
Menerusi persepakatan itu, Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan jawatan itu kepada timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, sempena mesyuarat agung tahunan Umno kali ini.
Serentak dengan proses peralihan kuasa tertinggi itu, ahli-ahli Umno akan turut membuat pilihan barisan kepemimpinan baru, termasuk bagi jawatan Timbalan Presiden,Naib Presiden dan Majlis Tertinggi (MT) serta pada sayap Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri.
Pemilihan kali ini dilihat begitu penting. Ia menjadi petunjuk masa depan dan penentu halatuju parti dalam menghadapi pelbagai cabaran politik mendatang.
Dalam suasana politik yang penuh dengan bermacam kemungkinan, lebih-lebih lagi ketidaktentuan suasana ekonomi global serta kontroversi dan kemelut yang dicipta oleh pihak-pihak tertentu, sudah pasti proses peralihan kali ini menguji kematangan para perwakilan.
Ada beberapa persoalan yang menarik untuk dianalisa menjelang berlangsungnya mesyuarat agung tahunan Umno pada penghujung bulan ini.
Antaranya ialah bagaimana sikap dan trend perwakilan dalam membuat pilihan mereka nanti?
Adakah mereka mengikut kehendak ahli di peringkat cawangan yang telah memilih mereka menjadi perwakilan ke peringkat bahagian? Atau berdasarkan pencalonan yang dibuat oleh bahagian masing-masing? Mengikut mandat perwakilan yang memilih mereka? Berdasarkan kedudukan dan jawatan seseorang dalam kerajaan atau pengalaman seseorang pemimpin? Mungkin juga mengikut kuota negeri atau menuruti kehendak kepimpinan?
Lebh penting lagi, apakah perwakilan akan membuat pilihan berdasarkan kepada pengaruh wang? Persoalan ini sengaja dilontarkan berikutan sudah ada macam-macam cerita dan cakap-cakap mengenai elemen sedemikian.
Bukan rahsia lagi kini calon-calon yang bertanding pelbagai jawatan dalam parti menjelajah ke seluruh negeri untuk bertemu perwakilan secara peribadi selain daripada pertemuan-pertemuan rasmi yang diaturkan untuk memperkenalkan calon-calon bertanding.
Perwakilan Umno kini memikul tugas dan amanah besar bagi memastikan Umno terus kukuh, relevan dan kekal berpengaruh di persada politik tanah air.
Pilihan barisan kepemimpinan yang bakal dibuat akan mencerminkan keunggulan Umno sebagai parti dominan yang menunjangi pemerintahan negara.
Apakah perwakilan mahukan barisan muka baru atau menggandingkan dengan pemimpin lama, segalanya hanya diketahui penghujung bulan ini.

TARIKH 10 Mac kini ditunggu-tunggu penuh minat oleh semua orang. Pemimpin politik – sama ada kerajaan mahupun pembangkang, tokoh korporat dan peniaga kecil, pekerja sektor awam dan swasta, serta rakyat biasa di jalanan, menantikan ketibaan tarikh tersebut dengan penuh debaran serta pengharapan.
Ini kerana pada tarikh tersebut, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan, akan membentangkan pakej rangsangan kedua atau bajet mini, bertujuan mengukuhkan ekonomi negara yang kini menghadapi tempias dari kegawatan ekonomi global.
Semua orang menantikannya dengan penuh debaran kerana ia diharapkan membawa sinar serta harapan baru, dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi yang semakin dirasakan kesannya kini.
Pelbagai spekulasi dan bayangan diberikan mengenai intipati bajet mini tersebut, termasuk apa yang dikatakan sebagai berita kejutan buat rakyat. Inilah yang menjadikan rakyat tidak sabar-sabar menantikan kedatangan tarikh berkenaan.
Kenyataan terbaru Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menyatakan bahawa jumlah peruntukan dalam bajet mini yang akan diumumkan nanti adalah lebih besar daripada pakej rangsangan sebelum ini.
“Saya tidak boleh menyatakan jumlah pakej tersebut. Tetapi ia lebih besar daripada pakej yang diumumkan pada November lalu.
“Jadi anda semua perlu tunggu kerana ia akan diumumkan pada 10 Mac ini,’’ kata Perdana Menteri pada sidang akhbar bersama wartawan antarabangsa selepas berakhirnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-14 di Hua Hin, Thailand, baru-baru ini.
Yang pasti, pembentangan bajet mini ini merupakan bukti komitmen serta kesungguhan kerajaan untuk membela nasib rakyat dalam mengharungi kegawatan ekonomi yang melanda seluruh pelosok dunia.
Negara kita tidak terkecuali daripada kesan dan tempias kegawatan itu lantaran sistem ekonomi dan perdagangan terbuka yang diamalkan. Justeru, mahu tidak mahu, kita perlu mengambil sesuatu langkah bagi mengimbangi kesan kegawatan. Dan bajet mini ini merupakan satu daripada pendekatan kerajaan menentukan rakyat tidak terus terbeban.
Khabarnya pakej rangsangan ini merangkumi semua sektor ekonomi dan pelbagai industri serta seluruh segmen masyarakat, baik di bandar mahu pun desa.
