
TEPAT jam 7.30 malam, seperti dijanjikan, saya berada di pintu masuk kediaman Konsul Jeneral Jepun, Masashi Kono di Tanjung Aru. Pengawal membuka pintu pagar dan saya memasuki perkarangan yang diterangi pancaran lampu. Suasana agak sunyi. Tiupan angin dari laut berdekatan menerpa kedinginan malam.
Saya dan seorang editor kanan diundang khas ke kediaman itu (pada malam Jumaat lalu) atas jemputan peribadi untuk makan malam bersama Konsul Jeneral Jepun yang baru berpindah ke Sabah.
Di pintu utama, Kono dan isterinya sudah berdiri menunggu. Saya bersalaman dengan mereka, sambil menganguk-anguk kepala (tradisi orang Jepun). Dia kemudian memperkenalkan Naib Konsul, Yuki Okada bersama isteri yang juga baru tiba menyusul di belakang kereta saya.
Di pintu masuk (sebagaimana protokol semua kedutaan atau pejabat perwakilan asing) setiap pelawat harus menandatangani buku pelawat. Saya duduk menulis nama, sambil yang lain berdiri memerhatikan saya.
Ketika itu, terdetik dalam hati kecil, lagak saya seperti seorang pembesar pula.
(Pada petang hari yang sama, saya juga baru menandatangani buku pelawat seperti itu – tempatnya di Istana Negeri – ketika saya menyertai satu rombongan mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Sabah.)
Tanpa membuka kasut, kami (enam orang semuanya) kemudian sama-sama masuk dan duduk santai di ruang tamu kediaman itu.
Kono begitu mesra bercerita. Walaupun itu kali pertama kami bertemu, namun kemesraan dapat dirasakan. Wajahnya sentiasa ceria. Kami bercerita mengenai banyak hal.
Dia bertanya kepada saya, sama ada pernah ke Jepun sebelum ini. Dan secara jujur saya memberitahunya bahawa Negara Matahari Terbit itulah antara negara yang teringin saya kunjungi, tetapi belum kesampaian lagi. Perjalanan jauh saya hanya setakat ke China selain di negara-negara serantau Asean.
Setelah kira-kira 30 minit bercerita, kami beralih ke ruang makan. Di meja makan, kami menyambung perbualan lagi mengenai pelbagai hal – daripada hal kecil sehingga kepada isu besar – soal kerja, budaya dan ragam masyarakat sampailah kepada soal politik dan ekonomi.
Ceritanya mengenai ekonomi sesuatu yang menarik perhatian saya. Sebagaimana fenomena global, dia mengakui Jepun tidak terkecuali daripada kegawatan biarpun pada waktu ini, kesannya belum terasa sangat. Melihat kepada perkembangan dunia ketika ini, impak kegawatan akan mula dirasai seawal suku pertama tahun depan. Petanda awal kesannya ialah melibatkan industri automotif Jepun apabila syarikat kenderaan utama, Toyota dramal mengalami defisit buat kali pertama sejak penubuhannya, pada tahun kewangan yang akan berakhir Mac depan.
Pemberhentian pekerja juga berlaku di Jepun terutama yang membabitkan pekerja kontrak.
Ceritanya itu sememangnya sungguh menginsafkan. Kalau kuasa ekonomi seperti Jepun boleh menghadapi kegawatan yang merentasi seluruh dunia, apatah lagi negara membangun seperti Malaysia yang pertumbuhannya bergantung kepada sektor eksport.
Kita harus bertanya kepada diri sendiri, bersediakah kita mendepani cabaran dan tsunami ekonomi di tahun baru 2009 nanti?
Ketika itu, fikiran saya melayang. Hati kecil saya berbisik betapa perlunya semua pihak membuat persediaan sewajarnya dalam menghadapi kedatangan tahun baru yang penuh cabaran itu.
Kerajaan dan syarikat-syarikat di negara ini telah pun mengambil pelbagai langkah berhemah untuk mendepani tsunami ekonomi.
Di pihak individu, mungkin langkah dan pendekatan berhemah itu perlu terus dipupuk bagi menampung kehidupan keluarga.
Saya teringat lagi mengenai kempen Bumi Hijau yang kini giat dipromosikan oleh kerajaan negeri Sabah. Ia menggalakkan rakyat bercucuk tanam dan menternak bagi menampung keperluan sara diri. Mungkin, usaha ini perlu dilakukan secara lebih agresif!
Tiba-tiba lamunan saya terhenti apabila hidangan yang keenam tiba, antaranya sushi, iaitu hirisan nipis ikan mentah yang diperah dengan limau.
Saya memberitahu Kono dan isterinya bahawa di Sabah juga mempunyai menu yang hampir sama, dikenali `Hinava’ tetapi spesies ikan dan cara pembuatannya berbeza.
Kami terus menikmati hidangan selanjutnya, sambil meneruskan perbualan yang diselang-seli dengan gelak ketawa apabila sesuatu cerita itu mencuit hati.
Memang enak dan menyelerakan makanan Jepun. Menurut Kono, tukang masak yang menyajikan hidangan malam itu adalah dari Jepun. Sungguh istimewa dan satu penghargaan buat kami.
Tanpa disedari, masa sudah menghampiri jam 11 malam. Tidak terasa lamanya kerana cerita kami tidak pernah putus-putus, dari satu topik ke topik lain.
Apa yang menarik dalam pertemuan itu ialah kemesraan Kono dan Okada serta isteri mereka melayani kami. Tutur kata mereka lembut.
Nampak daripada bahasa dan pertuturan, mereka mempunyai cara tersendiri dan berbeza-beza dalam mengucapkan sesuatu perkataan.
Ketika kami mengucapkan Arigato sebagai tanda mengucapkan terima kasih atas undangan dan hidangan yang disajikan, Kono menjawab (atau mungkin menjelaskan) pula dengan berkata `Arigato Gozaimasu.’
Dia menjelaskan bahawa perkataan gozaimasu itu ditambah bagi menunjukkan betapa orang yang mengucapkannya begitu menghargai dan benar-benar rasa gembira. Dan ketika menyebut gozaimasu itu, katanya, intonasinya perlu perlahan dan lembut.
Kepada Kono dan Okada serta isteri mereka, Arigato Gozaimasu!

MINGGU lalu, daerah Beaufort sekali lagi dilanda banjir. Entah kali yang ke berapa sejak sebulan ini. Tidak dapat dihitung lagi.
Kampung kelahiran saya di daerah kecil Membakut juga sering dilanda banjir. Tetapi akhir-akhir ini, kampung kami sudah jarang tenggelam. Cuma laluan masuk kampung saja biasa ditenggelami bah akibat limpahan air dari Sungai Membakut yang kemudian menyusur parit-parit di sekitar Rancangan Mowau.
Banjir dahulu dan hari ini adalah sama -- bencana dan malapetaka. Namun, di zaman kanak-kanak saya dahulu, ada keseronokan dan rezeki di sebalik banjir yang melanda.
Saya masih ingat betapa seronoknya mendayung sampan memasang pukat (menebar jala) di bawah curahan hujan lebat.
Bapa saya memberitahu bahawa pada musim banjir memang banyak ikan pelbagai spesies – keli, karuk (puyu) dan banyak lagi boleh ditangkap. Ini kerana ikan-ikan itu “berpesta” waktu banjir untuk mencari makan cacing serta bermacam ulat lagi.
Sebab itu, musim banjir memang dinantikan oleh kanak-kanak sezaman saya dahulu. Selain ada alasan untuk ponteng sekolah, ia juga menjadi masa untuk mencari rezeki tambahan.
Pernah suatu ketika, saya ponteng kelas setelah kawasan sawah di belakang sekolah saya ditenggelami banjir. Dengan topi lusuh dan baju basah dek hujan yang mencurah, saya mendayung sampan kecil memasang pukat di situ tanpa dikenali guru dan murid lain yang sedang belajar.
Pada musim banjir juga saya sering berkunjung ke rumah “amai” (pakcik) di kampung bersebelahan, iaitu Kampung Piasau. Rumahnya berdekatan sungai. Rumah-rumah penduduk di situ didirikan dengan tinggi tiangnya. Kalau banjir biasa, mereka tidak perlu berpindah. Malahan, seingat saya, belum pernah berlaku penduduk di situ dipindahkan akibat banjir.
Di bawah rumahnya ada perahu. Pada jeti di sungai hadapan rumahnya juga ada perahu. Waktu musim kemarau, biasanya satu atau dua perahunya diterbalikkan di bawah rumah atau di sulap (bangsal) hadapan rumahnya, bersama barang-barang lain.
Pada musim banjir, perahu itu menjadi keperluan utama ke hulu hilir -- untuk memancing, menjala, menahan bubu (lukah) dan memasang “tanguk” atau ke seberang sungai untuk urusan lain.
Dua tahun lalu, perkahwinan anak perempuannya terpaksa dijalankan dalam keadaan banjir. Waktu itulah, perahu yang ditambatnya di bawah rumah menjadi pengangkutan utama. Mengangkut barang makanan, minuman untuk hidangan tetamu. Orang kampung yang datang berkunjung juga menaiki perahu atau bot masing-masing.
