DATIN RAHMAHJAN

KETIKA saya bertemu dia di butiknya di 1Borneo, Khamis lepas, wajahnya membayangkan rasa sendu, sedih dan pilu menatap laporan muka hadapan Utusan Borneo pada hari itu.

Laporan bertajuk “14 bahagian Umno Sabah sokong Sharizat tanding Ketua Wanita” itu benar-benar mengusik hati dan perasaan Datin Rahmahjan Sulaiman Khan, Ketua Wanita Umno Bahagian Tenom.

Rahmahjan yang lazimnya sentiasa ceria ketika berbual bicara, kelihatan agak serius di awal pertemuan kami pada petang itu.

Sebaik saya melangkah masuk ke butiknya bersama seorang sahabat, dia pantas mempelawa kami ke ruang pejabatnya setelah memperkenalkan beberapa kakitangan di situ yang sebahagiannya kebetulan berasal dari daerah kelahiran saya.

“Kenapa dia buat kenyataan begini… beliau sepatutnya menghormati keputusan dan kemahuan pemimpin wanita di peringkat akar-umbi,” katanya memulakan perbualan petang itu sebagai merujuk kenyataan oleh Ketua Wanita Umno Sabah, Datuk Armani Mahiruddin.

Dalam kenyataannya itu, Armani antara lain menyatakan bahawa pencalonan 14 bahagian Umno di Sabah bagi Datuk Sharizat Abdul Jalil bertanding jawatan Ketua Wanita, menunjukkan mereka mahukan perubahan besar dalam kepimpinan Pergerakan Wanita Umno pada tahun depan.

Tanpa berselindung lagi, Rahmahjan menyatakan kerisauannya dengan keadaan yang berlaku memungkinkan membawa perpecahan dalam wanita apabila keputusan exco pun tidak dihormati.

“Kami tidak mahu desakan ini (supaya Sharizat bertanding jawatan Ketua Wanita Umno yang sekarang disandang Tan Sri Rafidah Aziz) dibuat dengan niat untuk kepentingan diri masing-masing semata-mata,” katanya berterus-terang.

Dan Rahmahjan menyambung lagi: “Beliau (Armani) perlu menghormati keputusan dan kemahuan bahagian dan akar-umbi yang mahukan pelan peralihan kuasa dikekalkan pada Jun 2009 dan mahukan Rafidah untuk terus menerajui kepimpinan Pergerakan Wanita seperti dipersetujui.”

Perbualan kami terganggu beberapa kali. Telefon bimbitnya berdering berulang kali. Daripada ungkapan perbualannya, saya mengagak semua panggilan yang diterimanya adalah berkaitan isu yang membelenggu Pergerakan Wanita Umno.

Ketika dia semakin bersemangat bercerita, saya sempat memaklumkan kepadanya bahawa saya tidak boleh berbicara lama di situ. Saya perlu bergegas balik ke pejabat bagi membuat persiapan menjelang mesyuarat rutin jam 5 petang.

Tetapi, dalam pertemuan tergesa-gesa kami petang itu, dia sempat juga menyatakan bahawa yang penting dalam perjuangan Umno adalah mendahulukan kepentingan parti.

“Ini bermakna perpaduan dalam parti harus menjadi keutamaan oleh setiap pemimpin, mengatasi kepentingan diri,” katanya.

Melihat perkembangan yang berlaku dalam sayap Wanita Umno hari ini, nampaknya telah wujud dua kelompok yang mempunyai pendirian serta pandangan berbeza berhubung isu peralihan kuasa dalam Pergerakan Wanita Umno.

Di satu pihak mahukan Rafidah terus memimpin sehingga pelan peralihan berlaku pada Jun 2009, manakala ada pihak juga mahu pelan peralihan itu dipercepatkan pada Mac 2009, seiring dengan peralihan kuasa oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam kemelut yang melingkari Pergerakan Wanita ini, bermacam-macam teori dan alasan diberikan bagi menyokong pendirian masing-masing.

Seperti yang dijelaskan oleh Armani, pencalonan oleh 14 bahagian Umno bagi Sharizat itu adalah “isyarat” kemahuan akar-umbi untuk menuntut perubahan.

Tetapi pendapat itu tidak dipersetujui oleh Naib Ketua Wanita Umno Sabah, Datuk Amisah Yassin, yang menegaskan bahawa akar-umbi Sabah tidak pernah memberi mandat kepada Armani untuk mewakili wanita mendesak Rafidah mempercepatkan peralihan jawatan dan kuasa kepada Sharizat.

Dengan nada tegas, beliau menjelaskan bahawa tidak ada dan tidak pernah dibuat sebarang mesyuarat atau perbincangan di kalangan wanita negeri menyokong kenyataan yang dibuat oleh Armani itu.

Lagi pun, tegasnya, Armani tidak ada hak untuk mengatakan Wanita Sabah keseluruhannya menyokong Shahrizat.

“Saya setuju ada 14 bahagian di Sabah mencalonkan Shahrizat, tetapi jangan lupa, ia bukan sokongan mutlak daripada pemimpin wanita di Sabah kerana ada 11 lagi bahagian di Sabah mahukan Rafidah mengekalkan pelan peralihan kuasa pada Jun 2009,” katanya.

Dengan perkembangan ini, bermakna Wanita Umno Sabah berada di persimpangan jalan – sama ada terus menyokong Rafidah atau pun berpaling kepada Sharizat.

Apapun, Wanita Umno Sabah perlu membuat perhitungan dalam percaturan ini. Mereka perlu bertegas dalam pendirian masing-masing.

Ketegasan itu mencerminkan kredibiliti kepimpinan. Jangan sekali-kali bersikap hipokrit! Jangan menjadi seperti lalang, tunduk ke mana saja ditiup angin.

Saya katakan demikian kerana teringat kisah mengenai seorang Ketua Wanita Umno Bahagian yang berani mencalonkan Sharizat untuk jawatan Ketua Wanita, tetapi keesokan harinya pula meminta ditonjolkan cerita dia menghargai jasa dan sumbangan Rafidah.

Nyata jelas, pemimpin wanita juga bisa mengegarkan pentas politik Sabah yang turut menjadi penentu kelangsungan politik Umno.