Category: General
Posted by: keruak

TEPAT jam 12.30 tengah hari seperti dijanjikan, saya menemui seorang pegawai Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kepayan bagi memberi keterangan berhubung satu laporan polis yang mengaitkan diri saya dan akhbar Utusan Borneo.

Saya membawa bersama passport antarabangsa dan meminta pegawai itu membuat salinan fotostat, antaranya tentang tarikh perjalanan saya ke luar negara.

Keterangan saya ringkas tapi padat. Tidak sampai satu jam urusanpun selesai, lalu saya menandatangani setiap helai keterangan itu yang barangkali akan dibawa ke mahkamah jika pengadu meneruskan tindakan undang-undang.

Peristiwa itu berlaku kira-kira sebulan lalu dan merupakan antara garam kehidupan setiap pengamal media – menjadi sasaran tindakan mahkamah oleh mereka yang tidak berpuas hati dengan laporan yang mereka anggap sebagai tidak adil atau kurang tepat mengikut perspektif mereka.

Ketika memandu keluar meninggalkan perkarangan IPK Kepayan, fikiran saya terbang melayang, mengingati untung nasib insan yang bergelar wartawan.

Secara peribadi, saya merasakan telah mengharungi suatu pengalaman panjang berliku dalam dunia kewartawanan sehinggakan ada teman-teman menyarankan agar setiap tulisan saya itu dibuat kompilasi.

Sepanjang perjalanan menuju ke pejabat, saya mengimbasi semula beberapa peristiwa indah yang manis untuk dikenang dan tidak kurang juga pahit untuk diingati, yang pernah saya lalui, yang mencorakkan warna kehidupan sejak zaman awal keterlibatan saya dalam dunia persuratkhabaran ini.

Di setiap sudut kehidupan dan di setiap selekoh penghijrahan, dalam pemburuan mencari erti penghidupan abadi, terpahat kenangan yang barangkali menarik untuk dibuat kompilasi sebagai koleksi peribadi untuk ditatapi (dan akhirnya nanti diratapi) oleh generasi pelapis.

Masih segar dalam ingatan saya tentang `panggilan-panggilan hangit’ daripada mereka yang bergelar pembesar setiap kali ada tulisan-tulisan yang kurang menyenangkan. Masih segar juga teringatkan wajah garang dan tingkah serius mereka ketika saya berdepan dan bersemuka secara peribadi dengan mereka.

Saya masih teringat pada suatu pagi, kira-kira dua tahun yang lalu, saya menerima panggilan telefon dari seseorang yang meminta saya segera ke pejabatnya kerana pembesar tempatnya bertugas hendak bertemu saya mengenai sesuatu yang saya tulis ketika itu.

Dalam keadaan serba ingin mencari kepastian, diulit seribu persoalan, saya menyahut pelawaan itu dan bergegas segera ke tempatnya bertugas. Ketibaan saya disambut senyuman sahabat yang menelefon saya tadi dan beberapa pegawai lain, lalu saya terus dibawa masuk menghadap pembesar.

Di bilik pembesar itu, saya hanya menjawab apabila ditanya. Dan memberi penjelasan apabila diminta. Rasanya tidak sampai 10 minit saya berada di bilik itu, tetapi saya merasakan masanya begitu lama. Senyuman sahabat yang menyambut saya tadipun tidak lagi terasa manisnya.

Kesilapan satu istilah saja nampaknya menjadi hal yang begitu serius. Saya mengerti, malah sangat memahami kenapa ketidakpuasan hati pembesar terhadap apa yang ditulis itu.

Inilah dunia wartawan yang penuh dengan cabaran. Menerima `panggilan-panggilan atau SMS hangit’ seperti telah menjadi tradisi dan sebahagian daripada adat kehidupan.

Minggu lepas, apabila Utusan Borneo menyiarkan laporan muka hadapan cerita sensasi pertandingan jawatan Ketua-ketua Bahagian Umno di Sabah, banyaklah panggilan dan SMS masuk – bertanyakan kesahihan cerita itu yang ditulis seorang wartawan senior yang berdasarkan kepada sumber-sumber yang layak dipercayai, dan tidak kurang juga yang mengintai motif di sebalik penyiaran berita sedemikian.

Menariknya, ada juga pegawai kanan pemimpin politik yang disebut namanya dalam laporan tersebut yang menghubungi dan bertanyakan dari mana sumber berita itu diperolehi biarpun pegawai tersebut mengetahui etika kewartawanan yang tidak mengizinkan pendedahan identiti sumber.

Saya memberi penjelasan kepadanya mengenai cerita itu dan sebagai orang yang mempunyai latarbelakang bekerja dengan suratkhabar, dia sangat memahaminya.

Menempuhi segala macam cabaran dunia kewartawanan ini, saya sering mengingatkan sahabat wartawan mengenai pentingnya kita berpegang kepada prinsip dalam menghasilkan penulisan yang baik, objektif dan beretika, tanpa dipengaruhi sentimen kebendaan atau hal-hal bersifat keperibadian.

Dua kisah yang saya ceritakan tadi, iaitu `panggilan hangit’ daripada pembesar dan panggilan untuk memberi keterangan kepada polis semestinya akan dialami oleh setiap wartawan dalam rangka menjalankan tugas-tugas harian.

Ini kerana, sebagaimana yang pernah saya tulis sebelum ini, wartawan tidak mungkin dapat memenuhi kehendak semua pihak, apatah lagi mmemuaskan hati mereka. Ada masa dipuji, ada ketika dikeji. Ada waktu dipuja, ada waktu dicerca. Dan apabila ada pihak berasa kurang berpuas hati, tentulah mereka akan bertindak balas dengan pelbagai cara – termasuk memaki hamun dan mengheret wartawan ke mahkamah.

Saya menyanjungi kehebatan seorang Tokoh Wartawan Tan Sri Samad Ismail atau lebih dikenali sebagai Pak Samad yang pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan kebetulan saya pernah berguru dengannya seketika sewaktu saya bertugas dengan Berita Harian di Kuala Lumpur tidak lama dulu.

Tulisan-tulisan Pak Samad begitu mengesankan lantaran ia berterus-terang tanpa sebarang prejudis dalam ertikata sebenar.

Sedihnya, dalam usia senjanya sekarang, Pak Samad kini dilaporkan kurang sihat. Anaknya, Nuraina Samad menerusi blognya, nursamad@blogspot.com menyatakan bahawa memori ayahnya semakin kabur sehingga sukar mengingati banyak perkara.

Salah seorang pengunjung laman web Nuraina meninggalkan suatu ungkapan cukup bermakna untuk Pak Samad. Saya berkongsi sentimen dengan penulis itu dan saya akhiri tulisan ini dengan memperturunkan semula nota yang dititipkannya, berbunyi:-

detik jam pelahan bilamana tergambar didepanku
wajah seorang pemikir hebat di hari tua
mungkin lesu untuk berfikir,
berfikir untuk kesejahteraan sejagat,
mungkin Tuhan sudah jemu,
jemu memberi hikmah padanya
bilamana anak bangsanya sendiri malas untuk mengkaji...
aku berdoa agar detik jam ku terus pelahan
jangan berhenti, amin..
Category: General
Posted by: keruak

DALAM samar lampu ruang dewan hotel yang dihias indah, beberapa wanita di meja sebelah tempat duduk kami kelihatan mengesat air mata ketika Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Maznah Abd Ghani, menyanyikan sebuah lagu sentimental yang ditujukannya khas kepada seorang wanita yang telah tiada dalam hidupnya.

Saya terlupa mencatatkan nama lagu itu, tetapi liriknya sungguh puitis dan mengesankan sehinggakan seorang wanita separuh abad yang duduk semeja dengan kami terpaku tunduk sepanjang lagu itu dinyanyikan.

Hadirin lain yang mulanya tidak kering gusi dengan telatah Abu Bakar Ellah sebagai pengacara segmen hiburan pada malam itu, juga kelihatan terdiam, seolah-olah turut menangisi pemergian wanita yang didodoikan oleh Maznah dengan lagu itu. -- iaitu pembantu rumahnya -- seorang warga Indonesia, yang mengunci rahsia hidupnya sehingga dia menghembuskan nafas terakhir.

Demikianlah penghargaan dan sanjungan seorang wanita kepada wanita lain, yang dinyanyikannya secara spontan pada Malam Penghargaan Wanita dan Media 2008, di Hotel Pan Pacific, Kota Kinabalu, malam Jumaat lalu.

