PAPAR: Bidang sukan bukan sahaja medan melahirkan ahli sukan semata-mata, tetapi sebenarnya juga berperanan menjadi landasan memupuk perpaduan antara kaum dan mewujudkan budaya hidup sihat di kalangan rakyat.

Ahli Parlimen Papar, Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata menerusi sukan, semua rakyat dapat bersatu dan berinteraksi tanpa mengira pangkat, budaya, agama, bangsa dan pendidikan serta mampu menangani masalah sosial.

Katanya, kejohanan sukan sepak takraw di daerah ini dapat membantu memartabatkan bidang sukan itu sendiri.

“Ia juga memberi manfaat besar kepada Sabah ke arah melahirkan ahli sukan berbakat serta dapat bersaing di peringkat lebih tinggi seperti kejohanan kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Pemilihan Papar sebagai tuan rumah membuktikan keyakinan serta kepercayaan Persatuan Sepak Takraw Negeri Sabah (ASTAKA) dan kita berharap ASTAKA dapat melaksana tanggungjawabnya serta memanfaatkan peluang itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Kejohanan Sepaktrakraw Remaja Sabah 2006 di Dewan Masyarakat Papar semalam. Kejohanan tersebut bermula pada hari semalam berakhir esok.

Enam pasukan menyertai kejohanan tersebut terdiri pasukan Pantai Barat Selatan, Pantai Barat Utara, Pedalaman Atas, Pedalaman Bawah, Tawau dan Akademi Sepaktakraw Astaka 2010. Kejohanan adalan anjuran ASTAKA dengan Jabatan Pelajaran Sabah.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan negeri, Penyuki Matta, Naib Presiden ASTAKA, Datu Jafrin Datu Anggol, dan Setiausaha Agung, Ag Raini Ag Hashim.

Rosnah berkata secara umumnya sukan sepak takraw adalah permainan tradisi dan melalui kejohanan seumpama itu ianya boleh membantu memartabatkan sukan ini kepada satu taraf yang tinggi.

“Penganjuran kejohanan seumpama ini pada dasarnya memberi makna yang besar dan bermanfaat bagi mempastikan sepak takraw terus diminati dan dipelopori semua pencinta sukan ini,” katanya.

Beliau menambah, melalui kejohanan ini pasti dapat melahirkan bakat baru yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.



Rosnah bersalaman dengan pemain sambil diiringi Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan negeri, Penyuki Matta serta Naib Presiden ASTAKA, Datu Jafrin Datu Anggol.