Meredah banjir di waktu malam juga pengalaman menyeronokkan. Biasanya, bapa tidak mengizinkan saya atau abang keluar sendirian untuk “melihat” bubu yang dipasang.
Dengan bersenjatakan lampu picit empat bateri, bapa biasanya menemani kami. Saya duduk di bahagian belakang perahu dan bapa di bahagian hadapan, sama-sama mendayung. Sepanjang perjalanan, kami tidak banyak bercakap. Meredah pekat malam menuju destinasi, sambil mendengar suara katak bersahut-sahutan atau cengkerik bernyanyi lagu syahdu mereka. Kami hanya akan pulang ke rumah menjelang dinihari selepas semua bubu ditinjau dan hasil tangkapan dimasukkan dalam tin berisi air.
Sesampai di rumah, semua hasil tangkapan itu diasingkan dan diletak dalam tin berasingan mengikut jenis ikan dan saiz kerana keesokan harinya peraih akan datang ke rumah kami “memajak” rezeki banjir itu untuk dijual di kedai atau tamu mingguan.
Sebahagian hasil jualan itu akan dibelanjakan untuk membeli keperluan rumah dari sebuah kedai runcit di kampung kami –- kedai Si Awang Hitam – satu-satunya kedai yang memberi kemudahan kredit (hutang buku 555) pada waktu itu.
Pensiangan adalah Pensiangan
NAMPAKNYA pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu diadakan lebih dahulu daripada pilihan raya kecil Parlimen Pensiangan.
Penamaan calon telah ditetapkan pada 5 Januari dan pengundian pada 17 Januari. Bermakna tempoh kempen cuma 11 hari.
Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu (berikutan kematian Datuk Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran) merupakan yang kedua selepas Parlimen Permatang Pauh.
Dan pilihan raya kecil Pensiangan, jika diadakan nanti, menjadi yang ketiga selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu.
Apapun perkiraan dan pertimbangan, Kuala Terengganu bakal menyaksikan pertembungan Barisan Nasional (BN) dengan pembangkang sekali lagi.
Demikian juga di Pensiangan nanti.
Kalau di Permatang Pauh pada 26 Ogos lalu, BN berentap dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), di Kuala Terengganu bakal menyaksikan giliran Pas pula bersaing dengan BN.
Manakala di Pensiangan, nampak gaya ia akan menjadi gelanggang pertemuan antara BN dengan PKR selain barangkali calon Bebas.
Lebih penting dari itu, persaingan di Pensiangan memungkinkan pertembungan antara dua JK – penyandang Tan Sri Joseph Kurup mewakili BN dan sahabat seperjuangan yang kemudian menjadi seteru politiknya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dari PKR.
Berdasarkan perkembangan dan trend politik semasa, Kurup hampir pasti dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi itu sekiranya pilihan raya kecil diadakan nanti.
Demikian juga dalam kem pembangkang, khususnya PKR yang membawa kes Pensiangan ke mahkamah, cakap-cakap politik membayangkan kemungkinan parti itu meletakkan Jeffrey Kitingan bagi memberikan saingan kepada BN di pedalaman.
Penganalisis politik meletakkan peluang BN dan PKR di Pensiangan sebagai 50-50, bergantung kepada siapa calon yang ditampilkan.
Ini kerana sentimen di Pensiangan tidak sama dengan suasana di Permatang Pauh, juga bebeza dengan keadaan di KualaTerengganu.
Menurut cerita seorang rakan wartawan yang baru balik dari Nabawan (pekan terdekat dengan Pensiangan), Pensiangan adalah Pensiangan.
Bagi rakyat di Pensiangan, apa yang diharapkan adalah pembangunan – Pensiangan adalah jalan raya, sekolah, elektrik dan air. Mereka mahukan perubahan, kemajuan dan kesejahteraan hidup, bukan lagi retorik atau sandiwara politik semata-mata.
Pensiangan tidak boleh dianggap sebagai kubu BN. Kerana kekuatan parti tidak teruji dalam pilihan raya lepas. Kerusi itu dimenangi tanpa tanding oleh BN.
Di Permatang Pauh lain ceritanya. Ia tidak boleh disamakan dengan mana-mana kawasan. Ia sememangnya dianggap kubu kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan senario dari awal pilihanraya kecil itu sudah nampak memihak kepada PKR.
Sementara di Kuala Terengganu keadaannya juga menarik (sebagaimana jangkaan di Pensiangan) berikutan ramalan awal memberikan peluang seimbang 50-50 antara BN dan Pas.
Tiga kerusi ini mempunyai pola pengundian yang berlainan. Kalau di Permatang Pauh, ia lebih menjurus kepada soal sentimen dan ideologi dan di Kuala Terengganu lebih kepada sentimen kepartian dan kenegerian, tetapi di Pensiangan pastinya lebih menjurus kepada soal pembangunan dan kesejahteraan hidup.
09/12: MENGINSAFI TRAGEDI DISEMBER

TRAGEDI Disember muncul lagi. Bencana tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur, menimbus 14 banglo dan meragut empat nyawa.
Malapetaka itu mengemparkan seluruh negara. Ketika saya menonton Buletin Utama malam kelmarin, terasa ngeri mengikuti laporan kejadian itu menerusi televisyen.
Sepantas itu juga, ingatan saya kembali kepada beberapa tragedi bulan Disember – kondominium runtuh, gempa, tsunami dan ribut.
Ini kerana saya terlibat sama berkampung membuat liputan dua daripada tragedi menyayat hati – Highlands Towers runtuh pada Disember 1993 dan ribut tropika Greg di Keningau pada 1996 – ketika saya bekerja dengan sebuah akhbar arus perdana.
Setiap kali bencana berlaku pada penghujung tahun, sepantas itu juga orang menanggapinya sebagai tragedi Disember -- sama ada ia telah ditakdirkan demikian atau secara kebetulan ia berlaku pada waktu seperti ini.
Apapun tanggapan dan persepsi mengenainya, ia tetap satu tragedi yang harus menginsafkan kita semua. Apapun faktor yang menjadi punca dan penyebabnya, kita harus mencari jawapan dan jalan penyelesaian terbaik.
Begitu pun, sikap menuding jari setiap kali berlaku kejadian sememangnya tidak dapat dielakkan. Ada saja pihak mencari kesalahan dan mempersalahkan orang lain.
Saya masih ingat, tidak lama dulu, ada seorang pemimpin yang dikritik hebat kerana sering berlaku runtuhan sehingga merosakkan jalan raya mempersalahkan pula kepada `takdir’ kerana membawa hujan lebat, yang menyebabkan tanah bukit runtuh mengelongsor dan menimbus jalan raya.
Apapun, setiap tragedi itu ada pengajaran yang boleh dijadikan iktibar. Apabila kita belajar daripada kejadian, ia mungkin boleh mengelak kejadian seumpamanya berulang atau meminimumkan kesannya, jika pun berlaku lagi.
Justeru, saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada semua kerajaan negeri supaya menimbang untuk menghentikan projek perumahan di kawasan lereng bukit dan cerun yang berisiko tinggi hendaklah diberi perhatian sewajarnya oleh semua pihak yang berkaitan.
Alasan Perdana Menteri ialah dari segi aspek keselamatan, bukan soal untung rugi.
Menurut Abdullah, kerugian mungkin lebih besar sekiranya tanah runtuh berlaku berbanding kerugian tidak menjalankan projek di tanah berisiko tinggi.
Kejadian awal pagi Sabtu di kawasan Bukit Antarabangsa, Hulu Klang, telah mengorbankan empat orang, manakala seorang lagi mangsa dipercayai masih terperangkap dalam rumah-rumah yang tertimbus itu.
Sehingga kini, operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan selama 24 jam masih diteruskan.
Tragedi berkenaan adalah antara beberapa kejadian tanah runtuh yang berlaku sejak kira-kira seminggu lalu.
Pada 30 November lepas, dua beradik Noratirah Roslan, 16, dan Nurul Intan Sarina, 9, terbunuh dalam kejadian runtuhan tanah yang menimpa banglo kediaman mereka di Ulu Yam Perdana, Gombak.
Sementara pada Khamis lepas, tanah runtuh di Jalan Semantan meranapkan dinding konkrit kawasan meletak kenderaan yang terletak antara dua bangunan, mengakibatkan enam kereta tertimbus selain merosakkan lima lagi kenderaan.
Kesemua kejadian tanah runtuh ini dipercayai berpunca daripada pergerakan air bawah tanah, dan keadaan itu diburukkan lagi oleh hujan lebat sejak beberapa minggu lepas.
Antara dua CSL yang panas
Ada dua CSL yang panas di pasaran sekarang ini.
Yang pertama, telefon bimbit buatan Malaysia jenama CSL yang mencatat jualan panas di pasaran. Ia mempunyai dua kad sim yang boleh diaktifkan dalam masa sama, dilengkapi empat saluran TV pula.