Pandangan pakar-pakar ekonomi merumuskan bahawa bajet mini itu bakal mengukuhkan ekonomi negara dan menjadikannya berdaya tahan.
Mereka optimis bahawa inisiatif baru Kerajaan Pusat itu memberikan impak besar terhadap pasaran domestik, sekali gus berupaya membawa negara mengharungi pelbagai isu yang melanda pada masa ini.
Ini kerana teras pelaksanaan pakej rangsangan kali ini dikatakan turut mengambil masalah ekonomi bagi tempoh sederhana dan jangka panjang.
Natijahnya, pembentangan bajet mini ini adalah kesinambungan daripada pakej pertama bernilai RM7 bilion yang dibentangkan sebelum ini.
Ia merupakan usaha berterusan kerajaan memastikan negara terus berdaya saing dan mampu menghadapi pelbagai cabaran.
Pakej rangsangan pertama dahulu merupakan hasil cadangan Jawatankuasa Majlis Ekonomi Negara.
Majlis Ekonomi Negara ditubuhkan oleh kerajaan pada Ogos tahun lalu dengan dipengerusi oleh Perdana Menteri, bagi menggantikan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
Majlis Ekonomi Negara antara lain berfungsi sebagai badan penasihat, mengadakan perbincangan setiap bulan, manakala Jawatankuasa Eksekutifnya berbincang setiap minggu untuk membincangkan isu ekonomi semasa, cadangan dasar dan juga tindakan.
Berdasarkan reaksi umum sehingga kini, rata-rata rakyat mengharapkan khabar gembira daripada pakej rangsangan kedua ini.
Sudah banyak “clue” dan “hint” diberikan oleh pemimpin tertinggi kerajaan mengenai intipati bajet mini tersebut, namun semuanya masih bersifat spekulasi dan hanya akan bertukar menjadi realiti pada 10 Mac ini.
27/02: SINDROM SMS MENCEMASKAN

SETIAP subuh apabila saya “on” telefon bimbit selepas sembahyang subuh, lazimnya banyak khidmat pesanan ringkas (SMS) akan terpapar pada skrin.
Ini menunjukkan bahawa ramai yang menghantar SMS pada tengah malam selepas saya “off” telefon bimbit sebelum melelapkan mata.
Sudah menjadi kelaziman saya untuk tidak menutup telefon bimbit sepanjang masa kecuali ketika tidur pada waktu malam.
Apabila saya menghadiri acara atau sedang bermesyuarat, telefon bimbit saya sentiasa dalam mod ”silent” dan biasanya SMS sentiasa ada selang beberapa ketika.
Saya tidak dapat mengira jumlah SMS yang saya terima setiap hari, begitu juga jumlah SMS yang saya jawap atau hantar.
Berdasarkan pengalaman ini, saya merumuskan bahawa SMS telah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat kita hari ini. Ia menjadi satu kemudahan komunikasi paling mudah, cepat dan efisien berbanding cara komunikasi konvensional.
Dengan harga telefon bimbit pelbagai jenama yang mampu dibeli (selain set telefon terpakai) membolehkan sebahagian besar daripada masyarakat hari ini memiliki telefon bimbit, termasuk orang kampung di pedalaman terpencil.
Saya katakan SMS merupakan cara komunikasi paling mudah disebabkan ia boleh dihantar dari mana-mana lokasi, termasuk dalam kereta atau sedang berjalan mahupun ketika dalam tandas.
Ia jauh lebih memudahkan berbanding cara dahulu seperti menghantar surat mahupun emel.
SMS juga cepat dan efisien kerana mesej dapat dihantar dan diterima pada masa yang sama, berbanding kemudahan komunikasi lain.
Pelbagai pandangan dan pendapat mengenai kebaikan dan keburukan SMS.
Ada yang menyalahgunakannya untuk tujuan tidak baik, termasuk menyebarkan fitnah dan khabar angin.
Ada SMS yang memerlukan jawapan, ada juga yang sekadar untuk makluman.
Yang pasti, SMS telah menjadi seperti “habit” manusia era IT ini – tidak kiralah sama ada ia dianggap sebagai satu kemudahan, keperluan atau pembaziran.
Saya katakan demikian kerana saya tertarik dengan laporan akhbar mengenai satu analisa yang menunjukkan Malaysia berada di tempat ketiga di Asia Pasifik dari segi aliran SMS ketika sambutan Krismas dan Tahun Baru, dengan mencatat 1.075 bilion pesanan.
Perangkaan itu menunjukkan realiti sikap masyarakat Malaysia yang barangkali sudah dilanda “sindrom” SMS ke satu tahap yang mencemaskan.
Acision, syarikat pemesejan terkemuka dunia, dilaporkan menyebut bahawa Malaysia di tempat ketiga, selepas Filipina dengan 2.36 bilion dan Indonesia yang mencatatkan sehingga 1.193 bilion pesanan.
Laporan itu juga menyatakan bahawa musim perayaan masih kekal menjadi tumpuan bagi trafik yang tinggi untuk kedua-dua pengendali dan pengguna.
