\
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Seri Salleh Said (gambar atas) menyarankan agar sistem penyampaian kerajaan terus diperkukuhkan menerusi penurunan kuasa (delegation of power) dan pengagihan kuasa (decentralization) supaya semua urusan pentadbiran lebih lancar, cepat dan berkesan.

Berucap membahas Bajet 2008 di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata langkah itu selari dengan sistem pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan misi kerajaan menyedia perkhdmatan terbaik kepada rakyat.

Sehubungan itu, beliau berharap agar mekanisme pentadbiran Kerrajaan Pusat dan negeri doperkukuh supaya semua urusan melibatkan dasar atau prosedur dapat diselaras, sekali gus mengelak sebarang masalah atau kelewatan.

Katanya, sistem penyampaian kerajaan seharusnya diperkukuhkan bagi memastikan agenda pembangunan sebagaimana digariskan dalam Misi Nasional dapat dicapai.

Beliau berkata menerusi penurunan kuasa kepada pegawai bawahan misalnya akan membolehkan sesuatu tindakan atau keputusan dapat dibuat dengan segera.

Demikian juga dengan pengagihan kuasa, ia diyakini mampu mempercepatkan pemprosesan sesuatu urusan kerana tidak perlu dirujuk kepada pihak di atas lagi.

“Sistem penyampaian kerajaan seharusnya diperkukuhkan memandangkan jangkaan rakyat sekarang jauh lebih tinggi berbanding dahulu,” katanya.

Salleh berkata jika tidak dilakukan penurunan kuasa dan pengagihan tugas, ia bukan saja menjadikan tugas seseorang penjawat awam lebih berat, tetapi juga boleh menjejas dan melambatkan proses sesuatu urusan.