Category: General
Posted by: keruak

Oleh Zakaria Abdul Wahab

SINGAPURA, 5 Mac (Bernama) -- Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah, adalah antara empat rakyat Malaysia yang dinobatkan oleh Forbes Asia sebagai "Wira Dermawan 2009".

Mereka yang lain ialah Datin Seri Panglima Raya Erom, juga dari Sabah dan isteri bekas ketua menteri Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak; pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Jeffrey Cheah; serta presiden dan pengasas Limkokwing University of Creative Technology, Tan Sri Lim Kok Wing.

Forbes Asia hari ini mengedarkan terbitan tahunan "Heroes of Philanthropy" ketiganya dan terbitan kedua yang menyenaraikan 48 penderma terkemuka -- empat daripada setiap 12 negara terpilih -- yang memberikan sumbangan yang besar dan ada kalanya inovatif, bagi tujuan amal di Asia dan di negara-negara lain.

Dalam satu siaran media di sini, Forbes Asia berkata yang terpilih bukanlah semestinya mereka yang menghulurkan derma terbesar, sebaliknya pilihan itu bertujuan menonjolkan orang yang bermurah hati dari golongan yang berbeza-beza , sebahagiannya yang terpilih tahun lepas, tetapi kebanyakannya nama baru yang patut diberikan pengiktirafan.

Ia berkata krisis kewangan global menjejaskan kekayaan di seluruh Asia, tetapi tahun lepas masih merupakan tahun yang baik bagi sumbangan amal kerana hartawan dan penderma-penderma cuba meneruskan komitmen amal mereka dan antara penerima manfaat itu ialah mangsa gempa bumi Sichuan dan angin puting beliung Myanmar.

Dalam kata-kata penghargaannya, majalah itu berkata Ahmadshah, 62, pemilik harta berskala kecil, mengasaskan Yayasan Tun Ahmadshah pada 2004 untuk membantu mereka yang memerlukan dan menderma kira-kira AS$13,000 setahun.

Ia mengeluarkan biasiswa dan membiayai program pendidikan bagi pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik, membayar kos perubatan dan kelengkapan penjagaan kesihatan, serta membantu ibu tunggal, anak-anak yatim dan mangsa tragedi.

Raya Erom, 46, mewarisi sebahagian besar kekayaannya daripada bapa mertuanya, Tun Mohd Said Keruak, yang juga bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah, dan melabur dalam sektor pembangunan harta, perkayuan dan pelancongan.

Menurut Forbes Asia, beliau yang bercita-cita membantu seramai orang yang mungkin sejak di bangku sekolah lagi itu menjalankan kerja amal dalam pembangunan kanak-kanak, pendidikan, kesihatan, kesenian, muzik perlindungan alam sekitar dan kesukanan.

Raya Erom kemudian menubuhkan Yayasan Kebajikan Suria pada 1996, dan yayasan itu telah membantu lebih 1,000 kanak-kanak di seluruh Sabah.

Tahun lepas beliau menderma sejumlah AS$37,000 dan bentuk wang dan barangan, dan tahun ini yayasan itu akan menubuhkan bahagian kaunseling wanita bagi menangani cabaran kerjaya, kemurungan, kemandulan dan penderaan.

Majalah itu berkata Cheah, 63, memulakan Tabung Amanah Pendidikan Sunway pada 1997, yang telah mengeluarkan biasiswa kolej bernilai AS$12 juta sejak penubuhannya.

Beliau menderma AS$3 juta tahun lepas, kebanyakannya bagi pembinaan dan kerja baik pulih sekolah rendah dan menengah, dan kini merancang untuk menjadikan dana amanah itu sebagai Yayasan Tan Sri Jeffrey, menjelang pertengahan tahun ini, dengan mengambil contoh Yayasan Harvard.

Tentang Lim, 62, Forbes Asia berkata beliau telah menyumbang dan menganjurkan kempen mengumpul dana bagi segalanya, dari usaha membanteras AIDS hinggalah menentang dasar apartheid.

