Sakaran sambil diperhatikan Ampong dan Abdullah menyampaikan sumbangan naskhah al-Quran kepada pengerusi masjid sempena majlis itu.

SANDAKAN: Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Tun Sakaran Dandai berkata fungsi masjid perlu dipelbagai sebagai Pusat Sehenti (One Stop Centre) dengan mempelbagaikan program, antaranya sebagai pusat ilmu, kemasyarakatan, kebudayaan dan ekonomi.

Katanya, aktiviti sedemikian tidak menyimpang daripada nilai dan syariat Islamiah yang tulin, malah ia adalah pemangkin kepada pembinaan ummah sebagai model insan berkualiti dan cemerlang dari segi minda serta rohaninya.

“Keghairahan mendirikan masjid dan surau perlu seimbang dengan keghairahan mengurus dan mengimarahkannya, maka adalah sewajarnya bagi umat Islam mengusahakan seoptimum mungkin agar kewujudan masjid tidak sekadar sebagai tempat mendirikan solat,” katanya ketika berucap merasmikan masjid baru Al Falah di Kampung Karamunting di sini.

Hadir sama Timbalan Yang Dipertua USIA, Datuk Seri Panglima Ampong Puyun, Setiausaha Agung USIA, Haji Abdullah Hussin. Pegawai Takbir JHEAINS Sandakan Adam Abdul Hai dan Pengerusi Majid Al Falah Haji Abd.Rashid Piut.

Masjid baru tersebut yang berharga RM303,010 adalah hasil sumbangan individu dan orang ramai dan USIA sendiri menyumbang RM100,000.

Menurut Sakaran masjid sebagai “Rumah Allah” merupakan institusi terpenting dalam pembinaan ummah yang bertamadun, justeru umat Islam perlu menjadikan institusi masjid sebagai pemangkin kepada semangat perpaduan tulin.