Sebelum Maznah menyanyi, dia menceritakan sedikit kisah di sebalik pemilihan lagu itu. Katanya, pembantu rumahnya seorang yang cukup baik sepanjang bekerja beberapa tahun dengannya, menjaga dan membesarkan anak-anak, sehinggakan dia menjadi seperti sebahagian daripada keluarganya sudah.

Sepanjang bekerja dengannya, pembantu rumah itu tidak menunjukkan ada derita sengsara, pilu dan sendu di hatinya. Dia bekerja cukup dedikasi, penuh mesra dan seperti tidak ada masalah di sepanjang jajaran kehidupannya. Begitu bijak dia merahsiakan kisah peribadi, tersembunyi di sebalik senyuman yang dihadiahkan kepada majikannya sekeluarga setiap hari, biarpun sehingga pada saat-saat akhir kematiannya.

Hanya setelah dia meninggal dunia dan Maznah mengurus pengkebumiannya, barulah terbongkar rahsia perjalanan hidup pembantu rumah itu yang penuh onak dan duri. Rupanya, dia merantau ke Sabah mencari penghidupan baru setelah ditinggalkan suami. Dia juga mempunyai seorang anak yang masih kecil (yang pastinya menagih kasih dan pelukan seorang ibu) yang terpaksa ditinggalkannya di kampung halaman.

Terbongkar juga rahsia betapa dalam mengharungi kehidupan di negeri orang, si pembantu rumah tidak pernah melupai anaknya di tanah seberang. Dia menghantar sebahagian gajinya untuk belanja susu dan makan anaknya itu setiap bulan tanpa putus-putus.

Kini, setelah pemergian si ibu, anaknya telah menjadi yatim piatu. Maka pada setiap kali kedatangan Aidilfitri, Maznah tidak lupa menghulur sumbangan sebagai tanda kasih yang abadi kepada si anak pembantu rumahnya. Rupanya, dalam diam dan wajah pembantu rumah yang cukup tenang itu, tersimpan rahsia kehidupan penuh tragis yang tidak pernah dihebahkannya lantaran itu mungkin dianggapnya sebagai sesuatu yang bersifat peribadi.

Mendengar kisah itu, ramai yang hadir pada malam itu begitu tersentuh dan terusik hati mereka. Dari meja kami yang terletak pada barisan belakang, menghadapi pintu utama, dapat dilihat dengan jelas beberapa orang berulang kali mengesat butiran air mata menitis membasahi pipi.

Saya tidak melihat dari dekat wajah Menteri Perkhidmatan Masyarakat dan Hal-Ehwal Pengguna, Datuk Azizah Mohd Dun, sebagai tetamu kehormat pada malam itu. Tetapi saya yakin sungguh bahawa dia juga, sebagai seorang ibu yang penyayang dan sebagai menteri bertanggungjawab mengenai hal-ehwal wanita, sudah pastinya tersentuh dengan kisah itu.

Saya katakan demikian kerana dalam ucapannya di awal majlis, Azizah turut menceritakan mengenai perjuangan serta usaha membela nasib golongan wanita, termasuk di luar bandar yang dilakukan kerajaan menerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) yang ditubuhkan sejak 20 tahun lalu.

Di luar teks ucapannya, Azizah turut meminta supaya kajian dilakukan kenapa bilangan ibu tunggal begitu tinggi di Sabah – dan kajian hendaklah merangkumi semua aspek, termasuk mengenal pasti puncanya dan mencari jalan cara menangani fenomena itu serta membantu golongan berkenaan.

Secara umumnya, kata Azizah, dalam konteks pembangunan wanita di negeri ini, sebenarnya masih memerlukan usaha yang gigih. Ini kerana tahap pencapaian yang ada sekarang ini belum memadai kerana masih lagi terdapat wanita yang masih memerlukan bantuan.

Beliau menjelaskan bahawa di bawah MPWS, terdapat tujuh jawatankuasa kerja yang bertanggungjawab terhadap pembangunan kesihatan, pendidikan, undang-undang, ekonomi, sosial, pembangunan gender, dan media.

Menurut Azizah, banyak permasalahan berkaitan wanita perlu ditangani, terutamanya mereka yang tinggal di pedalaman atau kampung-kampung terpencil di mana peratusan wanita yang bersekolah masih rendah berbanding lelaki. Kesedaran terhadap penjagaan kesihatan di kalangan wanita di luar bandar, terutamanya ibu mengandung, juga masih di tahap yang membimbangkan.

Mengambil sempena nama majlis itu - Malam Penghargaan Wanita dan Media 2008, maka Azizah merayu setiap pengamal media agar membantu MPWS mencapai objektifnya dengan lebih berkesan melalui berita-berita yang disiarkan.

“Saya percaya kemahiran pemberita mendapatkan berita-berita baru akan menjadi maklumat kepada MPWS untuk bertindak membantu golongan wanita yang kurang berkemampuan dari pelbagai aspek,” katanya.

Di akhir ucapannya, beliau mengungkapkan pantun lama dan baru yang berbunyi:-

Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan,
Intai kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.

Bunga mawar harum baunya,
Menjadi hiasan si anak dara,
Serinya hidup ada wanita,
Sepinya dunia tanpa media.


Apapun, saya menghargai sanjungan dan pujian yang diberikan oleh Azizah kepada pengamal media di Sabah yang disifatkannya sebagai lebih liberal dan bersifat terbuka – kedua-dua pihak pemimpin kerajaan dan pembangkang mendapat tempat.

Baginya, keterbukaan ini dilihat sebagai satu perkembangan yang baik dalam industri komunikasi massa.

Begitupun, beliau mengingatkan juga pengamal media supaya berhati-hati dan waspada kerana berkemungkinan ada pihak tertentu yang mempunyai hasrat negatif mengambil kesempatan daripada sikap keterbukaan itu.
Category: General
Posted by: keruak

KETIKA kami sampai di sebuah restoran di tingkat empat Wisma Merdeka tengah hari Sabtu, banyak meja kelihatan kosong tanpa pengunjung. Jam menunjukkan 1.30 tengah hari, waktu rehat dan makan tengah hari bagi kebanyakan orang.

Hati kecil saya berbisik sendiri. Mungkinkah ini antara petanda awal kesan kegawatan ekonomi. Tidak lagi ramai makan di restoran. Namun, tiada jawapan saya temui. Tiada kepastian dapat saya simpulkan. Mungkin kebetulan pada hari itu pengunjung beralih ke restoran lain. Atau barangkali ramai warga kota pulang ke kampung.

Setelah berbaris memilih dan mengambil makanan, anak-anak mendapatkan tempat duduk pada meja di tepi jendela, menghadap laut yang berlatarbelakangkan Pulau Gaya.

Dari jendela yang terbuka, saya melihat samudera terbentang luas membiru dengan ombak memercikkan kerdipan sinar dari pantulan cahaya terik mentari.

Laut waktu itu tenang lagi mendamaikan. Tidak bergelora. Cuma beralun kecil dek terjahan bot-bot penambang dan kapal nelayan yang lalu-lalang di perairan menuju jeti dan pelabuhan.

Lalu fikiran saya melayang seketika dibawa ombak yang beralun, memikirkan mengenai kesan-kesan ketidaktentuan ekonomi yang kini berbaur kemelut politik.

Sudah banyak kedengaran mengenai kegelisahan umum terhadap ketidaktentuan ekonomi. Suara-suara kedukaan terhadap kepayahan yang menghimpit kehidupan semakin nyaring didengari.

Peningkatan harga beras tidak lama dulu dan disusuli dengan kenaikan harga petrol dan diesel, membawa kesan kepada banyak barangan keperluan pengguna selain kos perkhidmatan yang melambung tinggi.

Bayangkanlah tambang bas sekolah yang cuma RM90 tiga bulan lalu kini dinaikkan kepada RM110, manakala nasi lemak di tamu yang biasanya cuma RM1 sebungkus kini berharga RM1.20 dan milo ais yang dulunya cuma RM1.80 kini sudah RM2.10.

Ketika fikiran seperti dilambung ombak memikirkan gawat kehidupan yang mendatang, anak-anak kelihatan begitu gembira dan seronok melihat pemandangan luas laut dengan kapal dan bot-bot kecil menghiasi panorama hari itu.

Tanpa sedar, mereka sudah menghabiskan hidangan di atas meja. Sungguh berselera nampaknya.

Saya teringatkan lagi cerita seorang sahabat dari Kudat mengenai cabaran kehidupan zaman ini – termasuk bagaimana dia membantu adiknya menyelesaikan hutang dengan along akibat himpitan hidup di bandar raya. Adiknya bekerja di sebuah syarikat pembinaan dengan gaji RM1,800 dan pendapatan itulah diguna untuk sewa rumah, bayaran ansuran Kancil dan persekolahan (termasuk tambang bas) tiga anaknya – seorang masih di tadika dan dua di sekolah rendah.

