29/09: “TOLONG LAWAT YB, JALAN KAMI SEDANG SAKIT”

SAYA tidak tahu lokasi Kampung Dandun di Pitas nun jauh di sebelah utara - yang barangkali empat jam perjalanan dari ibu negeri. Saya juga tidak kenal seorang pun penduduk di situ yang majoritinya barangkali dari suku Dusun, Rungus, Kimaragang atau pelbagai etnik lain.
Tetapi saya mendengar suara mereka dan melihat kedaifan mereka. Saya tahu mereka sedang “sakit” dan memerlukan rawatan segera.
Itulah yang dapat saya simpulkan tatkala menerima satu berita bergambar mengenai keadaan jalan raya di perkampungan itu, yang dihantar oleh seorang warga prihatin dari utara minggu lepas.
Setelah menelitinya dan mendapati ia ada nilai berita, saya meminta seorang wartawan untuk memprosesnya. Ia menjadi antara berita utama yang disiarkan Utusan Borneo pada Sabtu.
“Tolong lawat YB, jalan kami sedang sakit”. Itu adalah papan tanda yang ditulis penduduk dan dipacakkan di tepi jalan itu.
Penduduk di situ merintih dan meraung lantaran keadaan jalan raya, sebagai nadi penghubung utama, masih dalam keadaan yang sangat menyedihkan. Mereka menuntut keprihatinan wakil rakyat, untuk membela nasib mereka sebagai sebahagian penduduk yang sudah bebas merdeka.
Penduduk meminta jalan mereka dibaiki kerana ia bukan saja untuk keselesaan ke pekan, tetapi lebih penting untuk menjana dan menggerakkan ekonomi orang kampung.
Sebenarnya rintihan orang Dandun juga mewakili suara penduduk di beberapa kawasan lain. Tetapi di tempat lain, penduduk pasrah dengan keadaan. Terpaksa memendam rasa lantaran tidak mengetahui saluran untuk menyuarakan “kesakitan” mereka.
Sejak awal lagi, Utusan Borneo begitu banyak menyiarkan berita-berita mengenai keadaan jalan raya, jambatan dan pelbagai kemudahan asas yang begitu daif dan menuntut perhatian.
Suara orang Dandun barangkali manifestasi pada keadaan yang masih berlaku di kebanyakan tempat di Sabah. Di sebalik kemajuan yang dinikmati selepas kemerdekaan, masih banyak hal-hal bersifat kekampungan yang perlu diberi perhatian.
Memangnya negara kita sudah membangun. Memang pun kita sudah melangkah jauh ke hadapan. Dan memang pun negara kita semakin tersohor, dikenali dan disegani seluruh dunia. Terimakasih kepada pejuang kemerdekaan masa silam, kerana berkat perjuangan itu, kita menuai hasilnya kini.
Lambang kemajuan negara terpancar di sana-sini. Ibu kota metropolitan dihias bangunan pencakar langit, disinari lampu neon (sehinggakan malam seperti siang), kereta-kereta nasional menjalari ke serata tempat hingga pelosok kampung, rumah-rumah para pembesar berdiri teguh bagaikan istana dan sekian banyak lagi lambang kemajuan, kemakmuran dan kemewahan hasil daripada kemerdekaan yang digapai.
Tahun ini, kita sudah mencapai kemerdekaan ke-51 tahun. Pembesar dan sebahagian rakyat berasa sungguh bangga. Betapa kemerdekaan itu membawa makna seribu. Melihat situasi saat ini, mana mungkin ada yang mampu menafikan betapa kemerdekaan itu benar-benar merahmati. Betapa kemerdekaan itu sangat menguntungkan.
Kerana kemerdekaan itulah juga saya menjadi antara yang terawal dapat memandu Proton Saga pada tahun 1988, kemudian memiliki Kancil, Kembara dan Iswara, lalu bertukar kepada Avanza dan Viva, semuanya buatan tempatan dan dipasang di negara sendiri.
