KOTA KINABALU: Pelaksanaan Projek Menaik Taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah dibahagikan kepada dua pakej dengan Pakej 1 sudah mencapai 42.34 peratus.

Pakej 1 itu meliputi pembinaan bangunan terminal dan kemudahan infrastruktur landside. Status pelaksanaan iaitu 42.34% itu agak lewat 2.43% atau 23 hari.

Manakala Pakej 2 yang melibatkan infrastruktur airside, Menara Kawalan Trafik Udara dan Terminal Penerbangan Tambang Murah pula, sudah mencapai 59.62% dan kemajuan itu mendahului jadual

Hal ini dijelaskan oleh Menteri Pengangkutan dalam jawapan kepada soalan Datuk Seri Panglima Mohd. Salleh Said (BN-Kota Belud) (gambar atas) di Dewan Rakyat semalam.

Salleh turut bertanya mengenai masalah setinggan yang sebelum ini melambatkan pelaksanaan projek berkenaan.

Mengenai masalah setinggan itu, menteri berkenan menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri telah membina satu kawasan penempatan semula setinggan di Kinarut yang melibatkan perpindahan sebanyak 657 buah keluarga.

Menurutnya, penempatan baru ini dilengkapi dengan sokongan asas perumahan dan proses penyusunan serta penempatan semula setinggan dijangka akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri pada bulan Oktober 2007.