Setiap bulan, bajet adiknya itu sentiasa defisit. Akhirnya dia terpaksa meminjam dari along. Pinjaman yang pada mulanya RM1,000 itu terus meningkat kerana setiap bulan dia hanya mampu membuat pembayaran minimum, tidakpun cukup `cover’ faedah tinggi yang dikenakan. Itulah realiti kehidupan di bandar yang serba-serbinya mahal!

Sahabat itu mengelengkan kepala. Saya akur dan saya mengangguk tanda setuju. Sebab sebelum bertemu sahabat ini pun, saya singgah di sebuah pasaraya untuk membeli keperluan dapur. Saya mengambil barangan perlu saja, itupun yang sederhana saiz (seperti milo, susu, minyak masak dsb). Setiba di kaunter pembayaran, jumlahnya lebih RM200 dan kesemua barangan itu hanya diisi dalam tiga beg plastik saja. Nampak sedikit, tapi itulah harganya.

Saya memberi keyakinan kepada sahabat itu dan memintanya tabah meneruskan kehidupan. Saya meyakinkan dia bahawa hidup ini mesti diteruskan. Yang perlu adalah perancangan dan destinasi untuk dituju. Untuk mencapainya, kita mesti berusaha dan ia harus disertai dengan kesungguhan.

Dalam situasi ketidaktentuan ini, perancangan terhadap masa depan sangat penting, baik di pihak kerajaan mahupun rakyat sendiri.
Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said dalam tulisannya bertajuk “Dulu ramai OKB, kini bertambah OMB” dalam blognya menyebut bahawa setiap rakyat tidak boleh terus berpeluk tubuh, sebaliknya mengusahakan tanah yang ada dan berniaga secara kecil-kecilan jika ada peluang, demi untuk menambahkan pendapatan

Menurutnya, beliau ada membaca majalah “The Economist” keluaran terbaru dengan laporan muka depannya bertajuk “Inflation’s back…” dan beberapa tulisan di dalamnya mengupas mengenai kegawatan ekonomi serta inflasi berikutan kenaikan harga makanan, minyak dan keperluan asas lain.

Unjuran dibuat bahawa dunia akan terus berhadapan kemelut ekonomi dalam beberapa tahun akan datang memandangkan kuasa-kuasa ekonomi dunia terus dicengkam oleh tekanan akibat peningkatan harga minyak di pasaran global.

Penganalisis ekonomi turut menyatakan kebimbangan terhadap ketidaktentuan yang berlaku kerana ia turut mempengaruhi sosiopolitik, malah boleh merubah keadaan sesebuah negara atau kelompok masyarakat.

Salleh menulis: “Sebagai orang politik, saya juga melihat perkembangan ekonomi dunia mutakhir ini sebagai suatu yang mencemaskan jika tiada perancangan strategik jangka panjang diikhtiarkan.

”Ini kerana politik dan ekonomi sentiasa berkait rapat. Isu ekonomi sememangnya tidak dapat dipisahkan dari dalam diri kita. Suka atau tidak, ekonomi mempengaruhi sosiopolitik dan demikian juga sebaliknya.”

Menurut beliau, kadar kenaikan harga yang tidak terkawal boleh memburukkan lagi kadar inflasi dan jika tidak dikawal, ia mampu melumpuhkan ekonomi sesebuah negara.

Ekonomi yang lumpuh pula akan membawa kepada permasalahan sosial yang serius dan akhirnya boleh menggugat kestabilan politik dan kerajaan.

Salleh menulis lagi: ”Saya masih teringat dahulu, ketika ekonomi berkembang dan peluang perniagaan terbuka luas pada era kegemilangan sebelum kegawatan 1997/98, ramai menjadi OKB (orang kaya baru) dengan kereta baru, pakaian berjenama, makan di restoran mewah dan bermacam-macam lagi.

”Sekarang ini apabila harga minyak melonjak tinggi dan harga barang makanan serta keperluan lain pun naik, maka akan lebih ramai menjadi OMB (orang miskin baru) dengan kereta ditarik institusi kewangan, perbelanjaan terpaksa dikurangkan dan segala macam kesukaran hidup.”

Salleh merumuskan bahawa antara faktor penyebab berlakunya inflasi didorong oleh kenaikan harga barang makanan di pasaran dunia, harga komoditi dan kenaikan kos bahan bakar yang mempunyai implikasi meluas ke atas ekonomi dan kehidupan penduduk dunia.

Katanya, isu kenaikan harga makanan yang kini melanda negara-negara seluruh dunia telah diistilahkan oleh beberapa ahli ekonomi sebagai “agroflation” kerana ia berpunca daripada kekurangan bekalan bahan makanan berasaskan pertanian seperti beras, jagung, gandum dan sebagainya.

”Bagi mengimbangi kesukaran yang dialami ini, rakyat tidak ada pilihan kecuali membuat penyesuaian gaya hidup dan mengurus kewangan dengan baik dan berdisiplin,” katanya.
Category: General
Posted by: keruak

Catatan perjalanan di kota Jakarta

KOTA Jakarta tidak pernah tidur. Kalau malamnya seperti siang, apalagi waktu siangnya. Manusia bagaikan semut berinsut-insut dalam sesak kota yang semakin padat. Jutaan kenderaan menyusuri jalan-jalan yang bersimpang siur, menerbangkan debu-debu jalanan yang memedihkan mata.

Penghuni malam kota Jakarta sekitar 12 juta orang, tetapi siangnya meningkat sehingga 15 juta orang. Bayangkan jumlah manusia sebegitu ramai berkumpul di sebuah kota, berbanding penduduk negeri Sabah keseluruhannya yang tidak pun sampai tiga juta orang.

Itulah suasana yang saya rasai ketika berkunjung tiga hari ke kota itu seminggu yang lalu bersama beberapa sahabat dan kenalan. Biarpun agak singkat, namun banyak cerita dan iktibar diperolehi sepanjang perjalanan menelusuri kehidupan manusia di ibu kota Indonesia itu.

Di bandar itu, penduduknya melakukan apa saja pekerjaan, asalkan boleh menjadi duit, asalkan dapat mengalas perut. Baik siang atau malam, ramai penghuninya mencari rezeki halal dan haram. Tidak hairanlah, setiap jalannya ada jualan, setiap lorongnya banyak dagangan.

Pemandu kereta sewa yang saya ajak berpusing sekitar kota untuk meninjau suasana sebenar, mempertemukan saya dengan gelagat kehidupan kanak-kanak jalanan yang tidak punya tempat kediaman.

Setiap kali kenderaan berhenti di lampu isyarat, kami dikerumuni penjual suratkhabar, gula-gula, kacang dan sebagainya. Ada juga remaja yang datang ke pintu kenderaan sambil memetik gitar dan menagih huluran sedekah, manakala kanak-kanak kecil menadah telapak tangan minta diberikan duit membeli makanan.

Menurut pemandu kereta sewa yang saya naiki, kebanyakan kanak-kanak yang merempat itu tinggal di bawah jambatan atau pondok usang pinggir sungai. Mereka lahir dan membesar sendiri tanpa persekolahan.

Kesesakan di kota ini memangnya sesuatu yang sangat memeritkan. Jalan yang biasanya tiga lorong boleh menjadi empat lorong, perjalanan yang setengah jam boleh menjadi sehingga dua jam. Oleh itu, perjalanan mestilah dirancang untuk mengelak terperangkap di tengah jalan.

Saya menyewa sendiri kenderaan untuk melawat ke Masjid Kubah Emas di pinggir kota Jakarta. Pemandu saya menyatakan perjalanan ke sana kira-kira satu setengah jam dari hotel penginapan. Saya bertolak jam 11 pagi, tetapi sampai di sana kira-kira jam 2.30 petang setelah tersangkut dalam kesesakan di sepanjang laluan.

Sesuatu yang menarik, pemandu kenderaan di kota Jakarta begitu cekap. Biarpun kenderaan menyisip di celah kesibukan itu, dengan hon yang kerap dibunyikan, namun jarang berlaku kecelakaan. Tiga hari di sana, saya tidak pun melihat ada kemalangan kecil.

Saya menginap Hotel Pasar Baru, iaitu satu daripada lokasi strategik bagi pelancong kecil seperti saya. Tempat makannya mudah, tempat membeli-belah juga tidak jauh. Pengangkutan tersedia di hadapan hotel, menanti pelanggan siang dan malam, bersedia membawa kita ke mana saja.