Ketika meninjau ke beberapa pusat beli-belah di ibu negeri, nampaknya telefon bimbit jenama CSL begitu laris sekali.
Yang kedua panas ialah Datuk Seri Chua Soi Lek atau singkatan akronim namanya CSL – gara-gara syarahannya bertajuk Perubahan Politik di “Kancil Speaker Series” yang dikatakan menyentuh soal ketuanan Melayu.
Kenyataan beliau itu mengundang kritikan hebat khususnya daripada pimpinan parti Umno yang memperjuangkan hak dan kedaulatan orang Melayu.
Pada Rabu minggu lalu, CSL atau lebih dikenali dengan panggilan Soi Lek telah memberi keterangan kepada polis selama 45 minit berhubung kenyataan beliau itu di Balai Polis Sunway, Kuala Lumpur.
Ketika panas pertikaian berhubung kenyataan CSL itu, Ahli Parlimen Seri Gading, Datuk Mohamad Aziz, menambahkan lagi suhu dengan bertanyakan kepada pihak berkenaan, termasuk MCA, apakah dosa orang Melayu hingga mereka mempertikai perkara itu sesuka hati kebelakangan ini.
“Ketuanan Melayu bukan bermakna bangsa lain menjadi hamba. Malah ketuanan Melayu hanya menjadi simbul dalam sejarah negara ini dan tidak menghina bangsa lain,” katanya.

PETANG Sabtu, saya sempat bersembang kosong dengan seorang Datuk mengenai bermacam hal. Satu daripadanya ialah mengenai betapa ramai pemimpin Umno dari Kuala Lumpur berada di Sabah sejak akhir-akhir ini, dengan acara dan program masing-masing.
Saya katakan bahawa semua pemimpin itu hadir ke Sabah atas kapasiti jawatan mereka, sama ada dalam parti mahu pun kerajaan.
Memang diakui juga bahawa akhir-akhir ini banyak tugasan liputan media membabitkan pemimpin Umno dari KL. Pada Sabtu, wakil kami di Sandakan dan Tenom turut menghantar berita mengenai program menteri Umno di kawasan mereka.
Pada Jumaat, saya turut dikunjungi dua pegawai khas seorang menteri KL yang mengundang untuk hadir ke satu majlis sembang-sembang bersama menterinya.
Sebelum itu pada Khamis, seorang kenalan menjemput saya hadir bersarapan pagi bersama seorang lagi pemimpin Umno dari KL yang kini berada di Sabah. Kelmarin saja, terdapat enam atau tujuh pemimpin Umno dari KL sedang berkampung di Negeri Bawah Bayu ini.
Kehadiran pemimpin-pemimpin Umno ini tentunya mahu mendekati Sabah dan rakyatnya yang telah memberikan sokongan padu dan kemenangan mutlak kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum lepas. Ia juga dikatakan selaras saranan turun padang yang dituntut kepimpinan parti dan kerajaan.
Lebih penting, di sebalik semua itu, Sabah merupakan lubuk sokongan bagi pemimpin Umno yang akan bertanding dalam pemilihan pada perhimpunan agung Umno Mac tahun depan.
Mahu tidak mahu, mereka perlu mendekati ahli-akar umbi bagi survival perjuangan politik mereka.
Sabah mempunyai 25 bahagian Umno (20 kawasan Parlimen dan 60 kerusi DUN) dengan keahlian lebih 400,000 serta lebih 5,000 cawangan.
Beberapa pemimpin Sabah turut menawarkan diri bertanding pelbagai jawatan dalam Umno pada perhimpunan kali ini.
Mendahului senarai ialah Menteri Perpaduan Kebudayaan Kesenian dan Warisan, Datuk Mohd Shafie Apdal yang bertanding jawatan Naib Presiden, diikuti Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Hj Aman, mempertahankan kerusi Majlis Tertinggi (MT).
Sementara bagi kerusi Majlis Tertinggi pula, beberapa nama turut dicalonkan. Antaranya Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin; Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun; Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman; dan Ketua Umno Bahagian Kota Belud. Datuk Seri Salleh Said dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin.
Begitu juga di peringkat Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri, beberapa orang sudah dicalonkan dan sebahagian mereka sudah mengesahkan bertanding jawatan berkenaan.
Apapun, dalam proses pemilihan ini, suatu hakikat yang perlu dimengertikan ialah soal kepimpinan yang beringriti dengan nilai-nilai moral serta keperibadian murni.
Ia penting kerana kepimpinan yang baik dan bertanggungjawab, mampu membawa pembaharuan dan perubahan dalam kehidupan masyarakat. Ini bermakna parti yang dipimpin oleh pemimpin yang bertanggungjawab akan membawa parti ke mercu kegemilangan, seterusnya memperkukuhkan sokongan rakyat terhadap parti dan kerajaan.
Persoalan ini perlu difkir dan dipertimbangkan secara serius. Lebih baik kita kalah, tetapi bermoral, daripada kita menang tetapi dicapai melalui cara-cara yang tidak bermoral. Kesan daripada sikap yang tidak memandang moral sebagai teras politik, akan menghancurkan nilai-nilai dalam parti. Dan secara beransur-ansur parti menjadi rosak dan akan kehilangan sokongan.
Setiap ahli Umno yang cintakan parti perlu mengambil kira aspek ini supaya rakyat menghormati Umno. Umno ialah tunjang kerajaan Barisan Nasional, justeru Umno perlu menampilkan pemimpin berwibawa dan bertanggungjawab.
Ini penting sebagai iltizam bersama kerana Umno bukan sekadar sebuah parti politik, tetapi sebenarnya sebuah institusi yang merangkumi seluruh kepentingan dan kehidupan rakyat.
Kita orang kasi maju Orang Kita

Ampa (tengah) bersama dua peminatnya
BERSAMA seorang teman, saya duduk semeja dengan Pengarah DBP Sabah, Zubaidi Abas dan artis popular Sabah, Abu Bakar Ellah, ketika menghadiri rumah terbuka Umno Bahagian Sepanggar bulan lalu.
Kami bercerita mengenai beberapa hal. Oleh kerana kami dari profesion berlainan, maka tiadalah cerita serius mengenai kerjaya masing-masing.
Sedang kami berbual, Adun Karambunai, Datuk Jainab Datuk Ahmad Ayid yang menjadi tuan rumah majlis itu, tampil dan merancakkan lagi perbualan kami, sambil sesekali dipecahkan dengan gelak ketawa tatkala ada cerita yang melucukan.
Tetapi sesuatu yang membanggakan saya ialah keprihatinan pimpinan politik terus mengundang Abu Bakar Ellah, yang lebih dikenali Ampal, untuk memeriahkan majlis-majlis mereka. Undangan sedemikian menjadi refleksi dan manifestasi sokongan kepada artis tempatan serta industri muzik di negeri ini.
Sewajarnya, kita memberi sokongan dan dorongan kepada artis tempatan sendiri.
Bagi saya, Ampal perlu diberi penghormatan dan diangkat oleh orang Sabah sendiri kerana beliau merupakan seorang pejuang lagu-lagu daerah.
Rakaman lagu-lagu jenaka dan puisi, sebahagiannya berunsur kemanusiaan, telah mengangkat dirinya ke tengah pentas dunia seni tanah air, khususnya di Sabah.
Lagu jenaka “Menggatal Telipok” dan “Orang Kita” sudah begitu sinonim dengan penyanyi yang berasal dari Kampung Penangah, Kinabatangan, ini selain banyak lagi lagu-lagu rakyat yang terhimpun dalam kompilasi albumnya.
Ampal pernah memenangi tempat pertama menerusi lagu Warkah Dari Gunung nyanyiannya dalam Sayembara Mencipta Lagu dan Lirik Puisi 2000 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cawangan Sabah.
Sementara di pentas seni nasional, penyanyi yang unik dengan potongan rambut “tempurung kelapa” ini mula dikenali setelah muncul sebagai pemenang ketiga Sinaran Pasport Kegemilangan anjuran TV3 pada tahun 1995.
Siapa lagi yang memajukan `Orang Kita’ melainkan `kita orang’ sendiri.

Rosnah dalam
arus politik nasional
WAKTU menunjukkan hampir jam 9 malam. Tetamu yang memenuhi ruang sempit halaman rumah saya sedang menikmati juadah. Ada yang berbaris mengambil makanan yang disediakan. Ada yang makan buah-buahan. Yang lain minum, santai dan berbual-bual.
Dalam suasana agak bising itu, sebuah van putih berhenti di hadapan rumah, diikuti beberapa kenderaan lain yang tidak dikenali. Semua pandangan tertumpu ke situ, melihat siapa yang datang.
“Apa khabar…Merry Christmas,” itulah ungkapan pertama Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, ketika saya menyambutnya sebaik turun dari sebuah Proton Perdana berwarna gelap dalam konvoi itu.