Kita adalah sebahagian daripada penyumbang perangkaan itu.Sejauh mana kewajarannya, dengan mengambil kira ketidaktentuan ekonomi global serta tiupan kegawatan yang disebut-sebut, mungkin sudah tiba masanya untuk kita sama-sama mengambil iktibar daripadanya.
SMS sebagai komunikasi murah, hanya beberapa sen bagi setiap pesanan, boleh melalaikan yang boleh menyebabkan bil telefon meningkat naik tanpa disedari.

TAHNIAH kepada beberapa pengamal media yang menerima darjah kebesaran daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari lalu.
Mereka termasuk Penasihat Editorial Bernama, Datuk Azman Ujang, Ketua Pengarang Bernama, Datuk Yong Soo Heong, Ketua Pengarang Star Publication (M) Bhd, Datuk Wong Chun Wai; dan Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Abdul Aziz Ishak.
Semua mereka menerima darjah kebesaran tersebut dalam satu istiadat di Istana Negara kelmarin.
Mendahului senarai penerima ialah Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin dan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti AkhtarAziz, yang dikurniakan darjah Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.
Darjah kebesaran yang diberikan kepada pengamal media itu, adalah manifestasi penghargaan terhadap peranan dan sumbangan mereka membantu proses pembangunan negara.
Secara peribadi, saya berpendapat sememangnya media memainkan peranan penting dalam kemajuan dan kemakmuran sesebuah negara, apatah lagi dalam konteks Malaysia yang dihuni masyarakat berbilang kaum, agama dan kepercayaan.
Agensi berita nasional dan media arus perdana antara lain memikul amanah dan tanggungjawab besar untuk mengekalkan perpaduan serta keharmonian kaum.
Pendekatan mesti bersifat objektif, laporan pula hendaklah secara proaktif dan penyampaian secara membina, tanpa menciptakan polemik atau mensensasikan sesuatu perkara.
Kepentingan negara sentiasa diutamakan tanpa mengabaikan tanggungjawab sosial membela nasib rakyat.
Dalam era globalisasi ini, fungsi dan peranan media arus perdana semakin mencabar,mengambil kira kemunculan laman web dan blog sebagai media alternatif yang semakin banyak serta kehadiran akhbar-akhbar kecil yang mewarnai dunia persuratkhabaran.
Sementara laman web, blog dan akhbar lain mungkin mempunyai pandangan berbeza dalam sesuatu isu, media arus perdana pula berperanan mengimbangi dan “memperbetulkan” keadaan, bukannya menambahkan sensasi atau memburukkan lagi keadaan.
Di satu sudut, media arus perdana juga tidak disekat kebebasan untuk melaporkan sesuatu isu atau hal kemasyarakatan yang melibatkan kepentingan rakyat kerana itu juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial.
Biarpun terikat dengan beberapa perundangan seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan Akta Rahsia Rasmi (OSA), namun saya melihat media arus perdana di negara ini pada umumnya tetap mendapat kebebasan.
Malahan, akhir-akhir ini, ada yang bersifat kritikal dalam pemberitaan mereka – kritikal dalam konteks penulisan, bukan kritikal yang dipengaruhi sentimen kaum atau agama – misalnya dalam isu-isu berkaitan kecederaan dan kematian tahanan polis.
Begitu juga dalam politik, media arus perdana sudah berani menyiarkan analisa-analisa yang bernada kritikal terhadap parti yang menunjangi pemerintahan kerajaan. Misalnya, selepas pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang menyaksikan kegagalan Barisan Nasional (BN) mempertahankannya, banyak analisa yang mendedahkan kelemahan di sana-sini disiarkan oleh media arus perdana. Malahan, Bernama, sebagai agensi berita nasional, turut membuat analisa yang membongkar fakta di sebalik kegagalan itu.
Semua ini adalah manifestasi kebebasan media yang bersifat membina.
Justeru, penganugerahan darjah kebesaran kepada pengamal media daripada kerajaan merupakan suatu penghargaan dan pengiktirafan kerajaan terhadap peranan yang dimainkan selama ini.
Tahniah dan syabas kepada mereka sekali lagi – kebetulan pula saya mengenali mereka secara peribadi – dan teruskanlah khidmat terbaik anda demi agama, bangsa dan negara kita!

KEPUTUSAN pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu sudah diketahui umum. Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankannya.
Pelbagai ulasan, komen dan reaksi kita dengar. Macam-macam analisa dan teori dibuat. Ada yang kritikal dan sinis. Tidak kurang juga yang proaktif dan membina.
Malahan, sudah ada suara-suara nyaring menyalahkan itu dan ini, menuding jari kepada orang itu dan orang ini, mengungkit kelemahan di sana-sini.
Demikianlah resam politik. Hanya selepas sesuatu hal terjadi, baru menyedari hal itu dan ini. Hanya selepas menemui kegagalan, baru mendapat keinsafan. Sedangkan ketika melalui proses tersebut, kita seperti dibuai keyakinan, impian dan angan-angan tinggi.