Begitupun, di sebalik kehebatan laungan kemerdekaan itu, tidak dinafikan jua masih ada kelompok-kelompok kecil yang terus meraung sedih, menagih simpati dan pembelaan daripada pemimpin, pembesar dan kerajaan. Rintihan orang kampung yang sering diutarakan menerusi media, sebagaimana suara orang Dandun, adalah manifestasi betapa masih ada insan-insan yang memerlukan pembelaan.
Pengalaman saya sebagai wartawan akhbar arus perdana selama 22 tahun turut membawa saya ke seluruh pelosok tempat, menyaksikan bermacam situasi kehidupan rakyat. Setiap tempat yang saya singgahi, setiap masyarakat yang saya temui di pelbagai bukit, lurah dan lembah yang saya turuni, ada cerita yang menagih belas kesihan.
Sebagai wartawan, saya mendekati masyarakat, saya mendampingi pemimpin. Saya menyalurkan suara hati rakyat untuk didengari pemimpin, kemudian saya menyampaikan mesej pemimpin untuk dituruti rakyat. Memang ada yang diatasi, namun ada juga yang tidak diberi perhatian. Lumrah kehidupan manusia.
Saya masih ingat cerita seorang tua di sebuah kampung di sebelah pantai barat Sabah yang saya temui selepas pilihan raya lepas, yang mengharapkan agar jalan ke kampungnya diturap pada kali ini.
Ini kerana sejak zaman kerajaan Usno, kemudian Berjaya dan PBS, jalan menuju ke kampungnya itu sejauh kira-kira lima kilometer tidak diturap, sedangkan ia menjadi laluan utama penduduk dari lebih 10 kampung.
Menurut cerita orang tua itu, sudah sekian ramai pemimpin silih berganti, sudah tiga kerajaan bertukar memerintah, keadaannya masih tidak berubah.
Kini harapan tinggi disandarkan oleh orang tua itu kepada wakil rakyatnya sekarang, seorang pemuda berjiwa rakyat, bersemangat kental dan berwawasan jauh. Jiwanya bersalut keprihatinan, nalurinya bersulam manik-manik keazaman.
Orang tua itu menyatakan keyakinan terhadap cita-cita tinggi wakil rakyatnya itu untuk `memerdekakan’ pengundinya dalam ertikata sebenar.
Nun jauh di pelosok daerah lain, dari Pitas di utara hingga ke Pensiangan di pedalaman, masih ada lagi rakyat yang terkapai-kapai menanti pembelaan. Sedang warga di bandar meraih kemakmuran hidup dengan segala macam kemudahan, ramai juga yang tidak memiliki bekalan air dan elektrik, iaitu prasarana asas yang sewajarnya dinikmati di bumi merdeka ini. Kedaifan hidup pantas kita lihat jika masuk ke kampung-kampung.
Natijahnya, pengisian kemerdekaan negara sangat penting, terutama bagi penduduk di kawasan kampung terpencil seperti di Dandun, dengan membawa kemajuan dan kesamarataan pembangunan, supaya mereka benar-benar mendapat rahmat daripada hasil kemerdekaan yang dicapai selama ini.
Pimpinan perlu melihat kedua-dua aspek pembangunan, sama ada secara makro atau mikro, supaya tiada yang merasakan diri mereka terpinggir dan tersisih atau dipinggir dan disisihkan.
Sememangnya, kemerdekaan ini sungguh merahmati jika ia mampu diterjemah dalam konteks lebih menyeluruh, tetapi ia tidak membawa apa-apa makna jika sekadar diisikan dengan laungan `Merdeka’.
Kini berakhir sudah sambutan kemerdekaan negara yang ke-51, tetapi perjuangan untuk membawa kemajuan tidak harus berhenti di sini. Perjuangan mesti diteruskan kerana langkah ke hadapan ini masih penuh dengan ketidaktentuan dan ketidakpastian serta kemungkinan yang sukar diramalkan.