Berjalan-jalan atau membeli-belah di kota itu terasa seperti kita berada di Kota Kinabalu kerana loghat yang dituturkan tidak jauh bezanya.

Sebab itu, kini semakin ramai orang Sabah melancong ke Jakarta berbanding Kuala Lumpur. Penerbangan terus AirAsia menjadi penghubung ke destinasi ini yang masa penerbangannya kira-kira dua jam 40 minit, iaitu lebih kurang sama dengan masa penerbangan KK-Kuala Lumpur.

Pada hari kedua kunjungan, ketika saya menunggu teksi di hadapan hotel, tiba-tiba ada suara memanggil saya.

Sepantas itu, hati kecil saya berkata sendiri, mustahil ada orang Jakarta mengenali saya. Lalu saya menoleh ke arah suara itu dan terpandang sahabat saya, Jasni Matlani, bersama beberapa temannya berjalan melintasi hotel penginapan. Rupanya mereka sudah beberapa hari lebih awal daripada saya berada di kota itu dan menginap di hotel bersebelahan penginapan saya.

Dan ketika membeli sedikit barangan di Pasar Tanah Abang, sebuah daripada kompleks beli-belah popular, saya sekali lagi terserampak dengan sekumpulan wanita berasal dari Sabah sibuk memborong barangan di situ.

Saya tidak menegur mereka, tetapi jelas terdengar mereka bercakap sesama sendiri “Murah betul bah harga di sini” sambil menyelak langsir dan dilayani seorang jurujual lelaki. Mereka berkira-kira, harganya mengikut duit Malaysia tidak pun sampai RM300. Dan seorang daripada mereka menyatakan bahawa kalau di Kompleks Segama, harga langsir sedemikian melebihi RM1,000.

Saya percaya pelancong dari Sabah, sebagaimana diri saya juga, merupakan jutawan segera di kota Jakarta. Dengan mengambil kira kadar tukaran wang antara Ringgit Malaysia dan Rupiah, seseorang itu boleh mendapatkan apa saja yang dikehendaki di situ.

Saya sendiri tidak pernah bermimpi untuk menjadi jutawan, tetapi ia menjadi kenyataan sepanjang tiga hari saya di sana.

Maka saya pun berlagak macam jutawan seperti dalam filem-filem Melayu. Saya mengajak kawan-kawan minum petang di hotel, membayar Rp80,000 untuk tiga orang, saya menyewa teksi berpusing kota Jakarta dan membayar Rp500,000 tanpa banyak soal, saya membeli kasut bernilai Rp150,000 dan jam tangan Rp200,000.

Kemudian saya membelikan beg sekolah untuk anak-anak berharga Rp50,000 setiap satu dan baju-baju mereka yang berharga tidak kurang Rp100,000.

Bayangkanlah bagaimana saya berbelanja puluhan ribu, malahan ratusan ribu (tetapi dalam Rupiah) di sana!

Sewaktu berangkat pulang dari Bandara Soekarno Hatta, sebahagian besar penumpang penerbangan AirAsia yang dinaiki adalah orang Sabah sendiri.

Lebih 50 orang dari dua kumpulan pelancong dari Tuaran dan Tamparuli adalah antara penumpangnya.

Di lapangan terbang itu juga saya terserempak dengan Ahli ParlimenTuaran, Datuk Wilfred Mojilip Bumburing dan bersebelahan tempat duduk saya dalam pesawat pula sempat berbual dengan Pengurus Cawangan Tekun Nasional negeri Sabah, Mohd Kamal Mohd Sirun.

Realitinya, melancong ke Jakarta sememangnya sesuatu yang “berbaloi” dan tidak sekali-kali merugikan. Ia mempunyai banyak tempat kunjungan yang menarik selain boleh membeli-belah dengan harga yang cukup melalaikan.

Saya hanya sempat singgah seketika di Taman Mini Indonesia, manakala sahabat lain terus ke Bandung dan Bogor, iaitu dua daerah yang mempunyai banyak destinasi pelancongan terkenal.

Mengambil kira semua ini, Jakarta sesungguhnya juga sebuat tempat istirehat dan berbulan madu yang dekat lagi termampu.

Saya pernah ke Jakarta beberapa tahun lalu atas tugasan rasmi. Saya juga pernah meneroka seluruh kepulauan Sulawesi dari Manado di utara hingga ke Ujung Pandang di selatan, semuanya sudah banyak berubah, Yang tidak berubah hanyalah keramahan rakyatnya yang halus tutur bahasa, berbudi pekerti, peramah dan mesra melayani setiap tetamu yang hadir.

Jakarta oh Jakarta, saya pasti akan datang kembali dalam jangka waktu yang belum pasti.
Category: General
Posted by: keruak

SUDAH agak lama benar saya tidak mengutus khabar menerusi laman ini. Rindu terasakan untuk menghebahkan perkembangan mutakhir perjalanan hidup berliku di pentas dunia penuh pancaroba ini.

Saya tidak menyepi. Jauh sekali menyembunyi diri dari kegersangan perjalanan hidup yang masih jauh penghujungnya. Tetapi tuntutan kerja yang kian mencabar dan batas waktu yang semakin mengecil, dalam arus media, dengan mengalas tugas sebagai editor berita di sebuah akhbar tempatan berbahasa Melayu sepenuhnya, memenjarakan hasrat untuk kerap menulis di sini.

Begitupun, di tengah kesibukan itu, saya pasrahkan diri menulis sedikit untuk santapan minda pada kawan-kawan yang terus setia melayari portal sekecil ini. Terima kasih dan sekalung penghargaan kepada setiap pelayar, yang tidak jemu-jemu menjenguk perkembangan dari hari ke hari, sehinggakan capaian di laman ini melonjak jauh daripada jangkaan awal kami.

Saya tidak akan bercerita tentang kisah yang berat-berat. Memadai mengungkapkan cerita kisah seharian yang ditemui di sepanjang perjalanan mencari kehidupan di pentas dunia yang sementara ini.

Kali ini, saya ingin berkongsi cerita tentang kisah kasih insan biasa. Kisah kasih antara ibu bapa dan anak, kisah kasih antara sahabat, kisah kasih antara suami isteri dan kisah kasih antara kekasih. Juga tentang kisah kasih pada kerjaya, dan kisah kasih terhadap alam semesta.

Jika kasih kita itu lahir sejujurnya dari hati, apapun sanggup diredah dan diharungi. Jika kasih itu disulami dengan rasa rindu, sayang dan cinta, semua pancaroba akan dihadapi dengan segagahnya.

Jika sayang pada ibu bapa, anak dan pasangan, semuanya kita sanggup lakukan dan korbankan demi untuk sebuah perkasihan. Begitu juga jika cinta kita pada kerjaya, segala halangan tidak akan mematahkan semangat biarpun dalam keadaan serba kekurangan dan kepincangan.

Inilah yang saya temui di tempat baru ini - dunia persuratkhabaran yang sememangnya saya cintai sejak kecil dahulu. Inilah dunia saya. Di sinilah saya menemui jalan hidup, mengaut nafkah menyara kehidupan.

Ketika saya ditawarkan bertugas untuk memulakan penerbitan sebuah akhbar berbahasa Malaysia sepenuhnya oleh perunding media yang memang saya kenali, saya tidak menjanjikan sesuatu setinggi bulan dan bintang kepadanya, kerana ia begitu sukar dan mustahil untuk digapai.

Saya cuma menyatakan komitmen untuk mencurah bakti sebaik-baiknya, dengan berbekalkan sedikit pengalaman yang dikutip sepanjang 22 tahun dalam dunia persuratkhabaran yang telahpun saya tinggalkan sejak hampir dua tahun lalu.

Lalu saya menerima tawaran itu dengan berkata kepada perunding media bahawa tugasan saya hanyalah bersifat sementara. Saya berpesan kepadanya bahawa setelah semuanya saya letakkan dalam keadaan teratur, saya akan memohon untuk berundur dan menyerahkannya kepada yang lain untuk meneruskannya. Tetapi dia tidak menyetujuinya.

Tanpa saya menyebut jangka masa untuk meletakkan akhbar itu pada landasan kukuh, saya memulakan cabaran itu pada tanggal 1 Disember 2007 – dan segalanya bermula dengan zero. Tanpa apa-apa melainkan sebuah pengharapan yang cukup besar.

Di tempat baru ini, saya temui para petugas dan kakitangan lama dan baru yang cukup bersemangat tinggi. Rupanya, mereka sudah menunggu kedatangan saya setelah mendengar perkhabaran mengenai kedatangan seseorang bernama Lichong Angkui yang pada waktu itu tidak dikenali, terutama oleh kakitangan baru.