Kehadirannya pada rumah terbuka Krismas tahun lepas, seperti dalam dua tahun sebelumnya juga, sentiasa menjadi perhatian. Dengan penampilan wajah ceria dan riang, kehadirannya memeriahkan majlis, menceriakan suasana. Seperti lazimnya, dia bersalaman, berbual dan bertanya khabar dengan para tetamu serta kenalan, dari pelbagai latarbelakang, yang hadir pada malam itu.
Van putih yang mendahului konvoi itu sebenarnya membawa ahli-ahli Puteri Umno, kebanyakannya dari Bahagian Papar, yang diterajuinya ketika itu.
Kini Rosnah tidak lagi menerajui Puteri Papar kerana faktor usia. Dia melepaskan jawatan itu dalam mesyuarat perwakilan bulan lepas. Dua jawatan disandangnya sekarang ialah Ahli Parlimen Papar dan Naib Ketua Puteri Umno Pusat.
Tetapi yang terbaru, Rosnah mengesahkan bertanding jawatan Ketua Puteri Umno, pada pemilihan yang dijadualkan Mac depan.
Pengumumannya itu tidak mengejutkan. Ini kerana sepanjang mesyuarat perwakilan bahagian-bahagian Puteri seluruh negara, beliau antara yang mendapat pencalonan tertinggi.
Biarpun di Sabah tidak semua bahagian Puteri mencalonkannya, namun pencalonan dari negeri-negeri lain di Semenanjung menunjukkan betapa kepemimpinannya sudah diiktiraf dan diangkat ke pentas nasional.
Keputusannya itu sudah tentu dibuat atas keprihatinan untuk meneruskan perjuangan yang belum selesai, dengan mengambil kira jumlah pencalonan yang diterima dari seluruh negara.
Rosnah turut memperbetulkan kenyataan sebuah akhbar yang melaporkan mengenai kesediaannya berkompromi yang menimbulkan tafsiran negative serta kekeliruan, dengan menegaskan bahawa soal kompromi tidak seharusnya berbangkit.
“Soal kompromi agak sukar untuk dicapai dalam pergerakan itu pada masa ini, terutama berdasar kepada jumlah calon, jumlah pencalonan dan keadaan senario politik sekarang.
“Saya cuma bersetuju jika ada inisiatif daripada pucuk pimpinan untuk mengajak semua calon duduk berbincang bagi mengelak perpecahan. Ini penting bagi memastikan keutuhan parti kerana kita juga bimbang kempen yang melampau batasan etika dan peraturan parti serta budaya politik wang boleh melemahkan Umno,'' katanya.
Apapun buat Rosnah, penampilan wajah ceria dan riangnya menjanjikan penghujung perjuangan yang indah. Wajah adalah bayangan perasaan. Wajah tanpa senyuman menunjukkan kemuraman cahaya hidup. Tetapi dengan senyuman dan keceriaan, segala sesuatu dapat diselesaikan dengan riang. Salam perjuangan!
Korupsi dari
kaca mata Salleh
kaca mata Salleh
Dalam tulisan terbarumya, veteran politik dan blogger, Datuk Seri Salleh Said, menulis mengenai korupsi dari sudut pandangannya dan memberikan satu perbandingan keadaan secara global.
Berikut sedutan tulisan beliau bertajuk “Korupsi: Satu perbandingan pandangan” dalam www.sskeruak.blogspot.com,
Wang dan politik begitu susah dipisahkan. Di negara maju Amerika Syarikat sekali pun, korupsi dan beli undi secara lansung atau tidak juga berleluasa. Dana banyak dipakai untuk jentera dan propaganda menerusi pelbagai cara, termasuk iklan internet.
Demikian juga penyalahgunaan kuasa. Ia berlaku secara terbuka mahupun berselindung untuk mencapai matlamat agenda yang dituju.
Rasuah di Amerika juga berlaku dalam konteks peperangan. Satu contoh jelas ketika perang di Iraq ialah tindakan Amerika Syarikat menjanjikan bantuan kewangan kepada Turki, bagi membolehkan tenteranya mendapatkan pangkalan bagi serangan ke atas Iraq. Ia secara terang merupakan suatu perbuatan rasuah.
Tetapi tindakan itu dihalalkan atas bermacam alasan, termasuk kononnya prinsip kemanusiaan sejagat. Barat sering menganggap amalan korupsi di negara-negara membangun sebagai tidak bertamadun, tetapi di peringkat antarabangsa pula dipandang sebagai amalan politik pragmatik.
Apapun, rasuah atau korupsi tetap merupakan amalan tidak beretika, walau di mana-mana ia dilakukan, sama ada dalam negara mahupun peringkat antarabangsa. Sama ada kecil mahu pun besar.
Persoalannya, ke manakah negara-negara kecil harus mendapatkan sokongan? Jawapannya - dunia hanya menjadi medan untuk golongan kaya dan kuat!
Kekuatan dari segi ekonomi dan wang sering menjadi penentu kelangsungan politik, sedangkan ia tidak seharusnya demikian. Dalam sesuatu proses pemilihan pemimpin misalnya, wang tidak sepatutnya menjadi pertimbangan untuk membuat sesuatu keputusan secara mutlak. Sebaliknya, kempen perlu diadakan secara terbuka dan biarlah ahli-ahli atau perwakilan menilai calon-calon itu berasaskan keyakinan mereka ke atas kepimpinan seseorang.
Perdebatan konflik ekonomi-politik ini memang menarik, apatah lagi ia sering bersangkutan dengan isu korupsi, kronisme dan nepotisme.
Apapun, semua bentuk korupsi, sama ada besar atau kecil, sama ada dilakukan oleh orang berpangkat tinggi atau rendah, merupakan kesalahan yang mesti dihindari dan dikenakan hukuman jika sabit kesalahan.
Ada yang mengaitkan perbuatan rasuah berpunca daripada masalah kesempitan hidup dan pendapatan rendah di kalangan pelaku-pelakunya. Mungkin ada kebenarannya. Tetapi apabila perbuatan rasuah ini berlaku di kalangan golongan berilmu dan berpendapatan tinggi, ia mencetuskan persoalan baru terhadap punca gejala ini.
Dalam konteks ini, usaha memupuk dan menanamkan nilai-nilai murni perlu diperhebatkan lagi bagi memerangi korupsi. Bermula di peringkat atasan sehingga ke peringkat bawahan, bukan sebaliknya.
Cinta dari
pandangan Ezza
pandangan Ezza
Ketika melayari satu blog, saya terserampak dengan catatan seorang guru yang menghargai inisiatif sahabat saya, Abd Naddin Hj Shaiddin, yang memulakan blognya dengan Catatan Deasoka.
Ezza Fazlina J dalam `Puteriezz.com’ menulis banyak hal. Daripada kehidupan masyarakat hingga kepada kabejatan sosial. Dia juga menulis mengenai “politik hingusan” dan tidak terkecuali soal cinta.
Saya tertarik dengan ungkapannya mengenai cinta. Berikut saya perturunkan sedikit catatan Ezza dan pandangannya mengenai cinta yang juga dikutipnya dari blog Sharze:-
* Orang yang mencintai anda tidak pernah mampu memberikan alasan kenapa dia mencintai anda. Yang dia tahu di hati dan matanya hanya ada kamu satu-satunya.
* Walaupun anda sudah memiliki teman istimewa atau kekasih, dia redha. Baginya yang penting anda bahagia dan kamu tetap menjadi impiannya.
* Orang yang mencintai selalu menerima kamu seadanya
* Orang yang mencintai kamu akan selalu mengingat setiap kejadian yang dia lalui bersama kamu, bahkan mungkin kejadian yang kamu sendiri sudah melupakannya, kerana saat itu ialah sesuatu yang berharga untuknya. Dan saat itu, matanya pasti berkaca...kerana saat bersamamu itu tidak mungkin berulang selalu
* Orang yang mencintai kamu selalu mengingati setiap kata-kata yang kamu ucapkan, bahkan mungkin kata-kata yang kamu sendiri lupa pernah mengungkapkannya, kerana dia menyematkan kata-kata mu di hatinya. Berapa banyak kata-kata penuh harapan yang kamu tuturkan padanya, dan akhirnya kamu musnahkan? Pasti kamu lupa, tetapi bukan orang yang mencintai kamu.
* Orang yang mencintai kamu akan memberikan suatu barang miliknya yang mungkin buat kamu itu ialah sesuatu yang biasa, tetapi baginya barang itu sangat istimewa.
* Orang yang mencintai kamu akan terdiam sesaat, ketika sedang bercakap di telefon dengan kamu, sehingga kamu menjadi bingung. Sebenarnya saat itu dia merasa sangat gugup kerana kamu telah menggegarkan dunianya, dan mungkin juga dia tengah sendu di hujung talian mendengar setiap kata-kata kamu.
* Orang yang mencintai kamu selalu ingin berada dekat kamu dan ingin menghabiskan hari-harinya hanya dengan kamu. Tiada lagi masa dihadkannya bersama teman-temannya hanya untuk bersama kamu.