Misi beliau ialah "merintis jalan bagi pembelajaran individu yang memerlukan untuk mengembangkan bakat dan kemahiran mereka sepenuhnya agar mereka boleh menyumbangkan kepada pembinaan negara," kata Forbes.

Tahun lepas, Lim menyumbang sejumlah AS$22,000 kepada perjuangan rakyat Palestin melalui kempen mengumpul dana "Plight of Palestinians: From Grim to Bleak", kata majalah itu.
Category: General
Posted by: keruak


KOTA KINABALU (Bernama)
-- Para perwakilan perlu memastikan calon-calon yang dipilih untuk barisan terbaru Majlis Tertinggi (MT) Umno nanti adalah dari kalangan pemimpin yang tulen yang boleh memperjuangkan nasib rakyat dan parti, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis pertemuan dengan calon-calon MT Umno bersama perwakilan Umno negeri Sabah di sini, Musa berkata kalah menang bukan persoalannya tetapi apa yang diharapkan ialah selepas pemilihan Mac ini, barisan baru ini akan bersatu untuk memantapkan parti.

"Umno harus bersatu untuk membina kekuatan parti. Kalau semua bersatu, tidak ada masalah. Umno harus terus relevan dan diterima rakyat. Yang penting adalah perjuangan buat parti, untuk pastikan BN terus menerajui kerajaan negeri dan pusat," kata pengerusi badan perhubungan Umno Sabah itu.

Musa berkata Umno tidak perlu ragu-ragu lagi kerana parti itu mempunyai 'track record' yang terbaik dalam menjayakan usaha memantapkan hubungan antara seluruh rakyat dalam negara.

Kira-kira 700 anggota parti menghadiri majlis pertemuan dua hari itu, yang memberi peluang kepada para perwakilan negeri untuk bersemuka dengan calon-calon bagi jawatan timbalan presiden, naib presiden dan anggota majlis tertinggi serta exco pergerakan wanita.

Sabtu lepas pertemuan diadakan antara calon-calon pergerakan Pemuda serta Puteri Umno, dan para perwakilan negeri.

Sementara itu calon naib presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata acara seumpama ini bukan saja akan merapatkan perhubungan antara calon-calon tetapi juga perwakilan, dan pada masa yang sama memastikan Umno dapat mempertahankan perjuangannya di masa akan datang dengan meletakkan calon-calon yang mampu menjayakan agenda perjuangan parti.
Category: General
Posted by: keruak


KOTA KINABALU: Cadangan untuk mewujudkan satu undang-undang bagi menghalang seseorang wakil rakyat melompat parti perlu dilihat secara serius dengan mengambil kira senario politik semasa, kata Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Secara peribadi, saya bersetuju tetapi terpulanglah kepada pemimpin-pemimpin BN untuk meminda perlembagaannya," katanya yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

"Bukannya kita takut ada lagi yang akan meninggalkan Barisan Nasional (BN) tetapi ini adalah soal prinsip," katanya ketika ditemui di rumah terbuka Presiden Liberal Demokratik (LDP), Datuk VK LIew yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joseph Pairin Kitingan, bahawa masanya sudah tiba bagi Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk memperkenalkan undang-undang seperti itu.

Cadangan itu dibuat agar kestabilan politik dapat diwujudkan berdasarkan keikhlasan serta kejujuran seseorang wakil rakyat yang dipilih rakyat.
Category: General
Posted by: keruak


SANDAKAN: Polis marin di sini berjaya menahan dua tongkang yang membawa muatan kira-kira 3,000 tan pasir di kawasan Laut Pelabuhan Sandakan, awal pagi Jumaat.

Pemangku Pegawai Memerintah Pangkalan Polis marin Sandakan, Asisten Superintendan Muhammad Salllam Spawi, berkata ketika pihaknya menjalankan tugas `Op Tayang’ di sekitar perairan berkenaan telah membuat pemeriksaan ke atas dua tongkang yang membawa muatan pasir.

"Sewaktu pemeriksaan dibuat, juragan dua tongkang berkenaan yang berumur 56 dan 58 tahun gagal menunjukkan sebarang surat kuasa serta permit mengiorek pasir dari Jabatan Tanah dan Ukur Sabah," katanya.

