasa memelihara disiplin dan mutu tatatertib yang tinggi bagi memastikan imej ATM sentiasa dihormati oleh penduduk tempatan, rakan dari agensi lain dan para pelancong," katanya.
  Azizan berkata kes salah laku dan pelanggaran disiplin di kawasan operasi boleh menjejas reputasi perkhidmatan ATM.
  Bangunan MK ATB2 yang baru itu akan berfungsi sebagai bilik operasi pusat pemerintahan dan kawalan bersama wilayah, yang mengandungi sistem komunikasi berintegrasi yang dikenali sebagai "MASURI" dan sistem radar inisiatif 1206 yang merangkumi sistem pengawasan maritim berintegrasi dan sistem berpusat.
  Beliau yakin peralatan moden yang berteknologi tinggi akan membantu memperkasakan kelancaran operasi MK ATB2 daripada segi pentadbiran, kawalan, komunikasi dan maklumat.
  Bercakap kepada pemberita kemudian, Azizan berkata tahap keselamatan di kawasan pantai timur Sabah amat memuaskan sejak operasi Ops Pasir dilancarkan di kawasan itu lebih 10 tahun yang lepas.
  "Selepas peristiwa penculikan 21 pelancong asing di Pulau Sipadan pada 23 April 2000 dan 10 Sept 2000 di Pulau Pandanan, Alhamdulillah kita tiada lagi mendengar peristiwa seumpama itu...tetapi jangan pula kita leka," katanya.
  Azizan berkata berikutan dua kes penculikan itu, ATM telah menempatkan anggotanya di 21 pulau dan lima lokasi persisiran pantai bagi menjayakan operasi Ops Pasir.
Last Updated on Monday, 25 January 2010 23:24
 

Weather

Sabah Travel Map Guide

Hotel Booking & Reservations