* Kalau kamu melihat telefon bimbitnya, maka nama kamu akan menghiasi sebahagian besar INBOX-nya. Dia masih menyimpan SMS-SMS daripada kamu walaupun ia dikirim berbulan-bulan atau bertahun-tahun yang lalu. Bukan itu saja, pasti nama kamu juga sudah bertukar dengan nama-nama tertentu di dalam 'booklist' telefonnya itu
* Jika suatu saat kamu merindukannya dan ingin memberinya kesempatan, dia akan ada menunggu kamu kerana sebenarnya dia tak pernah mencari orang lain. Dia sentiasa menunggu kamu.


DATIN RAHMAHJAN
KETIKA saya bertemu dia di butiknya di 1Borneo, Khamis lepas, wajahnya membayangkan rasa sendu, sedih dan pilu menatap laporan muka hadapan Utusan Borneo pada hari itu.
Laporan bertajuk “14 bahagian Umno Sabah sokong Sharizat tanding Ketua Wanita” itu benar-benar mengusik hati dan perasaan Datin Rahmahjan Sulaiman Khan, Ketua Wanita Umno Bahagian Tenom.
Rahmahjan yang lazimnya sentiasa ceria ketika berbual bicara, kelihatan agak serius di awal pertemuan kami pada petang itu.
Sebaik saya melangkah masuk ke butiknya bersama seorang sahabat, dia pantas mempelawa kami ke ruang pejabatnya setelah memperkenalkan beberapa kakitangan di situ yang sebahagiannya kebetulan berasal dari daerah kelahiran saya.
“Kenapa dia buat kenyataan begini… beliau sepatutnya menghormati keputusan dan kemahuan pemimpin wanita di peringkat akar-umbi,” katanya memulakan perbualan petang itu sebagai merujuk kenyataan oleh Ketua Wanita Umno Sabah, Datuk Armani Mahiruddin.
Dalam kenyataannya itu, Armani antara lain menyatakan bahawa pencalonan 14 bahagian Umno di Sabah bagi Datuk Sharizat Abdul Jalil bertanding jawatan Ketua Wanita, menunjukkan mereka mahukan perubahan besar dalam kepimpinan Pergerakan Wanita Umno pada tahun depan.
Tanpa berselindung lagi, Rahmahjan menyatakan kerisauannya dengan keadaan yang berlaku memungkinkan membawa perpecahan dalam wanita apabila keputusan exco pun tidak dihormati.
“Kami tidak mahu desakan ini (supaya Sharizat bertanding jawatan Ketua Wanita Umno yang sekarang disandang Tan Sri Rafidah Aziz) dibuat dengan niat untuk kepentingan diri masing-masing semata-mata,” katanya berterus-terang.
Dan Rahmahjan menyambung lagi: “Beliau (Armani) perlu menghormati keputusan dan kemahuan bahagian dan akar-umbi yang mahukan pelan peralihan kuasa dikekalkan pada Jun 2009 dan mahukan Rafidah untuk terus menerajui kepimpinan Pergerakan Wanita seperti dipersetujui.”
Perbualan kami terganggu beberapa kali. Telefon bimbitnya berdering berulang kali. Daripada ungkapan perbualannya, saya mengagak semua panggilan yang diterimanya adalah berkaitan isu yang membelenggu Pergerakan Wanita Umno.
Ketika dia semakin bersemangat bercerita, saya sempat memaklumkan kepadanya bahawa saya tidak boleh berbicara lama di situ. Saya perlu bergegas balik ke pejabat bagi membuat persiapan menjelang mesyuarat rutin jam 5 petang.
Tetapi, dalam pertemuan tergesa-gesa kami petang itu, dia sempat juga menyatakan bahawa yang penting dalam perjuangan Umno adalah mendahulukan kepentingan parti.
“Ini bermakna perpaduan dalam parti harus menjadi keutamaan oleh setiap pemimpin, mengatasi kepentingan diri,” katanya.
Melihat perkembangan yang berlaku dalam sayap Wanita Umno hari ini, nampaknya telah wujud dua kelompok yang mempunyai pendirian serta pandangan berbeza berhubung isu peralihan kuasa dalam Pergerakan Wanita Umno.
Di satu pihak mahukan Rafidah terus memimpin sehingga pelan peralihan berlaku pada Jun 2009, manakala ada pihak juga mahu pelan peralihan itu dipercepatkan pada Mac 2009, seiring dengan peralihan kuasa oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam kemelut yang melingkari Pergerakan Wanita ini, bermacam-macam teori dan alasan diberikan bagi menyokong pendirian masing-masing.
Seperti yang dijelaskan oleh Armani, pencalonan oleh 14 bahagian Umno bagi Sharizat itu adalah “isyarat” kemahuan akar-umbi untuk menuntut perubahan.
Tetapi pendapat itu tidak dipersetujui oleh Naib Ketua Wanita Umno Sabah, Datuk Amisah Yassin, yang menegaskan bahawa akar-umbi Sabah tidak pernah memberi mandat kepada Armani untuk mewakili wanita mendesak Rafidah mempercepatkan peralihan jawatan dan kuasa kepada Sharizat.
Dengan nada tegas, beliau menjelaskan bahawa tidak ada dan tidak pernah dibuat sebarang mesyuarat atau perbincangan di kalangan wanita negeri menyokong kenyataan yang dibuat oleh Armani itu.
Lagi pun, tegasnya, Armani tidak ada hak untuk mengatakan Wanita Sabah keseluruhannya menyokong Shahrizat.
“Saya setuju ada 14 bahagian di Sabah mencalonkan Shahrizat, tetapi jangan lupa, ia bukan sokongan mutlak daripada pemimpin wanita di Sabah kerana ada 11 lagi bahagian di Sabah mahukan Rafidah mengekalkan pelan peralihan kuasa pada Jun 2009,” katanya.
Dengan perkembangan ini, bermakna Wanita Umno Sabah berada di persimpangan jalan – sama ada terus menyokong Rafidah atau pun berpaling kepada Sharizat.
Apapun, Wanita Umno Sabah perlu membuat perhitungan dalam percaturan ini. Mereka perlu bertegas dalam pendirian masing-masing.
Ketegasan itu mencerminkan kredibiliti kepimpinan. Jangan sekali-kali bersikap hipokrit! Jangan menjadi seperti lalang, tunduk ke mana saja ditiup angin.
Saya katakan demikian kerana teringat kisah mengenai seorang Ketua Wanita Umno Bahagian yang berani mencalonkan Sharizat untuk jawatan Ketua Wanita, tetapi keesokan harinya pula meminta ditonjolkan cerita dia menghargai jasa dan sumbangan Rafidah.
Nyata jelas, pemimpin wanita juga bisa mengegarkan pentas politik Sabah yang turut menjadi penentu kelangsungan politik Umno.

SELEPAS dua minggu bekerja tanpa henti, akhirnya saya mendapat rehat sehari kelmarin. Lega terasakan. Mahu saja saya tidur seharian menebus letih yang terkumpul sekian hari.
Memang terasa keletihan mengendalikan akhbar 32 halaman ini, sehingga kadang-kala menjangkau larut malam, namun hari-hari yang diharungi menjadi sesuatu yang menyeronokkan lantaran adanya semangat kerja berpasukan bersama rakan-rakan setugas yang begitu memahami, daripada wartawan hingga kepada penyunting, untuk membolehkan Utusan Borneo menjadi yang terbaik buat pembaca.
Dua minggu yang dilalui tidak juga terasa lamanya. Masa begitu cepat berlalu. Tanpa disedari kini sudah masuk minggu ketiga Oktober, bulan hadapan November muncul dan selepas itu Disember hadir (dinantikan banyak orang) di penghujung tahun sebelum melangkah ke tahun baru.
Tanpa saya sedari juga, sudah lama saya tidak pulang ke kampung, yang jaraknya tidakpun sampai satu jam pemanduan dari ibu negeri. Sehinggakan seorang teman berpesan pada Jumaat: ”Esok, awak balik kampung ya…tengok orang tua..”
Memang tersimpan niat di hati untuk pulang menjenguk kampung. Tetapi, disebabkan “masalah teknikal” di awal pagi, maka niat itu tertangguh lagi. Di hati kecil saya berbisik sendiri: “Biarlah di sini…setidak-tidaknya, saya boleh berehat juga”.
Lantas waktu yang terlapang saya manfaatkan sepenuhnya. Siangnya mengurus kerja-kerja rumah yang terbengkalai, menjelang malam barulah dapat santai sedikit menghadap televisyen yang kebetulan mengadakan siaran langsung sempena sambutan kemerdekaan negara ke-51 di Padang Merdeka, Kota Kinabalu.
Sungguh meriah sambutan itu, penuh warna dan hebat gemilang. Apatah lagi dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menjadikan sambutan itu cukup bermakna. Sesuailah dengan usia kemerdekaan negara yang begitu mematangkan, menjadi lambang kemajuan sebuah tamadun bangsa yang dulunya terhimpit mundur dan tertinggal.