Beliau berkata tongkang berkenaan kemudian dibawa ke pangkalan polis marin di sini untuk siasatan lanjut.

Dalam operasi berasingan, Muhammad Sallam memberitahu pihaknya berjaya menahan tujuh warga asing yang baru tiba di Jambatan 10 Kampung Sim-Sim dari Pulau Taganak, awal pagi kelmarin.

Beliau berkata kira-kira jam 3 pagi, pihaknya yang menerima maklumat orang awam telah ke Jambatan 10 Kampung Sim-Sim dan berjaya menahan warga asing berkenaan yang menaiki sebuah bot laju.

Beliau berkata seorang rakyat tempatan yang dipercayai juragan bot laju tersebut juga turut ditahan untuk siasatan lanjut.

"Kesemua yang ditahan itu dibawa ke pangkalan polis marin bagi tindakan lanjut," katanya, sambil meminta kerjasama orang ramai agar menyalurkan maklumat kepada polis dalam membanteras sebarang kegiatan jenayah atau aktiviti penyeludupan.
Category: General
Posted by: keruak
GONG XI FA CHAI…kakitangan MASwings di Sabah meraikan penumpang penerbangan domestik dengan mengagihkan kuih-muih sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Antara kuih yang diberikan kepada penumpang termasuk “kuih bangkit” yang popular di kalangan masyarakat Baba Nyonya.

Majlis diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Pengurus Stesen MASwings bagi Kota Kinabalu, Hj Azis Toba, berkata inisiatif itu dilakukan bagi berkongsi kemeriahan sambutan Tahun Baru.
Category: General
Posted by: keruak


KOTA KINABALU: Yayasan Kebajikan Suria (YKS) menganjurkan program ceramah motivasi di kediaman Pengerusi YSK, Datin Seri Panglima Hajah Raya Erom, di Likas, dekat sini.

Ceramah motivasi bertajuk “SinarKasih Harapan” itu disampaikan oleh Professor Madya Dr Mohammad Agus Yusof dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi.

Hadir sama Ketua Umno Bahagian Kota Belud, Datuk Seri Salleh Tun Said.

Lebih 100 orang menghadiri program sehari itu yang turut diserikan dengan persembahan nyanyian oleh kanak-kanak dari Rumah Kebajikan Suria kendalian YKS.

Dalam ucapannya, Datin Seri Raya berkata antara matlamat program ialah untukmenyediakan ruang berkongsi pendapat, menyediakan kefahaman realiti kehidupan dan memberi laluan luahan masalah.

Selain itu, ia turut memberi cadangan penyelesaian, membina pemikiran positif dan mengeratkan silaturahim.

Beliau turut menyatakan rasa gembira kerana program berkenaan mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Category: General
Posted by: keruak


KOTA KINABALU: Kejohanan golf amal Kelab Golf dan Rekreasi Kota Belud (KGRKB) di Sutera Harbour Resort di sini kelmarin, dimeriahkan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Ahmadshah Abdullah, yang berkenan menyertainya bersama hampir 100 pemain lain.

Sebahagian daripada hasil kutipan kejohanan itu disumbangkan kepada badan kebajikan, sejajar komitmen KGRKB yang sentiasa prihatin kepada golongan memerlukan.

Timbalan Presiden KGRKB, Mohd Najib Muntok, berkata kejohanan berkenaan mendapat sambutan amat menggalakkan kerana penyertaan bukan setakat dari daerah Kota Belud, tetapi juga dari seluruh negeri

Sehubungan itu, Mohd Najib yang juga Pegawai Daerah Kota Belud berterima kasih kepada semua yang menjayakan kejohanan berkenaan yang menyedia pelbagai hadiah menarik dan istimewa.

Bagaimanapun, hadiah wang tunai RM20,000 untuk "hole-in-one" tidak dimenangi.

KGRKB diterajui oleh Ketua Umno Bahagian Kota Belud, Datuk Seri Salleh Tun Said.

