15/10: HATI-HATI `MANUSIA PERANGKAP MANUSIA’

SEJAK kelmarin, saya masih tercari-cari apa yang hendak ditulis kali ini. Bukan kerana ketandusan idea. Bukan juga kerana ketiadaan isu. Jauh sekali kehabisan topik.
Saya tercari-cari lantaran banyak sangat cerita yang melingkari kehidupan ini. Semuanya menarik dan relevan, signifikan lagi menginsafkan.
Sepanjang seminggu ini banyak kisah yang wajar untuk diulas, banyak cerita sesuai untuk dikupas. Tetapi tidak tahu, yang mana satu didahulukan. Kerana semuanya ada pertalian, segalanya ada perkaitan.
Daripada kisah kebejatan sosial penjual ikan yang nekad meletupkan diri bersama isterinya gara-gara masalah rumahtangga, hingga kepada soal peralihan kepimpinan dalam Umno yang menunjangi pemerintahan negara.
Terbaru pula tentang kisah penganugerahaan pingat dan bintang kebesaran negeri sempena Hari Jadi Rasmi ke-62 Yang Dipertua Negeri Sabah, yang menyaksikan 52 orang lagi dikurniakan gelaran Datuk.
Semua cerita ini merupakan berita muka hadapan akhbar tempatan (atau setidak-tidaknya Utusan Borneo) yang menarik untuk dianalisis lebih lanjut.
Cerita si penjual ikan yang bertindak nekad mengundang persoalan apakah cara sedemikian menjadi penyelesaian akhir yang terbaik?
Demikian juga dengan obor perjuangan Umno yang akan bertukar tangan di perbatasan waktu, dengan Abdullah menyerahkan “baton larian” kepada penggantinya, lima bulan lagi?
Ketika berfikir-fikir untuk memilih satu daripada sekian banyak topik itu, fikiran saya tiba-tiba teringat kepada tiga emel daripada pengirim tidak dikenali yang saya terima minggu ini. Lantas saya memutuskan untuk memberi fokus kepada cerita emel itu, untuk dijadikan iktibar bersama.
Emel pertama antara lain berbunyi: “Seorang rakyat Malaysia telah berjaya mengumpul RM120,000 dalam masa 3 bulan dengan satu rahsia menjana wang di Internet dan akan membongkarkan rahsianya sekarang juga!” Kononnya kita juga boleh mengaut bersih RM100 setiap satu minit di hadapan komputer dengan satu cara yang dikatakan belum diketahui di Malaysia!
Emel kedua pula menyatakan: Your Email have won the Sum of £1,000,000.00 (One Million Great British Pound).” Kononnya alamat emel kita terpilih memenangi peraduan loteri dan bakal menerima sejumlah wang tunai.
Manakala ringkasan emel ketiga berbunyi: “In my department, We discovered an abandoned sum of $15 million USD (Fifteen Million United States Dollars.) Only, in an account that belongs to one of our foreign customers who died along with his entire family in a plane crash that took place in Kenya , East Africa, the bank now expects a next of kin as beneficiary. Kononnya mereka mencadangkan kita berurusan dengannya bagi memindahkan wang tersebut ke dalam akaun kita dan memberi mereka `percent’ daripada jumlah wang yang dipindahkan itu.
Saya percaya ramai juga pelayar alam maya menerima emel sedemikian, kerana itulah realiti dunia siber yang menuntut kita supaya lebih berhati-hati.
Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu di dunia yang tiada sempadan kini, bermacam-macam cara dilakukan oleh manusia bagi memerangkap manusia untuk melakukan penipuan. Internet dan ICT menjadi saluran terbaru penipuan.
Kalau dahulu orang kampung dikatakan sering tertipu kerana kurang berpendidikan, tetapi kini orang bandar yang berpendidikan tinggi juga ramai yang mudah tertipu.
Kalau dahulu orang kampung bijak memerangkap burung di hutan, tetapi kini orang bandar juga semakin bijak memerangkap, tetapi memasang jerat perangkap sesama orang bandar yang sama-sama dikatakan bertamadun.
Tiga contoh emel itu merupakan antara taktik penipuan yang kini berleluasa di internet. Aktiviti penipuan seperti itu akan terus berleluasa selagi ada orang yang tidak dapat mengawal nafsu mencari kekayaan cepat `atas angin’ dan bukan dengan berusaha atau bekerja keras.
Pelaburan menerusi internet sebagaimana dalam emel pertama yang saya terima, boleh memerangkap manusia yang ingin mencari kekayaan cepat. Himpitan dalam kehidupan antara faktor yang boleh mendorong seseorang terjebak.
Perlu disedarkan bahawa kita jangan bermimpi untuk menjadi jutawan segera menerusi pelaburan internet kerana ia hanyalah satu `perniagaan’ atas angin yang boleh memerangkap serta menjerumuskan kita ke kancah penyesalan.