NABAWAN: Masyarakat di kawasan luar bandar digesa supaya menguasai sains dan teknologi kerana ia tidak dikhaskan kepada golongan tertentu sahaja.

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Bobbey Suan berkata, penggunaan dan penguasaan sains dan teknologi hari ini amat penting dalam usaha untuk memajukan diri, keluarga dan negara.

"Sains dan teknologi kini boleh dikuasai oleh sesiapa sahaja dan tidak dikhaskan kepada golongan elit atau masyarakat di bandar sahaja tetapi juga masyarakat di luar bandar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pameran Sains dan Teknologi di Dewan Masyarakat Daerah di sini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Unit Sains dan Teknologi, Jabatan Ketua Menteri, Singih Panamba, Pegawai Daerah, Mohd Farid Yamin, Penolong Pegawai Daerah, Aloysius Anthony dan Pemimpin Kemajuan Rakyat, Awong Lukap.

Pameran sehari itu merupakan anjuran Unit Sains dan Teknologi, Jabatan Ketua Menteri dengan kerjasama Pejabat Daerah Nabawan.

Unit Sains dan Teknologi di bawah Jabatan Ketua Menteri bertanggungjawab untuk membantu kerajaan mempromosikan sains dan teknologi di kalangan masyarakat awam terutamanya di kawasan luar bandar di negeri ini.

Pameran itu antara lain bertujuan mempertingkatkan kesedaran, kefahaman dan pengetahuan sains dan teknologi di kalangan masyarakat luar bandar.

Kumpulan sasar pameran itu adalah semua lapisan masyarakat khususnya pelajar sekolah, anak-anak kecil, remaja dan belia, orang dewasa serta warga tua.

Aktiviti yang dijalankan sepanjang program itu ialah ceramah, pertandingan puzzle untuk dewasa, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, kuiz sains dan cabutan tiket bertuah untuk para pengunjung.

Bobbey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Nabawan berkata, golongan belia harus sedar betapa pentingnya memahami bidang sains dan teknologi dengan menjadikannya sebati dengan kehidupan seharian.

Pada masa yang sama katanya, para ibubapa juga harus mengetahui kepentingan dan kelebihan menguasai sains dan teknologi khususnya kepada anak-anak mereka.

"Ibubapa boleh memainkan peranan penting dengan menyambut baik aktiviti di pameran sains dan teknologi ini agar dapat menyalurkan ilmu kepada anak-anak mereka serta membantu dalam proses merubah sikap masyarakat terhadap sains dan teknologi," katanya.

Di samping itu, bobbey meminta agar tanggapan bahawa sains dan teknologi sukar untuk dipelajari serta membosankan dapat dikikis.



Bobbey mencuba kecanggihan teknologi yang dipamerkan dalam program tersebut.