Mohd Najib berkata kejohanan golf berkenaan adalah sebahagian daripada aktiviti KGRKB untuk memupuk silaturahim di kalangan ahli selain mengutip dana untuk disumbangkan kepada golongan memerlukan.

Katanya, sebelum ini pihaknya turut mengadakan lawatan sambil bermain golf ke China dan Indonesia selain yang diadakan di negeri ini.

Beliau berkata tahun lalu pihaknya turut menjayakan Kejohanan Golf Piala Presiden dan ia mendapat sambutan sangat menggalakkan.

“Selain sukan golf, kita juga menganjurkan acara seperti Hari Keluarga,” katanya.

Dalam kejohanan kelmarin, kategori VIP dimenangi oleh Yang Dipertua Negeri yang menduduki tempat pertama, Mohd Najib Muntok di tempat kedua, Abdul Rahman Datuk Hj Zakaria dan Datuk Iskandar Malik.

Sementara kategori gross dimenangi Hamzah Maidin, Khalid Jikal, Ramlis SH Baba, Hj Ismail Sakilan dan Ruslim Kasan,

Kategori nett dimenangi Abd Bakhrin Yusuf, John Erison, Jusli Potoh, Razak Rakunman, Bunsu Gaga, Amirudin Yop, Aseh Salleh dan SH Abdul Kasap SH Ikang.

Pemenang lain ialah Datu Goldah (longest drive) dan Abd Halim Datuk Aklee (nearest to line).

Sementara Yang Dipertua Negeri turut memenangi bull eyes bersama-sama Khalid Jikal, Eddie Abdullah, Jusli Potoh dan Shaiful Batong.

Pada majlis sama turut diadakan cabutan tiket bertuah yang menawarkan hadiah istimewa sebuah komputer riba yang dimenangi oleh pemain dari Kota Belud, Jaineh Hj Mansu.

Hadiah disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri.

Category: General
Posted by: keruak


KOTA KINABALU: Kelab Golf dan Rekreasi Kota Belud (KGRKB) akan menganjurkan kejohanan golf amal di Sutera Harbour Resort, di sini pada 28 Disember ini.

Hadiah wang tunai sebanyak RM20,000 menanti pemain bagi “hole-in-one” kejohanan berkenaan selain beberapa hadiah menarik lain.

Timbalan Presiden KGRKB, Mohd Najib Muntok, berkata kira-kira 80 hingga 100 pemain dijangka menyertai kejohanan sehari itu.

“Sebahagian hasil kutipan daripada kejohanan ini akan disumbangkan kepada badan-badan kebajikan, sebab itu kejohanan ini disebut sebagai golf amal,”katanya.

Mohd Najib yang juga Pegawai Daerah Kota Belud berkata demikian ketika ditemui selepas mengetuai ahli jawatankuasa KGRKB mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Ahmadshah Abdullah di Istana Negeri di sini pada Jumaat.

Kunjungan hormat itu bertujuan menjemput Yang Dipertua Negeri menyetai kejohanan berkenaan.

KGRKB diterajui oleh Ketua Umno Bahagian Kota Belud, Datuk Seri Salleh Tun Said.

Mohd Najib berkata kejohanan golf berkenaan adalah sebahagian daripada aktiviti KGRKB untuk memupuk silaturahim di kalangan ahli.

Katanya, sebelum ini pihaknya turut mengadakan lawatan sambil bermain golf ke China dan Indonesia selain yang diadakan di negeri ini.

Beliau berkata tahun lalu pihaknya turut menjayakan Kejohanan Golf Piala Presiden dan ia mendapat sambutan sangat menggalakkan.

“Selain sukan golf, kita juga menganjurkan acara seperti Hari Keluarga,” katanya, sambil menjelaskan pendaftaran KGRKB diluluskan tahun lalu.

Maklumat lanjut mengenai kejohanan golf itu boleh diperolehi daripada Setiausaha KGRKB, IskandarYahya (014-2825737) atau Andy Chua (019-8619882).