Lebih bererti lagi sambutan itu kerana ia diadakan di bumi Sabah yang bersama-sama Sarawak dan Malaya, pada tanggal 16 September 1963, membentuk gagasan dikenali Malaysia.
Memangnya negara kita sudah membangun. Memang pun kita sudah melangkah jauh ke hadapan. Dan memang pun negara kita semakin tersohor, dikenali dan disegani seluruh dunia. Sekalung penghargaan kepada pejuang kemerdekaan masa silam, kerana berkat perjuangan itu, kita menuai hasilnya kini.
Tidak syak lagi, lambang kemajuan negara terpancar di sana-sini. Ibu kota metropolitan dihias bangunan pencakar langit, disinari lampu warna-warni, kereta-kereta nasional menjalari ke serata tempat hingga pelosok kampung, rumah-rumah para pembesar berdiri teguh bagaikan istana dan sekian banyak lagi lambang kemajuan, kemakmuran dan kemewahan hasil daripada kemerdekaan yang digapai.
Semua ini dinikmati lantaran wujudnya perpaduan dan jalinan muafakat sesama rakyat. Sabah menjadi contoh perpaduan erat masyarakat pelbagai etnik.
Biarpun saya sekadar mengikuti kemeriahan acara di Padang Merdeka itu menerusi televisyen, namun memang dapat dirasakan suasana muhibah dan semangat toleransi segenap lapisan masyarakat. Daripada tarian sambut tamu sebagai pembuka tirainya saja dapat dimengertikan keindahan sebuah bangsa yang pelbagai latarbelakang.
Penari-penari kebudayaan yang mengenakan pakaian tradisi kaum masing-masing, pastinya menjadi lambang perpaduan yang jitu yang terbina di atas tanah merdeka.
Sambil menonton siaran langsung sambutan itu, saya menghayati intipati ucapan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, yang dimulakannya dengan dua rangkap pantun.
Apa yang dapat saya rumuskan, intipati ucapan Ketua Menteri itu menjurus kepada soal perpaduan yang merupakan prasyarat mencapai kemajuan dan kesejahteraan rakyat.
Perayaan itu yang mengambil tema `Perpaduan Teras Kejayaan’ sememangnya membawa pengertian cukup besar bagi rakyat dan negeri Sabah, yang menjadi contoh dan lambang kemajuan masyarakat majmuk, dengan lebih 32 suku etnik kesemuanya.
Sememangnya juga acara malam kelmarin adalah manifestasi kesepaduan sebuah bangsa merdeka. Rakyat Sabah dari pelbagai latarbelakang dan kepercayaan, menghargai kepentingan perayaan sedemikian untuk mengukuhkan lagi semangat kekitaan serta cintakan negara, sambil mengeratkan perpaduan dan keharmonian sesama mereka.
Tidak syak lagi, negeri Sabah adalah contoh terbaik dari segi semangat perpaduan, toleransi agama dan keharmonian antara kaum di negara kita.
Inilah yang disebutkan oleh Ketua Menteri sebagai keindahan rakyat Sabah menerusi konsep “kesatuan dalam kepelbagaian”.
Penganjuran program itu, untuk mengingati pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, sememangnya wajar diadakan bagi mengenang kembali detik bersejarah yang amat besar maknanya itu, khususnya kepada rakyat Sabah sendiri. Tarikh itu harus diingati kerana ia cukup signifikan dan perlu dihargai sepanjang masa.
Sememangnya, kemerdekaan yang dikecapi ini sungguh merahmati jika ia mampu diterjemah dalam konteks lebih menyeluruh, tetapi ia tidak membawa apa-apa makna jika sekadar diisikan dengan laungan `Merdeka’.
Kini berlabuh sudah tirai sambutan kemerdekaan negara yang ke-51, tetapi perjuangan untuk membawa kemajuan tidak harus berhenti di sini. Perjuangan mesti diteruskan kerana langkah ke hadapan ini masih penuh dengan ketidaktentuan dan ketidakpastian serta kemungkinan yang sukar diramalkan.
Mampukah Umno Sabah
membendung rempuhan arus perubahan?
Sudah beberapa bahagian Umno di Sabah selesai bermesyuarat. Ada yang berjalan lancar, ada yang separuh lancar dan ada juga yang tidak lancar, sehingga terpaksa ditangguhkan.
Apa yang dapat dilihat setakat ini ialah wujudnya kelompok atau “team” yang menyokong kumpulan masing-masing, baik pada sayap Puteri, Wanita dan Pemuda mahupun di peringkat bahagian sendiri.
Di peringkat Puteri misalnya, ada yang dikatakan “team” Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan “team” Datuk Shahaniza Samsudin. Begitu juga di peringkat Wanita, ada “team” Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Shahrizat Abdul Jalil.
Yang lebih jelas lagi ialah pada sayap Pergerakan Pemuda di mana beberapa bahagian nampaknya berpecah pencalonan antara Khairy Jamaluddin dan Datuk Mukhriz Tun Mahathir.
Dua bahagian Pemuda yang menyaksikan kejutan ialah Kota Belud dan Tuaran, yang kedua-duanya mencalonkan Mukhriz, sedangkan ramalan sebelum ini mengandaikan bahagian ini berpihak kepada Khairy atau lebih mesra dengan panggilan KJ.
Andaian dibuat memandangkan Pemuda Kota Belud diterajui oleh Ketua Pemuda Umno Sabah sendiri, Datuk Japlin Akim, manakala Pemuda Tuaran dipimpin Setiausaha Pemuda Umno Malaysia, Datuk Abdul Rahman Dahlan, di mana kedua-dua mereka ini semestinya disebut sebagai “orang KJ”.
Di peringkat bahagian, nampaknya semua yang telah bersidang setakat ini akur terhadap pelan peralihan dengan mencalonkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden.
Tetapi ada juga cakap-cakap mengatakan kemungkinan ada bahagian di Sabah bakal membuat kejutan, dengan mencalonkan nama lain untuk jawatan Presiden. Kita tunggu dan lihat sejauh mana kebenaran cakap-cakap ini.
Dikatakan juga berkemungkinan ada penyandang Ketua Bahagian sekarang ini akan “gugur” dalam persaingan nanti, atas beberapa faktor – termasuk penolakan ahli akar-umbi terhadap kepemimpinannya yang mendewakan pemimpin tertentu.
Jika benar ini berlaku, dan trend yang menuntut perubahan itu bersifat menyeluruh, apakah Umno Sabah mampu membendung rempuhan arus perubahan itu? Hanya masa dan keadaan menentukan!

SEJAK kelmarin, saya masih tercari-cari apa yang hendak ditulis kali ini. Bukan kerana ketandusan idea. Bukan juga kerana ketiadaan isu. Jauh sekali kehabisan topik.
Saya tercari-cari lantaran banyak sangat cerita yang melingkari kehidupan ini. Semuanya menarik dan relevan, signifikan lagi menginsafkan.
Sepanjang seminggu ini banyak kisah yang wajar untuk diulas, banyak cerita sesuai untuk dikupas. Tetapi tidak tahu, yang mana satu didahulukan. Kerana semuanya ada pertalian, segalanya ada perkaitan.
Daripada kisah kebejatan sosial penjual ikan yang nekad meletupkan diri bersama isterinya gara-gara masalah rumahtangga, hingga kepada soal peralihan kepimpinan dalam Umno yang menunjangi pemerintahan negara.
Terbaru pula tentang kisah penganugerahaan pingat dan bintang kebesaran negeri sempena Hari Jadi Rasmi ke-62 Yang Dipertua Negeri Sabah, yang menyaksikan 52 orang lagi dikurniakan gelaran Datuk.
Semua cerita ini merupakan berita muka hadapan akhbar tempatan (atau setidak-tidaknya Utusan Borneo) yang menarik untuk dianalisis lebih lanjut.
Cerita si penjual ikan yang bertindak nekad mengundang persoalan apakah cara sedemikian menjadi penyelesaian akhir yang terbaik?
Demikian juga dengan obor perjuangan Umno yang akan bertukar tangan di perbatasan waktu, dengan Abdullah menyerahkan “baton larian” kepada penggantinya, lima bulan lagi?
Ketika berfikir-fikir untuk memilih satu daripada sekian banyak topik itu, fikiran saya tiba-tiba teringat kepada tiga emel daripada pengirim tidak dikenali yang saya terima minggu ini. Lantas saya memutuskan untuk memberi fokus kepada cerita emel itu, untuk dijadikan iktibar bersama.
Emel pertama antara lain berbunyi: “Seorang rakyat Malaysia telah berjaya mengumpul RM120,000 dalam masa 3 bulan dengan satu rahsia menjana wang di Internet dan akan membongkarkan rahsianya sekarang juga!” Kononnya kita juga boleh mengaut bersih RM100 setiap satu minit di hadapan komputer dengan satu cara yang dikatakan belum diketahui di Malaysia!