Yang pasti, selepas kecundangnya kita di Kuala Terengganu, BN perlu membuat post-mortem lagi. Untuk mengenal pasti sebab dan punca kita kehilangan satu lagi kerusi Parlimen selepas gagal menguasai Permatang Pauh, beberapa bulan lalu.
Apakah benar pembangkang semakin kuat dan berpengaruh? Atau mungkin BN sendiri semakin lemah dan terhakis pengaruh?
Saya lontarkan persoalan ini setelah membaca pelbagai komen dan reaksi, menerusi tv, suratkhabar dan intenet, berhubung keputusan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.
Dalam pilihan raya kecil itu, calon BN, Datuk Wan Farid Wan Salleh kecundang ke tangan calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut dengan majoriti 2,631 undi.
Wan Farid, bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, memperolehi 30,252 undi, manakala Mohd Abdul Wahid mendapat 32,883 undi. Seorang calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam hanya mengumpul 193 undi.
Bagi BN dan Umno, analisa pelbagai pihak termasuk menerusi laman blog perlu diambil kira dalam melakukan port-mortem kelak. Memang banyak komen blogger yang pahit untuk dikunyah dan pedas untuk ditelan, namun pandangan mereka tentunya mewakili pendapat sebahagian daripada segmen masyarakat pada hari ini.
Ulasan dan sudut pandangan blogger serta penganalisa itu, dibuat dari luar kotak (outside the box), maka mereka dapat melihat kita dari perspektif lebih luas dan menyeluruh.
Justeru itu, kita perlu merenung semula ke dalam diri kita dan melihat Umno dari luar kotak. Dari situ, pandangan kita tidak terbatas dalam lingkaran kecil dan sempit.
Dalam konteks pilihan raya kecil Kuala Terengganu ini, keputusannya tidak harus dijadikan sandaran untuk mencari kesalahan. Sekarang bukan masa untuk menuding jari. Sekarang adalah masa mencari jalan memperbetulkan keadaan.
Kita kena tengok, apakah masalah yang menyebabkan sokongan kepada BN merosot? Kenapa majoriti yang diperolehi oleh pembangkang boleh meningkat sebegitu tinggi? Golongan mana yang tidak keluar mengundi? Golongan mana yang dulu setia bersama BN telah berpaling tadah kepada pembangkang?
Lebih penting, apakah pendekatan yang diguna pakai BN, khususnya Umno sudah tidak relevan?
Apakah Umno dalam bentuk sekarang tidak laku atau tiada pasaran atau tidak dapat dijual?
Apakah jentera BN dan Umno benar-benar melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka, termasuk menjaga daerah mengundi masing-masing?
Inilah antara persoalan yang menuntut kepastian dalam post-mortem kelak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang bakal mengambil alih kepimpinan kerajaan dan parti, kena melihat semua perkara ini dari sudut yang menyeluruh.
Ia bagi memastikan BN dan Umno sentiasa relevan dan kekal menjadi tunjang pemerintahan negara sampai bila-bila.
Jumlah undi yang diperolehi BN pada pilihan raya kecil ini menunjukkan bahawa Umno masih mempunyai ramai penyokong. Ia manifestasi bahawa Umno masih ada akar-umbi yang dapat mencegahnya daripada tumbang ditiup angin.
Cuma mungkin permuafakatan pakatan pembangkang telah mula menampakkan hasil dan pengundi muda menerimanya.
Bagi kebanyakan penyokong kuat BN, keputusan pilihan raya kecil Kuala Terengganu itu sesuatu yang mengejutkan dan di luar jangkaan.
Ini berdasarkan sambutan kempen gerak-gempur yang dijalankan sejak hari penamaan calon lagi.
Dalam hal ini, satu lagi realiti yang perlu diterima – sorakan bukan lambang kekuatan, bukan juga penentu kemenangan mutlak. Sebab itulah ada ungkapan Melayu berbunyi “menang sorak, kampung tergadai”.

JUMAAT lalu, kerajaan melancarkan kempen Belilah Barangan Malaysia Pilihan Bijak, serentak di tiga lokasi berasingan seluruh negara untuk menggalakkan rakyat menggunakan barangan tempatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melancarkannya di Mydin Mall USJ Subang Jaya.
Di Sarawak pula, pelancarannya disempurnakan oleh Ketua Menteri, Tan Sri Patinggi Abdul Taib Mahmud di Boullevard, Kuching, manakala di Sabah dilancarkan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Joseph Pairin Kitingan di pusat beli-belah 1Borneo, Kota Kinabalu.
Pelancaran kempen terbaru itu, selepas kali pertama diadakan pada 1998, menandakan komitmen serta kesungguhan kerajaan untuk menggalakkan rakyat mengutamakan barangan tempatan.
Kempen itu dianggap bertepatan dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu dan diramal bertambah gawat dalam tempoh mendatang ini.
Dengan membeli barangan tempatan, ia bukan saja menyekat aliran wang ke luar negara, tetapi lebih penting menggalakkan pembangunan industri atau perusahaan tempatan.
Rakyat negara ini mempunyai banyak pilihan produk tempatan. Daripada barangan elektronik, keperluan rumah dan perhiasan, sehinggalah kepada barangan keperluan harian seperti makanan.