Hari-hari terawal saya lalui dengan merintis perjalanan baru, almaklumlah sebuah suratkhabar baru berbahasa Malaysia sepenuhnya. Mesti disertai dengan kelainan dan pembaharuan untuk membina identiti dan imej tersendiri.

Setelah kira-kira sebulan membuat persediaan, memerah kudrat dengan semangat jitu, akhirnya penerbitan pertama menemui pembaca pada 2 Januari 2008. Penerbitan itu diusahakan pada 1 Januari, pada ketika semua orang bercuti rehat menyambut kedatangan hari pertama tahun baru.

Masa pantas berlalu.Tanpa disedari pada 10 April ini, genap sudah 100 hari akhbar bahasa Malaysia pertama di Sabah ini menemui pembacanya.

Diimbau kenangan di sepanjang laluan ini, terasa banyak sungguh pengalaman yang menyeronokkan. Seperti yang saya nyatakan awal-awal tadi – tentang kisah kasih -- segalanya saya temui di sini, yang menjadi kenangan terindah dan tidak mungkin terpadam sampai bila-bila.

Waktu pun terus berputar cepat. Para petugas dan kakitangan begitu komited, dedikasi dan cukup bersemangat untuk sama-sama menghasilkan sebuah penerbitan suratkhabar terbaik. Saya berusaha memimpin mereka, menurunkan sedikit demi sedikit ilmu dan pengalaman saya, Dan ternyata sekali, dalam tempoh tidak sampai 100 hari, mereka telah dapat menonjolkan hasil penulisan yang terbaik dan saya yakin mereka sudah mampu untuk berdikari.

Minggu-minggu terawal memimpin kakitangan baru memang ada cabarannya. Tetapi di sebalik cabaran itu, banyak juga cerita lucu dan menarik mereka bawa setiap kali balik daripada tugasan yang diberi. Antara perkhabaran menarik yang mereka bawa, sama ada daripada tugasan politik atau tugasan am, ada saja orang yang berkirim salam dengan Lichong Angkui, kerana mereka mendakwa sememangnya mengenali beliau Yang lucunya juga banyak. Terbaru, seorang daripada mereka memberitahu saya bahawa ada orang politik yang ditemui bertanya siapakah yang memberi tugasan dan membuat `editing’ bahan yang ditulis. Apabila diberitahu bahawa namanya Lichong (mungkin bunyinya Lee Chong), orang politik itu bertanya semula “Dia orang Cina kah?” kerana barangkali hairan bagaimana seseorang yang berbangsa Cina boleh menjadi pengarang berita akhbar berbahasa Melayu.

Itulah antara kisah dalam babak kehidupan sepanjang kehilangan saya dari alam maya ini.

Kini, akhbar berbahasa Melayu itu sudah bertapak kukuh dan menjadi pilihan utama di Sabah, Saya menumbang gembira kerana menjadi sebahagian daripada penerajunya. Tetapi kejayaan ini tidak datang dengan sendirinya. Kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan seluruh warga kerja organisasi ini.

Saya harus memberi penghargaan setinggi-tingginya pada setiap kakitangan, terutama kalangan wartawan, baik yang lama mahupun yang baru, yang tidak pernah jemu-jemu berusaha meningkatkan kualiti dan produktiviti. Para wartawan yang cukup dedikasi inilah sebenarnya berhak untuk diberi pujian dan penghargaan. Saya hanyalah insan kecil, yang hadir sekadar menjana segala kekuatan yang mereka miliki. Biarpun saya berada di hadapan, jika tiada sebuah angkatan pasukan segagah ini, tidak mungkin akhbar ini boleh muncul sebagai yang terbaik.

Selepas melepasi cabaran 100 hari pertama, kini terbentang cabaran 100 tahun di hadapan. Dengan semangat yang ditunjukkan oleh para kakitangan, saya cukup yakin mereka sudah mampu untuk berdikari meneruskan cabaran dunia persuratkhabaran biarpun tanpa bimbingan saya selepas ini. Emel: ichong69@yahoo.com
Category: General
Posted by: keruak


Saya meminati lagu-lagu Ebiet G Ade, penyanyi tersohor dari negara tetangga kita, Indonesia. Bukan kerana saya tidak patriotik untuk mencintai lagu-lagu tempatan. Tapi saya meminati Ebiet kerana bait-bait lagunya cukup puitis, sehingga mengamit naluri pendengar seperti saya dan mereka yang berjiwa sensitif.

Malam tadi, ketika berjalan-jalan di Kompleks Karamunsing (di bandar raya Kota Kinabalu) bersama isteri dan anak-anak, saya sempat menggapai sebuah karaoke CD kompilasi lagu Ebiet berjudul `The Best of Ebiet G Ade’. Satu daripada lagu di dalamnya `Berita Kepada Kawan’ merupakan `caller ring-tone’ telefon bimbit saya sejak beberapa bulan yang lalu.

Seperti tajuk lagu itu, saya ingin menyampaikan berita kepada kawan-kawan tentang pemergian saya dari ruangan ini dalam masa kira-kira seminggu lagi dari tarikh tulisan ini dimuatkan. Biarpun ini satu pemergian yang pasti, namun penghujungnya belum ada kepastian lagi. Biarpun perpisahan ini sesuatu yang direlakan, tetapi ia sebenarnya sesuatu yang sungguh menyayat perasaan.

Oleh kerana pemergian saya ini adalah pemergian yang abadi, luangkan sedikit waktu membaca catatan terakhir ini, semoga di celah-celah daun ungkapan dapat dilihat kilau sinarnya seperti butiran embun pagi di hujung daun dipancari sang mentari.

Rupanya sudah lebih setahun masa melewati perjalanan saya bersama www.Keruak.Com ini. Sungguh pantas waktu berputar. Tidak terasakan. Semacam baru saja laman maya ini menemui sekalian sahabat dan kawan-kawan.

Sepanjang tempoh setahun berkelana di sini, pelbagai peristiwa saya alami. Sungguh tebal pengalaman saya kutip, begitu banyak kenangan saya perolehi.

Setiap kampung dan lembah yang saya jejaki dan setiap masyarakat yang saya akrabi, ada saja kenangan terpintal erat yang terlalu mustahil untuk dipadamkan. Penghormatan masyarakat, penghargaan kenalan serta sanjungan kawan-kawan, mengajar saya tentang erti sebuah persahabatan. Tidak hairanlah jika saya benar-benar merasakan pemergian ini sesuatu yang sungguh nostalgik. Dan adalah suatu pembohongan yang ketara jika saya menyatakan langkah perpisahan ini sesuatu yang pantas diputuskan. Ia adalah suatu langkah longlai, yang diiringi derai rasa syahdu dan linangan rindu yang teramat sangat.

Kepada majikan saya, Datuk Seri Salleh Said, sesungguhnya banyak budi saya terhutang dengannya. Banyak jasa yang tidak mungkin dapat dibayar. Lebih penting, banyak ilmu saya pelajari – tentang erti kehidupan, tentang makna perjuangan dan tentang harga sebuah persahabatan. Beliau bukan sekadar seorang majikan buat saya, tetapi sebenarnya seorang rakan dan sahabat yang begitu memahami dan sentiasa prihatin.

Saya pasrah kepada hakikat bahawa manusia, sebagai makhluk sosial, sudah terpatri jiwa kebersamaan antara sesama insan. Maka dalam keadaan sedemikian, keinginan untuk memberikan yang terbaik kepada orang lain (selain kepada diri sendiri) menjadi cita-cita mutlak bagi semua umat manusia.

Sebagaimana keperibadian Datuk Salleh, begitu juga dengan Datin Seri Hajah Raya Erom -- jiwa halusnya benar-benar menyentuh kami sekeluarga, apabila mengirim makanan hasil kerja tangan sendiri, ketika isteri saya dirawat di hospital dan kemudian selepas isteri saya dibenarkan balik ke rumah. Ini semua menambahkan lagi jalinan keakraban saya dengan mereka.

Jika dihimpun diari perjalanan setahun bersama Datuk Salleh, ia boleh menghasilkan sebuah novel bersiri.

Nostalgianya sama seperti ketika saya meninggalkan Berita Harian pada awal tahun lepas, setelah mengharungi kehidupan selama 22 tahun dengan akhbar arus perdana itu. Bayangkanlah bagaimana intim kebersamaan itu --- yang saya akui sendiri sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.

Justeru, adalah tidak adil jika saya tidak memberi ucap penghargaan kepadanya atas segala limpah rahmat yang dihulurkan.

