|

Musa dan Bung Moktar merasmikan gimik perasmian KHADUM sambil diperhatikan oleh Juslie (dari kiri), Zakaria, Pegawai Daerah Kinabatangan, Abdul Latif Kandok, Peter Pang, Saddi dan Masiung (kiri) kelmarin.
KINABATANGAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata pemimpin Barisan Nasional (BN) yang mementingkan diri dan peribadi semata-mata umpama `gunting dalam lipatan' dan tidak boleh dibiarkan kerana ia boleh merosakkan parti dan kerajaan. Sehubungan itu, beliau membidas golongan sedemikian yang hanya tahu mengkritik tetapi tidak mahu membantu. "Pemimpin seperti ini hanya akan merosakkan parti dan kerajaan kerana mereka asyik memikirkan kepentingan diri daripada rakyat dan parti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Khidmat Masyarakat (KHADUM) Parlimen Kinabatangan di Dataran Kota Kinabatangan, pagi kelmarin.
Musa yang juga Pengerusi BN negeri Sabah berkata setiap pemimpin tidak seharusnya hanya mengkritik parti dan kerajaan, sebaliknya sama-sama membantu memperbetulkan keadaan jika ada kepincangan. Katanya, sebagai pemimpin BN, mereka sepatutnya tahu saluran yang perlu dilakukan termasuklah duduk bersemuka dan berbincang. "Kita ini dalam keluarga besar, demi menjaga kehormanian dan konsep parti BN, maka sewajarnya kita duduk membincangkan isu yang timbul, bukannya menjadikan saluran media untuk mengkritik kerajaan dan parti,’ tegasnya. Dalam pada itu, Musa juga mahu semua wakil-wakil rakyat sama ada Parlimen atau Dewan Undangan \Negeri agar turun padang mendengar permasalahan rakyat. "Saya telah berulang kali mengingatkan wakil-wakil rakyat BN ini agar terus berkhidmat kepada rakyat, bukannya bangga dengan gelaran Yang Berhormat (YB) itu," katanya, ambil menjelaskan bahawa gelaran YB itu sebaiknya dirujuk sebagai Yang Berkhidmat kepada rakyat. Beliau berkata setiap pemimpin dipilih oleh rakyat, justeru sewajarnya berkhidmat membela nasib rakyat. Musa turut mengulas isu tanah di negeri ini dan kerajaan telah meluluskan Rang Undang-Undang Tanah Negeri Sabah dalam persidangan baru-baru ini. "Pelaksanaan rang undang-undang baru ini akan dijalankan bermula Januari tahun depan yang mana geran tanah berkelompok berkenaan akan dikeluar satu dan ia tidak boleh dijual kepada mana-mana pihak,’ jelasnya. Sebelum itu, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin mahu semua pemimpin agar bersatu padu dan melupakan sengketa serta perbezaan pendapat untuk kepentingan rakyat. "Kita buang yang keruh, ambil yang jernih.. kita lupakan apa yang pernah berlaku sebaliknya memikirkan rakyat dan memajukan daerah Kinabatangan ini,’ katanya. Beliau berkata setiap orang tidak harus memikirkan kepentingan peribadi, sebaliknya memikirkan nasib rakyat di kawasan masing-masing. Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno mengajak kepada semua pemimpin bersama-samanya membelah nasib rakyat di daerah ini. |