KOTA BELUD: Bekas Ketua Menteri Sabah , Datuk Seri Salleh Said Keruak menggariskan tiga perkara penting untuk dijadikan panduan oleh umat Islam dalam menjalankan kegiatan dakwah Islamiah.

Katanya, perkara utama ialah dakwah hendaklah dilaksana dengan niat ikhlas tanpa niat lain melainkan untuk menegakkan syiar Islam.

“Kedua, umat Islam perlu memperbanyakkan ilmu pengetahuan sama ada ilmu pengetahuan Islam mahupun ilmu lain bagi memudahkan usaha meningkatkan syiar Islam lebih berkesan.

“Dan ketiga umat Islam perlu menyesuaikan pendekatan dakwah dengan cara yang dapat diterima oleh masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Minggu Festival Dakwah Islamiah daerah Kota Belud di sini malam tadi.

Daerah Kota Belud merupakan satu-satunya daerah di Sabah yang menganjurkan program berkenaan yang diperkenalkan sejak tahun 2004. Ia dijalankan selama seminggu dengan pelbagai kegiatan keagamaan dan acara kemuncaknya pada sambutan Hari Raya Haji, 31 Disember ini.

Hadir sama pada majlis itu Pegawai Daerah Kota Belud, Edris Yahya.

Salleh yang juga Ahli Parlimen Kota Belud berkata tiga aspek berkenaan menjadi prasyarat bagi perkembangan dakwah, sekali gus untuk meningkatkan syiar Islam di negeri ini.

Menurutnya, program pembangunan dakwah adalah kewajipan bagi semua umat Islam dan ia perlu dijalankan secara bijaksana menerusi pendekatan yang dapat diterima dengan sepenuh hati oleh masyarakat Islam.

“Kita tidak boleh menggunakan pendekatan kekerasan atau memaksa umat Islam mengikut sesuatu. Kita perlu bersifat fleksibel dalam pendekatan yang dijalankan,” katanya.

Salleh memuji inisiatif menganjurkan festival berkenaan yang disifatkannya sebagai bukti kesungguhan umat Islam dalam program pembangunan dakwah. – ENDS



Salleh menerima cenderakenangan daripada Edris selepas merasmikan majlis itu.



Salleh menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta yang turut menjayakan festival berkenaan.



Salleh ketika berucap merasmikan Festival Dakwah Islamiah Kota Belud 2006.



Persembahan nasyid oleh kumpulan nasyid daerah Kota Belud



Johan deklamasi puisi merdeka, Dulamid Hussin turut mendeklamasikan puisi pada malam berkenaan.



Salleh bersalaman dengan sebahagian yang hadir pada majlis itu.



Satu lagi kumpulan nasyid yang mengadakan persembahan nasyid pada festival itu.