Selama bersama Datuk Salleh, saya dapat memahami dan menyelami sifat serta karektornya secara lebih dekat lagi. Rupanya, banyak sifat kepimpinanya yang tidak diketahui umum. Paling ketara, Datuk Salleh seorang yang mementingkan ketepatan masa (punctuality); kedua dia tahu menghargai jasa dan sumbangan seseorang tanpa perlu diperingatkan; dan ketiga, beliau mengenali hampir keseluruhan pengundinya di kawasan Parlimen Kota Belud.

Saya katakan demikian kerana sudah teruji dan teruja sendiri dalam semua perkara itu. Bukan retorik, tetapi adalah kisah benar.

Saya ambil satu cerita bagaimana beliau tidak berkompromi soal masa. Suatu hari pada bulan Ramadan tahun lepas (2006), saya sepatutnya bersama beliau berkunjung ke sebuah kampung di Pulau Gaya untuk menghantar sumbangan berbuka puasa. Mengikut jadual, kami bertolak dari jeti Kota Kinabalu jam 11 pagi, tetapi kesesakan lalu lintas memerangkap saya di tengah perjalanan.

Tepat pada waktu bertolak, bot khas meninggalkan jeti kerana penduduk di kampung tersebut sedang menantikan ketibaannya. Sesampai saya di jeti, hanya buih-buih ombak dari terjahan enjin bot yang kelihatan. Bot khas tersebut baru berlepas. Saya kemudian mendapatkan sebuah bot nelayan dari jeti berhampiran dan meminta dihantar ke Pulau Gaya, tetapi pada ketika itu, bot yang dinaiki Datuk Salleh sudah pun hilang dari pandangan – entah di teluk mana destinasi dituju.

Akibatnya, bot yang saya naiki tersesat laluan. Hanya setelah kira-kira 20 minit berpusing-pusing, barulah kampung yang dilawati itu ditemui. Selepas membayar tambang tiga kali ganda yang diminta pemandu bot, saya bergegas turun dan ketika melangkah masuk ke balai raya di kampung tersebut, Datuk Salleh sedang duduk di situ bersama pemimpin lain. Dia kelihatan tersenyum dan gembira melihat kedatangan saya.

Peristiwa kedua berlaku pada suatu malam, ketika kami menghadiri satu majlis di Kampung Labuan, Kota Belud, salah seorang daripada lelaki dewasa yang mengadakan persembahan `Syair Kubur’ dilaporkan meninggal dunia pada subuh esoknya.

Keesokan harinya, saya cuba memberi gambaran kepada Datuk Salleh mengenai lelaki yang saya syak meninggal dunia itu dan menyatakan bahawa saya ada merakam fotonya ketika membuat persembahan. Tetapi Datuk Salleh bertegas bahawa orang yang saya maksudkan itu tidak betul, kerana beliau kenal orang yang meninggal dunia itu biarpun ramai yang membuat persembahan pada malam tersebut. Itulah istimewanya Datuk Salleh – beliau kenal hampir keseluruhan pengundinya.

Kepada pemimpin dan kawan-kawan yang banyak membantu, beliau tahu cara menghargai jasa mereka. Saya percaya, yang mengenali beliau, akan mengetahui caranya.

Sebenarnya, keterlibatan saya secara aktif bersama Datuk Salleh hanya bermula enam bulan selepas saya meninggalkan Berita Harian pada Februari 2006. Begitupun, saya sudah mengenalinya secara peribadi jauh lebih lama daripada itu.

Terus terang saya katakan bahawa pengamatan saya terhadap beliau tidak berubah – sama ada dari perspektif sebagai seorang wartawan yang melihatnya dari luar sebelum ini atau sebagai petugasnya yang melihatnya dari dalam kehidupan yang lebih dekat.

Dari sudut pandangan bebas sebagai seorang wartawan sebelum ini, saya melihat Datuk Salleh sebagai seorang politican luar biasa dan memiliki aura dan imej tersendiri, yang sentiasa berdetik dengan pemikiran-pemikiran serta idea baru.

Bukan maksud saya untuk memberi pujian berlebihan, tetapi itulah realiti sebenar. Apatah lagi, sepanjang 22 tahun berkhidmat sebagai wartawan akhbar arus perdana (1984-2006), saya menyaksikan sejarah peralihan tiga fasa pemerintahan (Berjaya, PBS dan BN-Umno) dengan sembilan Ketua Menteri, termasuk tujuh Ketua Menteri menerusi sistem penggiliran sebelum dihapuskan pada 2005.

Peralihan kepimpinan itu membolehkan saya membuat penilaian sendiri bersandarkan kepada pemerhatian dan pengalaman tugas sebagai wartawan.

Sewaktu Datuk Salleh menjadi Ketua Menteri (1994-1996), saya tidak begitu rapat dengannya. Kebetulan pada waktu tersebut, saya bertugas di Kuala Lumpur. Namun biarpun jauh dipisahkan oleh Laut China Selatan, saya tetap mengikuti perkembangan politik Sabah dan Datuk Salleh secara peribadi pada waktu itu. Dia bagaikan sebutir mutiara yang pasti berkilau jika digilap dan diletakkan di tempat yang sepatutnya.

Justeru, dengan paparan cerita-cerita ini, mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa saya harus pergi dan mengucapkan selamat tinggal.

Sebenarnya, saya dipanggil untuk menggalas cabaran sebuah suratkhabar yang melakukan proses pembaharuan besar-besaran mulai awal tahun depan. Bermakna, saya akan kembali ke dunia persuratkhabaran – yang menjana kehidupan saya sejak selepas tamat persekolahan dahulu.

Saya memaklumkan tawaran tersebut kepada Datuk Salleh menjelang dinihari minggu lepas, kemudian disusuli pertemuan empat mata keesokan harinya di Desa Ria. Tetapi dalam pertemuan tersebut, kami tidak duduk berhadapan kerana saya sendiri tidak sanggup untuk berhadapan dengan situasi seperti itu. Saya mengucapkan berulang kali terima kasih kepadanya. Tetapi saya tidak bersalam dengannya ketika meninggalkan kediaman beliau kerana saya tidak mahu salam tersebut dianggap sebagai salam perpisahan. Saya mahu terus bersama beliau atas paksi persahabatan.

Itulah keputusan yang saya sampaikan kepada Datuk Salleh – saya memilih persahabatan untuk terus bersama beliau kerana saya yakin, saya akan menjadi lebih akrab dengannya sebagai seorang sahabat. Bagi saya, `mencari seorang sahabat begitu sukar berbanding mencari seribu musuh’. Seorang sahabat tidak akan membiarkan kita jatuh tersungkur, sebaliknya dia tampil datang menghulur tangan dan memimpin kita untuk terus berjalan ke hadapan.

Benarlah `perjalanan ini, terasa sangat menyedihkan’ (petikan dari lirik lagu Berita Kepada Kawan) dan anda akan mendengarnya apabila menelefon saya. Tetapi saya percaya, sahabat yang baik akan menyuluh haluan menelusurinya sehingga kita melepasi perjalanan yang menyedihkan itu.

Sudah tentu tiga bulan ke hadapan ini adalah waktu sangat mencabar. Jika saya terlupa mengutus salam, bukan bermaksud saya sengaja memencilkan diri.

Kepada kawan-kawan yang setia mengikuti laman ini, terima kasih atas sokongan anda. Ramai juga memberikan pelbagai pandangan, termasuk menerusi emel. Dan berikut satu daripada emel yang saya terima pada awal bulan ini (November) bertajuk “Surat kepada sahabat yang sudah lama tidak ditemui”.