Category: General
Posted by: keruak


KEGIGIHAN seorang wanita Umno Silam, Shelma Hassim, menerokai bidang kecantikan menarik minat Pengerusi Yayasan Kebajikan Suria, Datin Seri Raya Erom untuk melakukan upacara perasmian Salon Unisex Miss Beauty, sehari sebelum bertolak ke Tanah Suci menunaikan Fardu Haji.

Menurut Raya, walaupun sebelum ini adalah menjadi taboo baginya merasmi salon rambut dan kecantikan, namun Miss Beauty telah mengembalikan keyakinannya terhadap bidang yang selama ini dianggap serong oleh masyarakat apatah lagi bagi wanita bertudung sepertinya.

“Miss Beauty memenuhi cita rasa saya kerana menyediakan ruangan khas untuk VIP dan salon untuk wanita bertudung,” katanya, sambil menyifatkan anjakan paradigma yang dilakukan oleh pemilik salon ini wajar dicontohi oleh pengusaha salon bumiputera yang lain.

Tegas Raya lagi, pakej rawatan yang disediakan oleh Miss Beauty sebagai ‘One-Stop Beauty Centre’ menyediakan ruang dan peluang pekerjaan kepada ibu tunggal dan wanita memantapkan kerjaya mereka dalam bidang salon kecantikan.

“Saya bangga merasmikan salon kecantikan ini kerana melambangkan kejayaan wanita dan ahli UMNO dalam bidang perniagaan yang menyumbangkan perkapita kepada negara dan melonjakkan persepsi masyarakat,” katanya.



Bidang kecantikan, kata Raya, telah memberi peluang kerjaya yang cukup besar terutama kepada golongan bukan Bumiputera dan hanya segelintir Bumiputera yang berjaya menghadapi persaingan secara glokal.

Kecekalan dan kegigihan pemilik Miss Beauty, tegas Datin Raya, wajar menjadi pencetus semangat kepada suri rumah untuk mengumpul dana dan menceburi bidang yang menjanjikan kemewahan hidup jika mampu menawarkan pakej yang menarik.

“Salon keantikan bumiputera haruslah mempunyai daya saing untuk menawarkan perkhidmatan lima bintang pada harga biasa kerana kaum bumiputera terdidik dengan adab santun dan budi bahasa yang menjadi aset utama untuk menarik pelanggan,” kata Raya yang mengkagumi suasana mesra pelanggan yang diterapkan Miss Beauty.

Keberanian Shelma menjolok rezeki di pangkal usaha, kata Raya ini memberi sedikit sebanyak pengajaran dan dorongan bagi wanita lain untuk mempunyai kerjaya sendiri.

Raya mengakui bukan mudah bagi pemilik Miss Beauty untuk menyediakan ruang khas untuk VIP dan Wanita bertudung di era globalisasi ini ketika persaingan begitu sengit dalam industri kecantikan dan rawatan badan.

“Pengorbanan yang dilakukan ini memerlukan kekuatan mental dan hati yag suci murni kerana kadar sewa yang mahal untuk menyediakan ruang yang cukup selesa kepada wanita bertudung,” akui Datin Raya yang tidak lagi gelisah setiap kali ingin mendapatkan rawatan rambut dan wajah kerana auratnya tidak lagi terdedah kepada bukan muhrim.

Di majlis perasmian salon berkenaan, Raya turut memeterai Memorandum Persefahaman Pembayaran Zakat Perniagaan antara Salon Unisex Miss Beauty dengan Yayasan Kebajikan Suria (YKS).

“Memorandum persefahaman pembayaran zakat ini adalah yang pertama pernah saya tandatangani dan saya amat terharu kerana pemilik salon ini begitu prihatin terhadap nasib anak yatim yang bernaung di YKS,” ujarnya yang mengalu-alukan sumbangan Zakat Perniagaan salon berkenaan kepada YKS.

Dalam pada itu, pemilik Salon Unisex Miss Beauty, Shelma Hassim @ Amy yang berkecimpung dalam bidang kecantikan sejak berusia 15 tahun dan berpengalaman lebih 16 tahun dalam bidang salon dan rawatan wajah mengakui mengalami cabaran getir sebelum berjaya.