Sebagai negara membangun, Malaysia sebenarnya telah banyak menghasil dan mengeluarkan pelbagai barangan serta produk sendiri.
Mungkin sudah tiba masanya bagi rakyat kita tidak lagi mengagungkan barangan luar. Sebabnya, barangan keluaran tempatan kini sudah setanding dengan produk luar dari segi kualitinya, malahan sesetengah produk keluaran negara kita dijamin lebih baik lagi.
Dalam menghadapi cabaran globalisasi, kita perlu mengikis sikap ego yang sememangnya pun tidak menguntungkan.
Demikian juga sikap prejudis memandang rendah barangan tempatan, ia perlu dibuang jauh dari sudut pemikiran kita dan sebaliknya membina semangat “Malaysia Boleh” dari serba-serbi, termasuk soal kualiti dan standard barangan sendiri.
Sebut saja jenis produk, Malaysia mempunyai segala-galanya. Misalnya kereta, kita telah merintis lebih awal industri automotif, malahan kenderaan keluaran negara kita telah banyak yang menembusi pasaran luar negara.
Barangan elektronik seperti televisyen, peti sejuk, penghawa dingin dan kipas juga semakin banyak jenama buatan Malaysia membanjiri pasaran.
Ini tidak termasuk barangan berasaskan kain seperti pakaian, pelbagai jenis produk telah dihasilkan oleh pengusaha untuk menandingi produk luar negara.
Yang penting sebenarnya ialah perubahan dari segi mentaliti dan sikap orang kita sendiri, untuk beralih kepada barangan tempatan.
Selagi sikap dan mentaliti tidak diubah dan kita terus mengagungkan barangan luar, maka selagi itulah kita tidak dapat mengembangkan produk tempatan negara ini.
Kita perlu memulakan usaha, kita perlu mencuba dan mempraktikkannya sebagaimana yang disarankan oleh Perdana Menteri ketika melancarkan kempen berkenaan, Jumaat lalu.
Dalam ucapannya itu, Datuk Seri Abdullah mahu rakyat mengutamakan barangan buatan Malaysia serta mengikis sikap prejudis terhadap barangan tempatan.
Kenyataan Perdana Menteri itu seharusnya menginsafkan kita semua, kerana dengan mengutamakan barangan tempatan, ia membawa manfaat serampang dua mata kepada pelbagai pihak.
Pertama, ia akan mengelak aliran keluar wang negara ini. Kedua, ia menggalakkan pembangunan industri tempatan yang berkaitan untuk menghasilkan produk lebih berkualiti dan berdaya saing.

Sedih, kecewa dan marah. Itulah pastinya reaksi spontan kita apabila melihat laporan berita menerusi tv sejak akhir-akhir ini mengenai kekejaman Zionis ke atas penduduk Palestin.
Saya katakan demikian kerana itulah perasaan saya menyaksikan laporan berita mengenai konflik yang semakin meruncing itu.
Laporan terkini menyebut bahawa angka korban keganasan tentera Israel itu terus meningkat kepada hampir 600 orang, kebanyakannya kanak-kanak.
Sedih kerana begitu ramai rakyat yang tidak berdosa menjadi korban, termasuk kanak-kanak. Mereka yang tercedera pula, jumlahnya hampir 2,000 orang, berada di ambang maut berikutan sekatan ekonomi yang dikenakan serta ketiadaan bekalan perubatan.
Perasaan sedih juga disebabkan ketiadaan muafakat di kalangan negara-negara Arab untuk bersatu menegakkan perjuangan.
Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) misalnya sekadar mampu bersuara dan bermesyuarat, tetapi tidak ada taringnya untuk bertindak.
Ini akan memburukkan lagi keadaan kerana Israel pastinya mengambil kesempatan daripada kelemahan itu untuk meneruskan keganasan.
Tambah kecewa dan marah lagi apabila melihat sikap hipokrit dan pro Yahudi kuasa dunia, Amerika Syarikat.
Daripada perkembangan yang berlaku setakat ini, bakal Presiden Amerika, Barack Obama, juga akan seperti presiden-presiden terdahulu dalam hal ini.
Sesuatu yang pasti, Obama yang akan menjadi Presiden Amerika pada 20 Januari ini tidak akan mengubah pendirian Amerika Syarikat menyokong Israel walaupun rejim Zionis itu secara nyata telah bertindak kejam terhadap Palestin.
Justeru, Israel bebas untuk terus mengganas dan berboleh berbuat sesuka hati mereka tanpa sekatan, termasuk membunuh orang-orang tidak berdosa,
Kita hanya mampu berdemonstrasi, menghulur bantuan, mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tetapi realitinya, Israel akan pasti terlepas daripada sebarang tindakan keras.
Resolusi PBB tidak akan dipatuhi. OIC sekadar bersuara dan bermesyuarat, tapi tidak akan ada kesudahannya.
Inilah realiti suasana politik dunia yang amat menyedihkan.
Begitupun, diharapkan masyarakat antarabangsa akan mendengar desakan Malaysia supaya PBB mengadakan Perhimpunan Agung Khas untuk mencari jalan penyelesaian berkesan menghentikan kekejaman Israel di Palestin.