Ketika bertemu secara tergesa-gesa dengan saudara di hadapan sebuah supermarket beberapa bulan lalu, saya masih ingat gerimis turun perlahan-lahan dan malam seperti menunggu kedinginan yang turun bersamanya. Saya masih ingat saudara membawa mansukrip buku yang mungkin kini sudah diterbitkan. Saya juga masih ingat saudara sempat bercakap ringkas tentang susah payah menerbitkan buku dan saya menyambutnya dengan gelak tawa yang mungkin mengundang perasaan nostalgik yang lain.
Saya memang ingin menemui saudara selepas itu, tetapi kesempatan selalu tidak mengizinkannya dan ruang yang dianugerahkan selalu sahaja dierebut pelbagai kegiatan lain, yang menuntut kita melupakan seketika suara hati kita - 'Untuk bertemu dengan kawan-kawan atau sahabat yang lama tidak ditemui' - demi untuk meneruskan kehidupan.
Saya juga masih ingat, saudara ada memberitahu saya agar rajin-rajinlah menjenguk tulisan saudara dalam website www.keruak.com di mana saudara menulis dalam ruangan "Gerbang Baru". Memang saya hendak melayari ruangan saudara itu dan mahu membaca tulisan-tulisan saudara yang selalunya bernas.
Saya selalu terbayangkan tulisan-tulisan saudara di dada akhbar suatu ketika dahulu. Saya memang merinduinya, tetapi selalu sahaja hasrat itu tertangguh. Sehinggalah saya menghadiri 'Hari Sastera' di Pahang pada 25 hingga 28 Oktober 2007. Saya teringat kembali kepada saudara. Rasanya ingin bertanya khabar kepada saudara. Tetapi itu pun tidak terlaksana.
Walau bagaimana pun, semalam, selepas kembali dari menghadiri 'Hari Sastera' itu dan sebaik-baik sahaja turun dari kapal terbang, saya terus bergegas pula ke Membakut, kerana Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) yang saya terajui turut terlibat dengan penganjuran Malam Haflah Walimah sempena majlis perkahwinan YB Arifin Arif. Maka, saya teringat kembali kepada saudara. Kehadiran saya di daerah kelahiran saudara itu, sekali lagi mengingatkan saya kepada saudara.
Lalu pagi ini, saya membuka komputer saya di rumah dan terus membuka ruangan saudara dalam "Gerbang Baru". Tahniah!. Memang banyak perkara yang saudara tulis dalam ruangan itu. Tentang rakaman kehidupan dan perjalanan saudara sehari-hari dan perkongsian hidup dengan beberapa orang keluarga dan sahabat yang membawa makna sentimental tersendiri. Saya memang sangat berbesar hati dengan tulisan-tulisan saudara dalam ruangan itu. Mudah-mudahan, pada masa akan datang, saudara juga akan menulis tentang rencah politik dan pelbagai isu yang berlaku di sekeliling kita.
Jangan lupa, saya menganggap saudara adalah antara wartawan yang suatu ketika dahulu mempunyai pandangan yang tajam dan sangat menarik terhadap pelbagai isu dan harapan saya, agar kelebihan yang saudara miliki itu akan diteruskan selagi hayat dikandung badan.
Sekali lagi tahniah! Teruslah menulis. Daripada sahabat saudara yang tak sepertinya, JASNI MATLANI.


Transisi pekerjaan saya, dari suratkhabar ke alam maya dan kini kembali ke dunia asal, adalah proses biasa dalam mencari sebuah kehidupan. Jika saya diberi pilihan antara kerjaya dan persahabatan, saya tidak akan memilih salah satu daripadanya. Saya akan memilih kedua-duanya sekali. Demikianlah buat Datuk Salleh, kalau boleh saya akan memilih demikian juga. Tetapi batasan kerja tidak memungkinkan kita memilih kedua-duanya sekali. Justeru, saya memilih persahabatan untuk terus kekal bersamanya.

Rasanya berat hati untuk memberi noktah di sini. Tapi, cukuplah tulisan ini berakhir di sini dengan huluran tangan penuh kasih dan kemaafan kepada semua. Esok masih ada, mudah-mudahan kita dipertemukan lagi dalam kesempatan yang lain pula. Selamat Tinggal Gerbang Baru – sebuah nama yang akan berakhir di sini. Emel: ichong69@yahoo.com


Category: General
Posted by: keruak

KETIKA diundang memberi ceramah mengenai asas kewartawanan oleh Pergerakan Puteri Umno Sabah tidak lama dulu, saya memberikan sebanyak mungkin tips penulisan kepada peserta. Selain ilmu dan prinsip kewartawanan yang patut dipatuhi, saya juga memberikan mereka sedikit petua dan pantang larang berdasarkan pengalaman yang saya lalui sendiri.

Oleh kerana topik yang diberikan kepada saya agak mudah, iaitu mengenai asas penulisan kewartawanan (dan masa tiga jam pula begitu lama), maka saya mengambil kesempatan itu memberikan mereka sedikit motivasi mengenai tanggungjawab sebagai pemimpin muda melapisi generasi semasa.

Salah satu tips yang saya berikan ialah bagaimana seseorang perlu bekerja, sama ada dalam perkhidmatan awam dan swasta mahupun politik.

Namun, disebabkan rata-rata peserta terdiri daripada rangkaian politik (iaitu pemimpin Puteri di peringkat bahagian seluruh Sabah), maka percakapan saya banyak berkisar kepada soal perkhidmatan dalam politik.

Saya menyatakan bahawa seseorang yang bekerja mesti berusaha dengan sepenuh komitmen ke arah memberi kepuasan – baik kepada diri sendiri, mahupun organisasi dan majikan. Jangan sekali-kali bekerja untuk mencari populariti atau memburu pengiktirafan, kerana kedua-duanya (populariti dan pengiktirafan) akan datang dengan sendirinya selepas kita membuat kerja yang cukup memuaskan.

Saya katakan kepada mereka juga bahawa tanggungjawab seorang wartawan dengan tanggungjawab seorang pemimpin politik tidak jauh perbezaannya.

Malahan, kedua-dua `lesen wartawan’ dan `lesen politik’ mempunyai kedudukan yang istimewa. Ada tempat yang orang lain tidak boleh memasukinya (misalnya tempat bencana alam), wartawan dan orang politik akan diizinkan masuk. Ada majlis yang orang lain tidak boleh hadir (misalnya bilik sidang akhbar pemimpin tinggi parti pemerintah), `lesen wartawan’ dan `lesen politik’ boleh menembusi pintu bilik persidangan.

Kerja wartawan dan kerja orang politik pun hampir sama – memberi khidmat terbaik kepada masyarakat dengan berpaksikan kepentingan negara, bertunjangkan kepimpinan kerajaan dan berlandaskan kepentingan umum. Tidak memudaratkan keselamatan, tidak menganggu keamanan dan tidak memporak-perandakan keharmonian yang sedia terjalin di kalangan masyarakat yang bersilang budaya.

Sebab itu, wartawan dan orang politik perlu bekerja untuk mencari kepuasan, bukan memburu pengiktirafan. Wartawan harus menulis secara proaktif (misalnya membela nasib masyarakat) dan apabila tulisan itu mendapat reaksi positif pihak berkuasa, sudah tentu wartawan mendapat kepuasan dalam kerjanya.

Begitu juga bagi orang politik (biar sekecil manapun jawatan, seperti jawatankuasa Puteri di peringkat cawangan sebuah kampung yang kecil), perjuangan membela masyarakat di sekeliling tempat yang diwakili mesti dilakukan secara berterusan dan apabila perjuangan tersebut membuahkan hasil, sudah tentu kita akan merasakan satu kepuasan yang mendalam.

Seorang wartawan tidak perlu memperkenalkan dirinya sebab orang akan mengenalinya melalui tulisan yang dihasilkan.

Demikian juga bagi mereka yang bergelar orang politik, mereka tidak perlu memperkenalkan siapa dirinya dan apa jawatan yang disandangnya. Cukup sekadar melakukan kerja dan tanggungjawab diamanahkan dengan sejujur dan seikhlas, supaya pada akhirnya mendapat kepuasan dalam perjuangan.

Seperti saya sebutkan awal-awal tadi, setelah membuat kerja yang cemerlang dan memuaskan itu, pengiktirafan akan datang dengan sendirinya.

Sebagai wartawan, pengiktirafan datang dengan pelbagai cara – penghargaan masyarakat, penganugerahan hadiah (misalnya menerusi anugerah tahunan dan yang tertinggi ialah Hadiah Kajai) dan seumpamanya.

Sebagai orang politik pula, pengiktirafan juga datang dengan bermacam cara – kenaikan pangkat, pelantikan ke jawatan lebih mencabar atau penganugerahan darjah dan pingat kebesaran negeri atau negara.

Begitupun, tidak semua wartawan dan orang politik yang dapat memegang sifat sabar dalam menantikan pengiktirafan. Ada yang gelojoh, maka mulalah angkat kaki dan membodek sasaran, sama ada menerusi tulisan atau persatuan/organisasi yang dipimpin.

Apabila ini berlaku, bermakna perjuangannya tidak ikhlas dan pengiktirafan yang diperolehi pula bukanlah terhasil daripada titik peluh keikhlasan, tapi sekadar suatu imbuhan atau ganjaran daripada kempen angkat kaki dan bodek.

Sepanjang pembabitan saya dalam dunia kewartawanan, saya mengenali banyak karektor wartawan dan politican.

Ada wartawan yang bekerja atau menulis untuk mencari nama dan pengiktirafan saja. Maka, apabila nama atau `by-line’ tersiar dalam akhbar, mulalah heboh ke hulu-hilir. Malahan siap pula membuat simpanan keratan tulisan yang dihasilkan itu, kononnya untuk dipertandingkan dalam anugerah kewartawanan di penghujung tahun. Wartawan seperti ini bolehlah dikategorikan sebagai `bekerja untuk mencari nama’ dan bukan seorang wartawan sejati.