“Sebelum ini saya membuka salon di Lahad Datu sebelum berhijrah ke Kota Kinabalu. Saya mengembangkan perniagaan salon rawatan wajah selama dua tahun di Kota Kinabalu sebelum membuat keputusan untuk membuka One-Stop Salon,” ujar Shelma yang sebelum ini pernah menceburi bidang restoran.

Menurut Shelma, kemalangan yang menimpanya pada hari raya kedua 2007 telah hampir melunturkan semangatnya, namun berkat dorongan keluarga, beliau telah mengumpulkan tekad untuk bangkit kembali selepas berjaya memulihkan wajahnya yang tercedera.

“Wajah saya melecur 80 peratus apabila Pressure Cooker meletup ketika saya secara tidak sengaja membukanya sewaktu suhunya mencecah 360 darjah selsius,” ujar Shelma yang mengakui hampir putus asa untuk meneruskan perniagaan di bidang kecantikan akibat wajahnya cedera parah.

Shelma mengakui, apalah ertinya sebagai Pakar Kecantikan Terlatih di Kuala Lumpur jika mempunyai wajah yang cacat jika tidak berusaha untuk membuktikan kepakarannya.

“Saya menggunakan beberapa resepi rahsia selain pemakanan dalaman dan pemakaian luaran produk khusus terutama D’-N-Hans telah memberikan saya wajah baru tanpa melalui pembedahan plastik,” ujar Shelma yang mengakui kini penuh yakin dengan bidang yang diceburinya.

Tegas Shelma, beliau mendapat idea untuk menyediakan ruangan khas bagi wanita bertudung kerana ramai rakannya mengadu tidak dapat bergaya agar kelihatan cantik di hadapan suami disebabkan tidak ada salon khusus untuk wanita.

“Saya rasa adalah menjadi tanggung jawab saya sebagai seorang Islam untuk membela nasib kaum wanita yang dinafikan selama ini dengan menyediakan ruangan khas untuk wanita bertudung,” kata Shelma yang memaklumkan semua produk yang digunakan di salonnya adalah Halal untuk kegunaan umat Islam.

Bagi seorang pelanggan, Maminah, kepakaran dalam bidang rawatan resdung dan kemesraan Shelma merupakan tarikan kenapa beliau menjadi pengunjung tetap sejak salon kecantikan pertama Shelma di Kompleks Asia City.

“Dulu wajah saya penuh jerawat dan bernanah. Saya sudah cuba pelbagai kaedah tapi tidak ada perubahan. Namun selepas mendapat rawatan dengan Puan Shelma, wajah saya kembali pulih walau hanya dua kali rawatan,” ujar Maminah lagi.

Manakala Hajjah Sakinah, kesengsaraan hampir dua puluh tahun menyuci rambut di rumah kini terubat kerana ada salon khas untuk wanita bertudung.

“Terima kasih Shelma, terima kasih Miss Beauty,” ujar Hajjah Sakinah yang mendesak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu menggesa salon rambut dan kecantikan mewajibkan penyediaan ruangan khas untuk wanita Islam bagi merealisasikan Dasar Kesaksamaan Gender.

Category: General
Posted by: keruak


KOTA KINABALU: Presiden USBO, Datuk Seri Salleh Said, telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Umum Partai Hati Nurani Rakyat (HANURA), Jenderal (R) TNI H. Wiranto, S.H. di Kantor Dewan Pengurus Pusat Hanura, Jl. Diponegoro No. 1, Jakarta pada Khamis (27 November).

Hadir sama dalam kunjungan hormat tersebut ialah Yus Usman Sumanegara, SE, MM (Sekretaris Jenderal Partai Hanura) dan salah seorang pemimpin masyarakat Bajau di Indonesia yang juga dari Partai Hanura, Gunawan Yiedri, SE., MM.

Antara perkara yang disentuh dalam perbincangan ialah hubungan kerjasama antara masyarakat Bajau Malaysia dan Indonesia.