Emel kedua pula menyatakan: Your Email have won the Sum of £1,000,000.00 (One Million Great British Pound).” Kononnya alamat emel kita terpilih memenangi peraduan loteri dan bakal menerima sejumlah wang tunai.
Manakala ringkasan emel ketiga berbunyi: “In my department, We discovered an abandoned sum of $15 million USD (Fifteen Million United States Dollars.) Only, in an account that belongs to one of our foreign customers who died along with his entire family in a plane crash that took place in Kenya , East Africa, the bank now expects a next of kin as beneficiary. Kononnya mereka mencadangkan kita berurusan dengannya bagi memindahkan wang tersebut ke dalam akaun kita dan memberi mereka `percent’ daripada jumlah wang yang dipindahkan itu.
Saya percaya ramai juga pelayar alam maya menerima emel sedemikian, kerana itulah realiti dunia siber yang menuntut kita supaya lebih berhati-hati.
Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu di dunia yang tiada sempadan kini, bermacam-macam cara dilakukan oleh manusia bagi memerangkap manusia untuk melakukan penipuan. Internet dan ICT menjadi saluran terbaru penipuan.
Kalau dahulu orang kampung dikatakan sering tertipu kerana kurang berpendidikan, tetapi kini orang bandar yang berpendidikan tinggi juga ramai yang mudah tertipu.
Kalau dahulu orang kampung bijak memerangkap burung di hutan, tetapi kini orang bandar juga semakin bijak memerangkap, tetapi memasang jerat perangkap sesama orang bandar yang sama-sama dikatakan bertamadun.
Tiga contoh emel itu merupakan antara taktik penipuan yang kini berleluasa di internet. Aktiviti penipuan seperti itu akan terus berleluasa selagi ada orang yang tidak dapat mengawal nafsu mencari kekayaan cepat `atas angin’ dan bukan dengan berusaha atau bekerja keras.
Pelaburan menerusi internet sebagaimana dalam emel pertama yang saya terima, boleh memerangkap manusia yang ingin mencari kekayaan cepat. Himpitan dalam kehidupan antara faktor yang boleh mendorong seseorang terjebak.
Perlu disedarkan bahawa kita jangan bermimpi untuk menjadi jutawan segera menerusi pelaburan internet kerana ia hanyalah satu `perniagaan’ atas angin yang boleh memerangkap serta menjerumuskan kita ke kancah penyesalan.

JAM sudah hampir 11 malam. Saya masih berada di Tingkat 6 Wisma KTS bergelut mengejar masa menyiapkan halaman hadapan Utusan Borneo pada malam Sabtu lepas.
Sedang pada waktu itu pastinya ramai duduk santai di rumah, menghadap tv yang menyajikan pelbagai program menarik sempena Aidilfitri. Atau barangkali sudah ramai yang terlelap nyenyak dalam dakapan hangat orang tersayang, diulit mimpi-mimpi indah.
Entah berapa kali sudah anak perempuan bongsu saya menghantar SMS bertanyakan banyak lagikah kerja mahu disiapkan. Dan entah berapa kali sudah rakan setugas menelefon isterinya yang menantikan kepulangannya.
Malam itu adalah antara malam-malam yang terlewat lantaran menunggu cerita mutakhir sebelum akhbar Utusan Borneo dihantar ke kilang untuk cetakan. Malam itu, saya menantikan cerita Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menghadiri Majlis Aidilfitri bersama pemimpin negeri di sebuah hotel terkemuka di ibu negeri.
Saya menugaskan wartawan kanan untuk membuat liputan majlis TPM itu kerana itulah satu-satunya acara yang berpotensi mengisi cerita utama di halaman hadapan.
Sebagai Pengarang Berita, saya perlu menyemak sebaik mungkin dan mengedit sepadat yang boleh, kemudian mencari tajuk bersesuaian sebelum menyerahkannya kepada penyunting yang bertanggungjawab menyusun atur setiap halaman. Ini disusuli dengan semakan terakhir sebelum halaman berkenaan dihantar ke kilang bagi tujuan cetakan.
Itulah rutin tugas orang suratkhabar yang barangkali tidak diketahui ramai pembaca yang menantikan kemunculan suratkhabar pada setiap hari, menjadi santapan minda di awal pagi.
Bagi Utusan Borneo, telah menjadi komitmen saya ketika mula-mula menerima tawaran mengalas tanggungjawab untuk menjadikannya yang terbaik sebermula kami muncul di pasaran dengan identiti dan imej tersendiri pada 2 Januari lepas.
Dari semasa ke semasa, pasukan dalam akhbar ini membuat membuat perubahan `make-up’ untuk menjadikan halamannya lebih cantik dan menarik, padat dan tidak membosankan.
Kita telah menyediakan beberapa ruangan tetap, terbaru Citra Hawa yang muncul pada setiap Isnin. Pada masa selanjutnya, akan ada kelainan bakal ditampilkan. Dan dari semasa ke semasa, akan ada pembaharuan dipaparkan. Muncul selepas ini termasuk ruangan talian “hotline” awam, kolum dan surat pembaca.
Proses perubahan ini adalah selaras perkembangan mutakhir dunia persuratkhabaran, menyaingi cabaran dunia internet. Seperti diketahui, alam siber merupakan sebuah dunia yang tiada batas dan sempadan. Melepasi garisan geografi daratan, melewati ukuran nautika lautan. Semua orang boleh menggapai maklumat – yang dekat mahupun jauh. Ini berbeza dengan capaian suratkhabar, yang terhad dalam kelompok dan kawasan tertentu saja.
Selaras motto ”Citra Generasi Prihatin”, Utusan Borneo akan terus menemui pembaca budiman, membawa sajian ilmu dan maklumat untuk santapan minda. Sebab itu, kita cuba menggerakkan rangkaian wartawan di seluruh pelosok negeri untuk menampilkan pelbagai isu dan cerita melingkari persekitaran kehidupan manusia sejagat – sama ada secara straight-forward, analytical ataupun humor – sesuai dengan trend pembaca era globalisasi.
Utusan Borneo tidak berpaksi sebagai sebuah gerbang politik semata-mata. Sebab itu, bahan yang disaji merangkumi isu yang pelbagai. Daripada permasalahan kecil rakyat sehingga kepada isu besar. Misalnya ekonomi, jenayah dan keselamatan serta kebejatan sosial.
Begitupun, ia tidak akan dapat lari daripada mengetengahkan cerita-cerita politik setempat. Malahan, harus diakui bahawa suratkhabar dan politik tidak dapat dipisahkan sama-sekali. Sebab itu, Utusan Borneo sering tampil dengan keberanian tersendiri, memuatkan kisah-kisah politik kerajaan dan pembangkang.
Saya katakan tadi bahawa suratkhabar dan politik tidak dapat dipisahkan kerana peranan seorang “journalist” dengan tanggungjawab seorang “politican” tidak jauh bezanya biarpun di atas platform yang berlainan.
Malahan, kedua-dua `lesen wartawan’ dan `lesen politik’ mempunyai kedudukan yang istimewa. Ada tempat yang orang lain tidak boleh memasukinya (misalnya tempat bencana alam), wartawan dan orang politik akan diizinkan masuk. Ada majlis yang orang lain tidak boleh hadir (misalnya bilik sidang akhbar pemimpin tinggi parti pemerintah), `lesen wartawan’ dan `lesen politik’ boleh menembusi pintu bilik persidangan.
Kerja wartawan dan kerja orang politik pun hampir sama – memberi khidmat terbaik kepada masyarakat dengan berpaksikan kepentingan negara, bertunjangkan kepimpinan kerajaan dan berlandaskan kepentingan umum. Tidak memudaratkan keselamatan, tidak menganggu keamanan dan tidak memporak-perandakan keharmonian yang sedia terjalin di kalangan masyarakat yang bersilang budaya.
Sebab itu, wartawan dan orang politik perlu bekerja untuk mencari kepuasan, bukan memburu pengiktirafan. Wartawan harus menulis secara proaktif (misalnya membela nasib masyarakat) dan apabila tulisan itu mendapat reaksi positif pihak berkuasa, sudah tentu wartawan mendapat kepuasan dalam kerjanya.
Begitu juga bagi orang politik (biar sekecil manapun jawatan, seperti jawatankuasa Puteri di peringkat cawangan sebuah kampung yang kecil), perjuangan membela masyarakat di sekeliling tempat yang diwakili mesti dilakukan secara berterusan dan apabila perjuangan tersebut membuahkan hasil, sudah tentu kita akan merasakan satu kepuasan yang mendalam.
Seorang wartawan tidak perlu memperkenalkan dirinya sebab orang akan mengenalinya melalui tulisan yang dihasilkan.
Demikian juga bagi mereka yang bergelar orang politik, mereka tidak perlu memperkenalkan siapa dirinya dan apa jawatan yang disandangnya. Cukup sekadar melakukan kerja dan tanggungjawab diamanahkan dengan sejujur dan seikhlas, supaya pada akhirnya mendapat kepuasan dalam perjuangan.