Seperti yang dijelaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, hanya melalui Perhimpunan Agung Khas saja `Perpaduan Untuk Keamanan' dapat mengetepikan sebarang tindakan penolakan Amerika Syarikat (AS) terhadap usul resolusi mengenai Palestin di Majlis Keselamatan PBB.
“Perbuatan AS itu sungguh tidak wajar dan dunia mesti menyuarakan dan membuat tuntutan dengan tegas untuk menyelesaikan isu tersebut.
“Kita berharap AS dan puak-puaknya tidak cuba menghalang suara dunia kerana apa yang berlaku ini tidak dapat diterima dan tidak membawa kesan yang baik kepada dunia yang sedang mengalami kemelesetan ekonomi,'' katanya.
Dalam menyelesaikan konflik di Semenanjung Gaza ini, seluruh dunia terutama negara-negara Islam perlu bersatu menyatakan pendirian dan tentangan terhadap pendirian Amerika.
Negara-negara Arab perlu mempunyai satu suara yang lantang, jangan memikirkan soal kepentingan nasional masing-masing.
Apa yang berlaku sekarang ialah secara jelas tiada kesatuan di kalangan negara-negara ini, malahan ada yang sanggup bersekongkol dengan Israel atas dasar kepentingan bersama.
Justeru, tidak hairanlah sekiranya rakyat Arab menuduh negara-negara konservatif Arab seperti Mesir, Jordan, Arab Saudi dan Palestinian Authority (PA) bersekongkol dengan Israel dalam serangan ke atas Semenanjung Gaza.
Sesuatu yang pasti, Israel tidak akan berani mengganas atau “menunjukkan belang” jika negara-negara Arab (dengan lebih 320 juta penduduk) bersatu dan mengambil tindak balas berbanding Israel (hanya enam juta orang).
Tetapi, oleh kerana tiada kesatuan di kalangan negara-negara Arab ini (dengan sebahagiannya pula menjadi musuh dalam selimut), maka Israel bermaharajalelah, seolah-olah ia menjadi pemerintah dunia.

PILIHAN RAYA kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari ini, semakin hangat diperkatakan. Ia menjadi topik bualan para pemimpin politik – baik kerajaan mahupun pembangkang serta tumpuan liputan media cetak dan elektronik.
Membaca akhbar setiap pagi, kita pasti dapat membaca cerita mengenai Kuala Terengganu. Menonton berita perdana televisyen setiap malam, kita pasti mendengar liputan mengenainya. Begitu juga jika melayari internet, ada saja cerita mengenai pilihan raya kecil itu dilaporkan. Itulah perihal pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang penamaan calonnya ditetapkan pada 6 Januari ini.
Bagi saya, pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu hanyalah satu lagi pilihan raya kecil. Mengisi kekosongan tempat bekas penyandangnya, allahyarham Datuk Razali Ismail, yang meninggal dunia pada 28 November lepas.
Kuala Terengganu tidak sama dengan Permatang Pauh. Keadaannya berbeza, senarionya berlainan, lokasinya berjauhan dan isunya tiada persamaan. Malahan, kisah dan peristiwa yang membawa kepada kedua-dua pilihan raya kecil ini juga sangat kontras, justeru tempiasnya tidak mungkin sama.
Apapun, nampaknya pilihan raya kecil ini telah dijadikan gelanggang oleh pembangkang, untuk bekerja keras bagi menidakkan kemenangan Barisan Nasional sebagai penyandangnya.
Biarpun mengetahui kemenangan di Kuala Terengganu tidak mungkin mengubah landskap politik atau dasar kerajaan, namun pembangkang tetap dengan pelbagai ikrar dan menaburkan janji manis, semata-mata untuk meraih undi dan simpati pengundi.
Mereka cuba menjadikan pilihan raya kecil Kuala Terengganu sebagai fokus nasional sedangkan ia sepatutnya tertumpu kepada isu setempat dan hal-hal domestik.
Di tengah kerancakan persediaan menjelang pilihan raya kecil itu, sesuatu yang nyata, ia telah membongkar helah pakatan pembangkang yang hanya bersandiwara dan menunggu kehancuran kerana perbezaan pegangan dan prinsip politik mereka.
Jelas bahawa Pas sudah jadi parti yang kerap akur kepada tuntutan PKR dan DAP. Peranan mereka tidak berkesan di Perak dan Selangor.
Di pihak kerajaan pula, pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu tentunya satu peluang terbaik untuk menjelaskan kepada pengundi mengenai pelbagai usaha, pendekatan dan dasar kerajaan membantu serta membela nasib rakyat.
Ini termasuklah pendekatan kerajaan menangani kemelesetan ekonomi yang berpunca akibat daripada masalah global, komitmen memacu pembangunan serta usaha menjana pertumbuhan ekonomi jangka panjang. Penjelasan perlu dilakukan agar pemikiran pengundi tidak dipesongkan oleh pihak yang tidak bertanggongjawab.
