31/10: SABAH MAHU RAFIDAH DAN SHARIZAT KEKAL
Armani sedang menerangkan Gerak Kerja K10 kepada ketua-ketua Wanita UMNO Sabah semasa mempengerusikan Mesyuarat Bulanan pergerakan tersebut di Bangunan Umno, Karamunsing.
KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita UMNO Sabah sebulat suara menyokong tidak berbelah bahagi terhadap Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Rafidah Aziz dan naibnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di kekalkan sebagai ketua dan naib pergerakan dalam pemilihan parti akan datang.
Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Armani Mahiruddin berkata Wanita UMNO Sabah sebulat suara bersetuju dengan keputusan yang diputuskan.
"Kami (Wanita UMNO Sabah) masih mahu kepimpinan kedua-dua pemimpin ini dikekalkan pada pemilihan akan datang.
"Kami ingin menegaskan, bahawa Wanita UMNO Sabah tidak pernah berubah dengan pendirian politiknya iaitu menyokong Rafidah sebagai ketua sayap UMNO itu. Prinsip Wanita UMNO Sabah dalam perjuangan politik ialah mengekalkan dan menyokong Rafidah sebagai Ketua Wanita UMNO dan Shahrizat sebagai Naib Ketua Wanita," tegas Armani.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Bulanan dan sambutan Hari Raya di Bangunan UMNO Baru, Karamunsing, di sini.
Pada 7 Okt lalu, UMNO Bahagian Cheras telah menyatakan sokongan terbuka kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said untuk dicalonkan sebagai Ketua Pergerakan Wanita UMNO dalam pemilihan parti akan datang.
Ketua UMNO bahagian itu, Senator Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata, Azalina, 44, ialah calon yang layak untuk menerajui dan membawa pembaharuan kepada sayap UMNO itu.
Hadir sama Penolong Setiausaha, Datuk Hamisa Samat, Ketua Penerangan, Hajah Jainab Datuk Ahmad, Bendahari, Hajah Normah Mohd Sari dan barisan jawatankuasa pergerakan tersebut.
Armani yang juga Pengerusi Wanita Barisan Nasional berkata, Pergerakan Wanita UMNO Sabah akan berkerjasama dengan Wanita BN Sabah lebih proaktif untuk 'turun padang' serta mengenal pasti permasalahan yang timbul diperingkat akar umbi dan menjadi agen penerangan kepada masyarakat setempat di 25 bahagian seluruh Sabah.
"Saya telah mengarah semua Ketua 10 (K10) bersama Ketua-ketua Penerangan serta jawatankuasanya untuk turun padang dengan berkempen dari rumah ke rumah, untuk memberi penekanan mengajar pengundi berdaftar di kawasan 60 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 25 Parlimen cara-cara mengundi yang betul bagi mengatasi masalah undi rosak atau tidak dikembalikan.
"Langkah itu diambil memandangkan masih ramai pengundi terutama di kalangan wanita di kawasan kampung tidak mengetahui apa yang perlu dilakukan pada hari mengundi dan cara yang betul untuk memangkah dalam kertas undi serta memasukkannya ke dalam peti undi.
"Ada yang pangkah salah tempat, tidak pangkah dalam kotak yang sepatutnya...bukan sahaja masalah undi rosak tetapi ada juga yang tidak kembalikan kertas undi...mereka bawa balik terus," tegas Armani.
Armani menambah pada perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Wanita UMNO Sabah menghnatar 102 perwakilan Wanita UMNO dari 25 bahagian dan terkini jumlah keahlian Wanita UMNO Sabah setakat Jun 2007 174,473 ahli.