RANAU: Projek pembinaan bangunan Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) Cawangan Ranau yang bernilai RM4.5 juta dijangka siap sepenuhnya Mac tahun depan.

Pembinaan bangunan itu di tanah seluas 2 ekar yang dimulakan sejak akhir tahun lalu, kini siap 75 peratus.

Dengan keluasan 24,000 kaki persegi, setelah siap PNS Cawangan Ranau akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk pembaca dan pengguna PNS Ranau.

Projek pembinaan bangunan PNS cawangan Ranau telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8). Ia merupakan projek sambungan dibawah RMK-9.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna dimaklumkan perkara itu semasa mengadakan lawatan kerja dan meninjau projek itu, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian, Michael Emban, Pengarah PNS, Wong Vui Yin dan timbalannya, Maria Sinti, pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR), juruperunding dan pemaju projek.

Menurut Yahya, pembinaan perpustakaan cawangan itu seiring dengan hasrat kerajaan ke arah pembangunan masyarakat dan minda rakyat.

“Dengan mempunyai perpustakaan yang luas, selesa dan koleksi buku dan terbitan berkalah yang lengkap, PNS dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat”, katanya.

Katanya, selain menempatkan koleksi buku, terbitan berkala, bahan alat pandang dengar, perkhidmatan pinjaman, rujukan dan maklumat, pejabat pentadbiran dan kewangan, PNS Cawangan Ranau akan turut dilengkapi dengan kemudahan computer dengan ekses internet.

Kemudahan lain yang terdapat dalam PNS cawangan Ranau ialah bilik serbaguna yang boleh memuatkan sekurang-kurangnya 100 orang, bilik aktiviti kanak-kanak, perkhidmatan multimedia dan pejabat Perpustakaan Bergerak.



Yahya diberi taklimat oleh juruperunding sambil diperhatikan oleh Michael Emban (tiga dari kiri), Wong Vui Yin dan Maria Sinti semasa melawat projek pembinaan bangunan PNS cawangan Ranau.