Yahya menyaksi raptai istiadat perbarisan sempena perayaan Hari Jadi Rasmi TYT di Padang Merdeka.

KOTA KINABALU: Lebih 100 kontinjen perbarisan akan mengambil bahagian pada Istiadat Perbarisan sempena Hari Jadi Rasmi ke-61, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah yang akan diadakan di Padang Merdeka pada Sabtu ini (27 Oktober).

Kontinjen-kontinjen perbarisan itu mewakili jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan, pasukan keselamatan, sekolah-sekolah, persatuan-persatuan serta pertubuhan, syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLC) dan lain-lain.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima Haji Ahmadshah Abdullah dan isteri, Toh Puan Datin Seri Panglima Hajah Dayang Masuyah Awang Jaafar akan berangkat menghadiri istiadat tersebut.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman dan isteri, Datin Seri Hajah Faridah Haji Tussin dan ahli jemaah kabinet negeri serta kenamaan lain akan turut hadir.

Selain menerima tabik hormat dari pasukan kawalan kehormat utama, Tun Datuk Seri Panglima Haji Ahmadshah juga akan memeriksa kawalan kehormat utama serta menerima tabik hormat Di-Raja.

Persembahan khas oleh Koir Negeri juga akan turut menyerikan majlis itu selain persembahan seni mempertahankan diri dan juga tarian tradisi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin telah menyaksi raptai istiadat perbarisan di Padang Merdeka, pagi tadi.

Yahya juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Hari Jadi Rasmi ke-61 TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah, 2007 diiringi oleh Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Iliyas Ibrahim dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Michael Emban.

Beliau menyeru orang ramai agar datang beramai-ramai menyaksikan istiadat perbarisan bagi memeriahkan lagi sambutan itu.