Tun Ahmadshah menekan butang plak perasmian sebagai tanda merasmikan Balai Cerap Al-Biruni Negeri Sabah sambil diperhatikan oleh Datuk Yahya, Datuk Sukarti dan Datuk Ahmad Alawi (dua dari kanan).

PUTATAN: Pembinaan Balai Cerap Al-Biruni di Tanjung Dumpil merupakan satu lagi mercu tanda penting dalam perkembangan ketamadunan Islam di negeri Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.

Katanya, kerajaan sebelum ini telah bangunkan beberapa mercu tanda penting seperti Masjid Negeri dan Masjid Bandaraya, Wisma MUIS dan Muzium Tamadun Islam.

“Namun pembinaan Balai Cerap Al-Biruni ini telah menjadi pelengkap kepada kewujudan perkembangan tamadun Islam di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Balai Cerap Al-Biruni Negeri Sabah di Tanjung Dumpil, hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima Haji Ahmadshah Abdullah telah merasmikan balai cerap itu.

Turut hadir di majlis itu ialah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nasrun Mansur, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Haji Mohd.Arifin Mohd.Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haji Sukarti Wakiman dan Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Haji Ahmad Alawi Haji Adnan.

Musa berkata, Balai Cerap Al-Biruni juga menjadi bukti kesungguhan dan keseriusan Kerajaan Negeri dalam mengembangkan lagi unsur-unsur tamadun Islam melalui pembinaan bangunan-bangunan yang akan diingati oleh masyarakat umum.

Menurutnya, pembinaan balai cerap itu juga menjadi petunjuk jelas bahawa Kerajaan Negeri benar-benar telah mempraktikkan pelaksanaan konsep Islam Hadhari, seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri.

Katanya, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sejumlah RM1.5 juta untuk membina balai cerap itu, sebagai bukti kerajan amat menitikberatkan pelaksanaan hal-hal berkaitan dengan urusan keagamaan khususnya urusan Falak Syarie.

“Keprihatinan Kerajaan Negeri ini bersandarkan kepada kesedaran tentang betapa pentingnya negeri Sabah memiliki sebuah balai cerap yang khusus agar urusan-urusan keagamaan bagi kepentingan umat Islam di Sabah dapat dilaksanakan dengan lebih baik,” katanya,

Musa berkata, dengan terbinanya Balai Cerap Al-Biruni itu, umat Islam di negeri ini akan dapat menentukan dengan mudah dan tepat kedatangan awal Ramadan, Syawal dan Zulhijjah bagi menentukan tarikh dua hari raya besar umat Islam, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

Menurutnya, perkara yang lebih penting daripada pewujudan balai cerap itu ialah keupayaan melaksanakan kerja-kerja yang berkaitan dengan pembuatan takwim hijrah, penentuan waktu-waktu solat dan jadual berbuka puasa serta imsak bagi kemudahan seluruh umat Islam di negeri ini.

Katanya, kesemua kerja-kerja itu memerlukan penentuan secara tepat dan betul supaya umat Islam dapat melaksanakan ibadah dengan lebih sempurna.

Musa berharap balai cerap itu juga dijadikan pusat kecemerlangan ilmu dan meminta Pejabat Mufti Negeri yang dipertanggungjawabkan ke atas balai itu membuka balai cerap itu kepada orang ramai terutama mereka yang mempelajari kaedah-kaedah yang digunakan oleh Islam dalam menerokai ilmu-ilmu berkaitan astronomi.