Sebagai wartawan, pengiktirafan datang dengan pelbagai cara – penghargaan masyarakat, penganugerahan hadiah (misalnya menerusi anugerah tahunan dan yang tertinggi ialah Hadiah Kajai) dan seumpamanya.
Sebagai orang politik pula, pengiktirafan juga datang dengan bermacam cara – kenaikan pangkat, pelantikan ke jawatan lebih mencabar atau penganugerahan darjah dan pingat kebesaran negeri atau negara.
Wartawan dan politican adalah kelompok manusia yang bijaksana. Dan seorang manusia yang bijak akan memikirkan sesuatu perkara yang mudah itu sebagai suatu perkara yang sukar. Dengan demikian, dia akhirnya akan memperolehi hasil secara maksimum.
Kehebatan seseorang wartawan dan kehebatan seseorang politican hanya dapat diketahui setelah melalui pelbagai cabaran. Jika tidak menempuh ujian kehidupan, belum diketahui kehabatannya, sebagaimana sebutir permata yang tidak akan nampak berkilau dan berkilat tanpa digosok.
Akhirnya, dalam suasana kita masih meraikan Aidilfitri ini, marilah kita merenungi dan mengingati rahmat yang dilimpahkan kepada kita pada hari ini, yang turut diperolehi dengan banyaknya oleh setiap manusia, dan bukannya mengenang semula segala nasib malang di masa silam, yang turut dilalui oleh semua manusia.

SAYA tidak tahu lokasi Kampung Dandun di Pitas nun jauh di sebelah utara - yang barangkali empat jam perjalanan dari ibu negeri. Saya juga tidak kenal seorang pun penduduk di situ yang majoritinya barangkali dari suku Dusun, Rungus, Kimaragang atau pelbagai etnik lain.
Tetapi saya mendengar suara mereka dan melihat kedaifan mereka. Saya tahu mereka sedang “sakit” dan memerlukan rawatan segera.
Itulah yang dapat saya simpulkan tatkala menerima satu berita bergambar mengenai keadaan jalan raya di perkampungan itu, yang dihantar oleh seorang warga prihatin dari utara minggu lepas.
Setelah menelitinya dan mendapati ia ada nilai berita, saya meminta seorang wartawan untuk memprosesnya. Ia menjadi antara berita utama yang disiarkan Utusan Borneo pada Sabtu.
“Tolong lawat YB, jalan kami sedang sakit”. Itu adalah papan tanda yang ditulis penduduk dan dipacakkan di tepi jalan itu.
Penduduk di situ merintih dan meraung lantaran keadaan jalan raya, sebagai nadi penghubung utama, masih dalam keadaan yang sangat menyedihkan. Mereka menuntut keprihatinan wakil rakyat, untuk membela nasib mereka sebagai sebahagian penduduk yang sudah bebas merdeka.
Penduduk meminta jalan mereka dibaiki kerana ia bukan saja untuk keselesaan ke pekan, tetapi lebih penting untuk menjana dan menggerakkan ekonomi orang kampung.
Sebenarnya rintihan orang Dandun juga mewakili suara penduduk di beberapa kawasan lain. Tetapi di tempat lain, penduduk pasrah dengan keadaan. Terpaksa memendam rasa lantaran tidak mengetahui saluran untuk menyuarakan “kesakitan” mereka.
Sejak awal lagi, Utusan Borneo begitu banyak menyiarkan berita-berita mengenai keadaan jalan raya, jambatan dan pelbagai kemudahan asas yang begitu daif dan menuntut perhatian.
Suara orang Dandun barangkali manifestasi pada keadaan yang masih berlaku di kebanyakan tempat di Sabah. Di sebalik kemajuan yang dinikmati selepas kemerdekaan, masih banyak hal-hal bersifat kekampungan yang perlu diberi perhatian.
Memangnya negara kita sudah membangun. Memang pun kita sudah melangkah jauh ke hadapan. Dan memang pun negara kita semakin tersohor, dikenali dan disegani seluruh dunia. Terimakasih kepada pejuang kemerdekaan masa silam, kerana berkat perjuangan itu, kita menuai hasilnya kini.
Lambang kemajuan negara terpancar di sana-sini. Ibu kota metropolitan dihias bangunan pencakar langit, disinari lampu neon (sehinggakan malam seperti siang), kereta-kereta nasional menjalari ke serata tempat hingga pelosok kampung, rumah-rumah para pembesar berdiri teguh bagaikan istana dan sekian banyak lagi lambang kemajuan, kemakmuran dan kemewahan hasil daripada kemerdekaan yang digapai.
Tahun ini, kita sudah mencapai kemerdekaan ke-51 tahun. Pembesar dan sebahagian rakyat berasa sungguh bangga. Betapa kemerdekaan itu membawa makna seribu. Melihat situasi saat ini, mana mungkin ada yang mampu menafikan betapa kemerdekaan itu benar-benar merahmati. Betapa kemerdekaan itu sangat menguntungkan.
Kerana kemerdekaan itulah juga saya menjadi antara yang terawal dapat memandu Proton Saga pada tahun 1988, kemudian memiliki Kancil, Kembara dan Iswara, lalu bertukar kepada Avanza dan Viva, semuanya buatan tempatan dan dipasang di negara sendiri.
Begitupun, di sebalik kehebatan laungan kemerdekaan itu, tidak dinafikan jua masih ada kelompok-kelompok kecil yang terus meraung sedih, menagih simpati dan pembelaan daripada pemimpin, pembesar dan kerajaan. Rintihan orang kampung yang sering diutarakan menerusi media, sebagaimana suara orang Dandun, adalah manifestasi betapa masih ada insan-insan yang memerlukan pembelaan.
Pengalaman saya sebagai wartawan akhbar arus perdana selama 22 tahun turut membawa saya ke seluruh pelosok tempat, menyaksikan bermacam situasi kehidupan rakyat. Setiap tempat yang saya singgahi, setiap masyarakat yang saya temui di pelbagai bukit, lurah dan lembah yang saya turuni, ada cerita yang menagih belas kesihan.
Sebagai wartawan, saya mendekati masyarakat, saya mendampingi pemimpin. Saya menyalurkan suara hati rakyat untuk didengari pemimpin, kemudian saya menyampaikan mesej pemimpin untuk dituruti rakyat. Memang ada yang diatasi, namun ada juga yang tidak diberi perhatian. Lumrah kehidupan manusia.
Saya masih ingat cerita seorang tua di sebuah kampung di sebelah pantai barat Sabah yang saya temui selepas pilihan raya lepas, yang mengharapkan agar jalan ke kampungnya diturap pada kali ini.
Ini kerana sejak zaman kerajaan Usno, kemudian Berjaya dan PBS, jalan menuju ke kampungnya itu sejauh kira-kira lima kilometer tidak diturap, sedangkan ia menjadi laluan utama penduduk dari lebih 10 kampung.
Menurut cerita orang tua itu, sudah sekian ramai pemimpin silih berganti, sudah tiga kerajaan bertukar memerintah, keadaannya masih tidak berubah.
Kini harapan tinggi disandarkan oleh orang tua itu kepada wakil rakyatnya sekarang, seorang pemuda berjiwa rakyat, bersemangat kental dan berwawasan jauh. Jiwanya bersalut keprihatinan, nalurinya bersulam manik-manik keazaman.
Orang tua itu menyatakan keyakinan terhadap cita-cita tinggi wakil rakyatnya itu untuk `memerdekakan’ pengundinya dalam ertikata sebenar.
Nun jauh di pelosok daerah lain, dari Pitas di utara hingga ke Pensiangan di pedalaman, masih ada lagi rakyat yang terkapai-kapai menanti pembelaan. Sedang warga di bandar meraih kemakmuran hidup dengan segala macam kemudahan, ramai juga yang tidak memiliki bekalan air dan elektrik, iaitu prasarana asas yang sewajarnya dinikmati di bumi merdeka ini. Kedaifan hidup pantas kita lihat jika masuk ke kampung-kampung.
Natijahnya, pengisian kemerdekaan negara sangat penting, terutama bagi penduduk di kawasan kampung terpencil seperti di Dandun, dengan membawa kemajuan dan kesamarataan pembangunan, supaya mereka benar-benar mendapat rahmat daripada hasil kemerdekaan yang dicapai selama ini.
Pimpinan perlu melihat kedua-dua aspek pembangunan, sama ada secara makro atau mikro, supaya tiada yang merasakan diri mereka terpinggir dan tersisih atau dipinggir dan disisihkan.
Sememangnya, kemerdekaan ini sungguh merahmati jika ia mampu diterjemah dalam konteks lebih menyeluruh, tetapi ia tidak membawa apa-apa makna jika sekadar diisikan dengan laungan `Merdeka’.
Kini berakhir sudah sambutan kemerdekaan negara yang ke-51, tetapi perjuangan untuk membawa kemajuan tidak harus berhenti di sini. Perjuangan mesti diteruskan kerana langkah ke hadapan ini masih penuh dengan ketidaktentuan dan ketidakpastian serta kemungkinan yang sukar diramalkan.