Barisan Nasional tidak harus memberi tumpuan kepada kelompok masyarakat tertentu. Kita kena melihat semua pengundi sebagai sama dan hak satu undi tidak boleh dipersiakan. Kita tidak boleh bergantung kepada mana-mana kumpulan. Undi orang Melayu sama penting dengan undi orang India atau Cina, dan begitulah sebaliknya juga.
Maknanya, pengemblengan tenaga dan usaha semua parti komponen menjadi prasyarat kepada sebuah kemenangan yang hakiki.
Pengumuman awal calon BN menunjukkan parti pemerintah telah bersedia menghadapinya, sekali gus membolehkan persiapan kempen diatur lebih awal.
Calon BN, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh merupakan pilihan tepat dan diyakini berkemampuan menyambung legasi serta kerja-kerja yang ditinggalkan oleh allahyarham Datuk Razali Ismail.
Wan Ahmad Farid disifatkan sebagai pilihan tepat bukan saja kerana beliau Ketua Bahagian Kuala Terengganu, tetapi kerana sifat mesra rakyat dan prinsip perjuangannya kepada parti. Senyuman dan keramahannya menjadikan beliau mudah didekati dan sangat disenangi oleh penduduk Kuala Terengganu.
Lebih penting, Wan Ahmad Farid menjadi pilihan tepat berikutan komitmennya meneruskan usaha penyandang sebelum ini, terutama dalam bidang pendidikan yang merupakan antara agenda serta keutamaan kerajaan.
Tiada nama lain diura-urakan menjadi calon BN sebelum dan selepas nama Wan Ahmad Farid diumumkan, bermakna soal persaingan personaliti dan kredibiliti tidak berbangkit lagi. Tiada ruang untuk dimanipulasi. Isu calon tidak timbul.
Kemenangan mutlak BN banyak bergantung kepada komitmen seluruh jentera kempen yang bakal digerakkan nanti.
Saya katakan demikian kerana cabaran BN di Kuala Terengganu tidaklah semudah yang dijangkakan.
Dengan tiga daripada empat Dewan Undangan Negeri (DUN) berada dalam tangan pembangkang iaitu Ladang, Wakaf Mempelam dan Batu Burok, tanggungjawab semua parti komponen BN, khususnya sayap Umno, amat berat. Semua pihak harus bekerja keras untuk menemui pengundi dan memujuk mereka mengundi calon BN demi masa depan yang lebih terjamin di Kuala Terengganu.

TANGGAL 25 Disember kita menyambut Hari Krismas. Merry Christmas and Happy New Year kepada semua yang meraikannya.
Saya sendiri mempunyai ramai keluarga keturunan Dusun dan beragama Kristian. Begitu juga sebelah isteri saya. Maka, pada Krismas ini, kami turut merasakan suasana sambutan itu.
Seperti perayaan lain, rumah-rumah terbuka turut diadakan sempena Krismas. Masyarakat pelbagai kaum, agama dan fahaman politik meneruskan amalan kunjung mengunjungi.
Demikianlah uniknya di Sabah pada setiap kali musim perayaan. Tidak ada batasan dan halangan untuk meraikannya bersama biarpun berbeza pendapat, fahaman dan kepercayaan.
Sememangnya, suasana Krismas begitu dirasakan. Termasuk di hotel, resort dan pusat beli-belah sekitar bandar raya Kota Kinabalu yang telahpun memasang pokok Krismas di premis masing-masing.
Namun, bagi sesetengah orang biasa, Krismas ini mungkin tidak semeriah tahun-tahun sebelum ini lantaran kegawatan yang melanda, yang membawa kepada peningkatan harga barangan keperluan pengguna.
Biarpun harga runcit petrol dan diesel sudah tujuh kali diturunkan dan kini kembali kepada harga asal, namun masih kedengaran rungutan mengenai kedegilan segelintir peniaga yang tidak menurunkan harga barangan jualan mereka.
Seminggu selepas Krismas, kita pun meninggalkan tahun 2008 yang penuh dengan bermacam kenangan dan peristiwa. Kemudian kita melangkah pula ke tahun baru 2009 dengan pelbagai kemungkinan, cabaran dan ketidaktentuan.
Saya katakan demikian kerana laporan-laporan media serta perkembangan global menunjukkan dunia kini berada di ambang kemelesetan.
Terbaru dilaporkan bahawa seramai 4,749 pekerja bakal diberhentikan oleh 102 majikan pada tiga bulan pertama tahun depan.
Ini berdasarkan kepada perangkaan rasmi yang dilaporkan oleh majikan kepada Jabatan Tenaga Rakyat (JTR). Kebanyakan pekerja terbabit adalah dalam industri elektronik.
Pada masa sama, Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) pula menganggarkan 200,000 hingga 400,000 pekerja akan hilang pekerjaan tahun depan ekoran keadaan ekonomi yang diramal pada suku tahun pertama dan kedua 2009.
Melihat kepada perkembangan ini, kita semua perlu mengambil iktibar dan perhatian, terutama dalam merancang dan mengatur perbelanjaan.
Amalan berjimat dan berhemah perlu terus dipupuk. Meskipun harga petrol dan diesel sudah kembali normal, namun ia bukan alasan untuk kita boros berbelanja pula.
