KOTA KINABALU: Pertubuhan Bajau Sabah Bersatu (USBO) kini mengorak langkah untuk menyumbang tenaga dan pemikiran dalam menangani isu bersifat global selain meneruskan peranan sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bagi memajukan masyarakat rumpun Bajau.

Terbaru, USBO yang diwakili oleh Setiausaha Agung, Tan Sri Pandikar Amin Mulia (gambar atas) dijemput menghadiri Dialog Perhutanan Malaysia Kedua di Kuala Lumpur yang antara lain membincang beberapa isu global.

Dialog dianjurkan oleh Hong Kong and Shanghai Bank dan bertemakan “Cabaran Dalam Pelaksanaan dan Pembiayaan Pengurusan Hutan Mapan”. Dialog dua hari itu berakhir hari ini, dengan 16 kertas kerja dibentangkan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pandikar Amin berkata penyertaan USBO dalam dialog tersebut cukup bermakna dan tidak sia-sia kerana membolehkannya sama-sama menyumbang idea dan pemikiran.

“Walaupun identiti USBO adalah sebagai sebuah persatuan suku, namun penyertaan dalam dialog ini membawa signifikan cukup besar. Ini kerana isu-isu yang dibincang sepanjang dialog adalah isu-isu yang ada kaitan dengan dasar perhutanan,” katanya.
Pandikar Amin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk berkata, isu tersebut juga tidak asing bagi beliau sendiri kerana sebelum ini telah terlibat untuk menggubal dasar perhutanan Negeri Sabah kira-kira 10 tahun lalu.

"Saya berterima kasih kepada Presiden USBO, Datuk Salleh Said yang telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk mewakili USBO pada dialog ini,” katanya.

Antara topic dibincangkan dalam dialog tersebut termasuk Hak Istiadat Anak Negeri Mengenai Tanah; Asas Perundangan Mengenai Hak Istiadat Anak Negeri Terhadap Hutan Simpan;dan Cabaran Perubahan Dunia dan Peluang Berkaitan Perhutanan.

Awal tahun ini, Pandikar Amin juga mewakili USBO ke mesyuarat Persatuan Equsterian Malaysia di Kuala Lumpur, dan antara isu dibincang dalam mesyuarat itu ialah menangani masalah berkaitan cara atau kaedah memartabatkan sukan equsterian di negara ini.

Pada 29 Oktober hingga 12 November lalu, empat pemimpin kanan USBO menyertai lawatan ke Auckland, New Zealand, menerusi satu program penyelidikan mengenai tatacara kaum Maori New Zealand memulihara bahasa ibunda mereka dalam melalui arus pemodenan.

Dalam pada itu, Pandikar Amin berkata selain program bersifat global, USBO tetap dengan objektifnya sebagai sebuah NGO untuk mempromosi, memelihara dan memulihara kebudayan masyarakat rumpun Bajau.