Kita mesti bijak dalam pengurusan kewangan. Kita mesti menghargai nilai setiap wang yang ada.
Kebijaksanaan setiap individu penting bagi kelangsungan kehidupan, sementara kerajaan melaksanakan pelbagai langkah dan inisiatif untuk mengimbangi kesan kegawatan itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, semasa mengulas isu pemberhentian pekerja tahun depan berkata, kerajaan kini dalam perancangan untuk menyediakan program latihan semula kepada pekerja yang diberhentikan itu bagi membantu mereka mendapat pekerjaan baru.
Menurutnya, mereka yang terlibat dengan program latihan semula kendalian Kementerian Sumber Manusia itu nanti akan turut menerima elaun bulanan sepanjang tempoh latihan dijalankan.
“Selain itu, para pekerja yang diberhentikan juga harus kembali memasuki pasaran buruh kerana memang terdapat kekosongan kerja dalam negara kita sekarang ini,” katanya.
Langkah yang dilaksanakan kerajaan ini akan membawa hasil dan kesan jangka panjang sekiranya mendapat sokongan daripada semua pihak.


TRAGEDI tanah runtuh yang berlaku di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur, minggu lalu, turut menjadi bualan sebahagian jemaah haji Malaysia yang kini sedang mengerjakan haji di Tanah Suci Mekah.
Saya juga mengikuti perkembangan semasa yang berlaku di tanah air dengan melayari internet di Mekah dan Medinah setiap kali ada kelapangan masa ketika beribadat di sini.
Sememangnya, kemudahan internet tersedia di sini untuk memenuhi keperluan para jemaah. Saya tengok, memang ramai jemaah yang memanfaatkannya.
Kejadian yang menimbus 14 banglo dan meragut empat nyawa itu sememangnya suatu peristiwa paling menyayat hati, terutama di kalangan mangsa. Ia mengakibatkan kerugian besar harta-benda, yang musnah dalam sekelip mata.
Di sebalik tragedi itu, banyak pengajaran dan iktibar harus dipelajari bersama oleh semua pihak -- sama ada pimpinan kerajaan, penjawat awam mahupun masyarakat.
Berikutan kejadian itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menyarankan kepada semua kerajaan negeri supaya menimbang untuk menghentikan projek perumahan di kawasan lereng bukit dan cerun yang berisiko tinggi.
Menurut Perdana Menteri, keutamaan dari segi aspek keselamatan perlu dititikberatkan dan bukan memikir soal keuntungan semata-mata.
Seperti yang dijelaskan oleh Datuk Seri Abdullah, kerugian mungkin lebih besar sekiranya tanah runtuh berlaku berbanding kerugian tidak menjalankan projek di tanah berisiko tinggi.
Ketegasan Perdana Menteri itu sewajarnya diberi perhatian serius oleh semua pihak, khususnya `local authority' atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Ini penting untuk mengelak kejadian seumpamanya terus berulang pada masa depan.
Bukan rahsia lagi bahawa kejadian tanah runtuh telah menjadi semacam satu fenomena di negara kita. Justeru, suatu langkah dan pendekatan proaktif perlu dilaksanakan untuk kebaikan jangka panjang.
Satu aspek yang perlu diberi penekanan ialah soal kelulusan bagi pelaksanaan sesuatu projek pembangunan di kawasan lereng bukit atau kawasan berisiko tinggi. Kelulusan di peringkat `local authority' mestilah telus, manakala masyarakat setempat harus diberi peluang memberi pendapat mereka.
Ini bertujuan menentukan agar proses kelulusan bagi sesuatu projek pembangunan itu mengambil kira pandangan pelbagai pihak, termasuk pakar dan juga masyarakat yang berada di sekeliling sesuatu projek itu.
Pihak berwajib elok menimbang untuk mempamerkan sebarang permohonan projek khususnya yang dianggap berisiko atau boleh menimbulkan masalah, supaya pada akhirnya nanti, tiada pihak menuding kesalahan kepada mana-mana pihak lagi sekiranya berlaku juga kejadian seperti bencana tanah runtuh.Jika perlu,undang-undang kecil atau by laws perlu di kemaskini jika tidak ada untuk tujuan ini.
Selain itu, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang kecil perlu diperketatkan lagi agar semua peraturan dipatuhi dan tidak dipandang ringan.
Mungkin juga perlu bagi pihak berkuasa tempatan menambah pegawai pakar dan kakitangan di peringkat `local authority' supaya fungsi dan peranannya dapat dimantapkan lagi. Ini perlu dilakukan kerana jangkaan atau ekspetasi masyarakat terhadap pihak berkuasa tempatan begitu tinggi sekali.
Demikian juga bagi pembangunan di kawasan lain, yang juga dianggap mempunyai risiko. Umpamanya bagi projek yang melibatkan tebus guna laut, ia pasti juga menuntut ketelusan dalam membuat keputusan bagi mengelak sebarang risiko bahaya.
Natijahnya, fungsi dan peranan pihak berkuasa tempatan perlu diperkukuh dan dimantapkan lagi bagi memenuhi jangkaan tinggi masyarakat terhadapnya.