Tetapi, ada juga rakan wartawan yang sibuk tercari-cari artikel yang hendak dipertandingkan menjelang tarikh akhir untuk menghantar borang penyertaan anugerah kewartawanan. Wartawan seperti ini adalah yang dedikasi dalam kerjanya dan dalam kategori `wartawan sejati’ iaitu dia menjalankan tugasnya bukan untuk mengejar nama, populariti atau pengiktirafan.

Juga dalam rangka saya menjalankan tugas-tugas kewartawanan, saya bertemu dengan ramai politican. Rata-rata mereka ini mahukan publisiti yang baik-baik saja. Tapi, sebagai pelapor berita, tidak semua kehendak politican ini dapat dipenuhi. Ada cerita menarik mengenai pengalaman dipanggil `menghadap’ seorang politican yang akan saya ceritakan dalam fokus tulisan saya yang akan datang.

Sebagai wartawan dan sebagai politican, satu prinsip yang mesti kita pegang ialah jangan sekali-kali mengulangi sesuatu kesalahan. Ia akan menyebabkan maruah tercabar, jati diri menjadi pudar dan kredibiliti dipersoalkan.

Saya nyatakan perkara ini berdasarkan satu mutiara kata yang pernah saya baca, berbunyi: “Melakukan kesalahan adalah perkara biasa, tetapi mengulangi kesalahan adalah satu dosa.” Kita perlu belajar daripada peristiwa yang sudah berlalu, kemudian memberi fokus kepada persoalan semasa, dan merencana tentang masa hadapan.

Wartawan dan politican adalah kelompok manusia yang bijaksana. Dan seorang manusia yang bijak akan memikirkan sesuatu perkara yang mudah itu sebagai suatu perkara yang sukar. Dengan demikian, dia akhirnya akan memperolehi hasil secara maksimum.

Kehebatan seseorang wartawan dan kehebatan seseorang politican hanya dapat diketahui setelah melalui pelbagai cabaran. Jika tidak menempuh ujian kehidupan, belum diketahui kehabatannya, sebagaimana sebutir permata yang tidak akan nampak berkilau dan berkilat tanpa digosok.

Akhirnya, dalam suasana menjelang ketibaan Aidilfitri ini, marilah kita merenungi dan mengingati rahmat yang dilimpahkan kepada kita pada hari ini, yang turut diperolehi dengan banyaknya oleh setiap manusia, dan bukannya mengenang semula segala nasib malang di masa silam, yang turut dilalui oleh semua manusia. Emel: ichong69@yahoo.com

Category: General
Posted by: keruak

Jika dihitung perjalanan waktu, tentu tidak terasa setahun berlalu. Begitu pantas masa mencemburui. Begitu cepat hari berputar. Siang malam berpusing silih berganti seperti tidak terasakan jaraknya lagi.

Semacam baru seketika saya memimpin tangan anak meninjau bazaar Ramadan yang lepas, kini Ramadan muncul lagi untuk kesekian kalinya. Semacam baru sangat saya hadir majlis berbuka puasa di Desa Ria, kelmarin saya ke sana lagi untuk majlis serupa pada musim baru ini.

Demikianlah cepatnya masa berlalu. Ia tidak menunggu sesiapa. Ia beredar dan terus beredar, membawa penuaan usia setahun demi setahun. Seharusnya, masa itu wajar dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Setiap detik, setiap ketika begitu tinggi harganya. Jika masa terlepas, bermakna peluang akan terbuang. Hanya yang tahu menghargai masa tidak akan tercicir atau terbuang begitu saja.

Kepada teman-teman yang singgah di laman ini, terimalah ucapan Salam Ramadan seikhlasnya dari saya dan keluarga. Semoga kita semua terus dimurahkan rezeki.

Ramadan kali ini nampaknya berskala sederhana – baik kepada peniaga mahupun pengguna. Mereka nyata lebih berhati-hati.

Kesempatan meninjau beberapa bazaar Ramadan sekitar bandar raya Kota Kinabalu sejak beberapa hari lalu mendapati peniaga mengambil sikap meminimumkan kos dalam perniagaan, manakala pengguna mengambil sikap berhemah dalam perbelanjaan.

Di satu lokasi bazaar, juadah dijual memang banyak dan pelbagai, tetapi peniaga tidak lagi memasak dalam jumlah atau kuantiti yang banyak bagi setiap menu – sama ada lauk pauk mahupun kuih-muih.

Begitu juga pengguna, pemerhatian mendapati mereka tidak lagi membeli sesuatu makanan dengan jumlah yang banyak sebagaimana kebiasaannya. Kalau dahulu, kita lazim menyaksikan pengguna `memborong’ apa saja yang dijual di bazar Ramadan setiap petang, tetapi kini mereka hanya kelihatan memegang bungkusan plastik kecil-kecil saja. Mereka membeli dalam kuantiti ala kadar.

Peniaga mengambil sikap berhemah dengan tidak memasak terlalu banyak bagi sesuatu menu, mungkin takut tidak habis terjual. Apabila tidak terjual, bermakna pendapatan berkurangan. Justeru, untuk memastikan tidak berlaku pembaziran, maka lebih `selamat’ menjual dalam kuantiti yang sedikit.

Kebanyakan peniaga juga didapati tidak menggaji pekerja tambahan bagi membantu perniagaan di bazaar Ramadan. Mungkin mahu mengurangkan kos upah pekerja. Ramai yang berniaga dibantu ahli keluarga masing-masing.

Apapun, suasana Ramadan kali ini tetap dapat dirasai kemeriahannya. Ini kerana beberapa bazaar Ramadan yang sempat disinggahi sejak beberapa hari lalu, mendapati jumlah pengunjung tetap ramai seperti tahun-tahun sebelumnya.

Malah, kehadiran pengunjung yang begitu ramai turut menyebabkan kesesakan lalu lintas pula. Misalnya di kawasan Kompleks Asia City di pusat bandar raya, pekan Tanjung Aru dan Putatan serta Medan Selera Kem Lok Kawi.

Ini kerana pengunjung bazaar Ramadan bukan setakat umat Islam saja, tetapi juga masyarakat bukan Islam – seperti Cina, Kadazandusun/Murut, India dan sebagainya – yang sama-sama mengambil kesempatan mendapatkan pelbagai juadah istimewa yang dijual oleh masyarakat Islam.

Kehadiran mereka ini adalah manifestasi perpaduan dan lambang keharmonian masyarakat majmuk negara ini.

Sekalipun berlainan fahaman dan kepercayaan, namun rakyat tetap bersatu padu, saling bertegur sapa dan sentiasa bertoleransi. Inilah keunikan warna-warna kehidupan bangsa Malaysia, sebagaimana tertulis dalam rangkap pertama lagu Malaysiaku Gemilang berbunyi:

Marilah kita semua
Atas nama negara bangsa
Dengan tekad mulia
Maju berwawasan
Mencipta keagungan
Category: General
Posted by: keruak

Hari Jumaat, tanggal 31 Ogos, cuaca bagus sekali. Tidak terlalu panas, tidak juga hujan seperti beberapa hari sebelum itu. Sangat sesuai jika keluar bersantai. Tapi saya agak kepenatan, lalu memberitahu anak-anak (yang pada awalnya mengajak jalan-jalan meronda pusat beli-belah di bandar raya Kota Kinabalu sempena cuti merdeka) supaya kami santai di rumah saja. Mereka tidak membantah, maka kamipun membakar arang – BBQ ikan, udang dan ayam. Itulah sambutan mini kami sempena kemerdekaan negara ke-50 tahun ini.

Dalam sibuk mengatur makanan, kedengaran jelas deruman enjin pesawat pejuang yang sangat mengegarkan. Bukan melintasi bumbung rumah kami (yang kebetulan selang sekilometer jaraknya dari markas tentera darat di Kem Lok Kawi), tetapi menerusi televisyen yang memancarkan siaran secara langsung sambutan Hari Kemerdekaan dari Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, di seberang Laut China Selatan.

Tiada tetamu lain diundang. Kami berlima dan seorang pembantu rumah yang bakal menikmati hidangan itu. Anak-anak begitu seronok diizinkan mengurus BBQ, terutama yang sulung dan bongsu. Sementara anak yang kedua lebih banyak duduk di hadapan televisyen, terpaku melihat pertunjukan pesawat pejuang yang melakukan formasi menarik terbang lintas di ruang udara Kuala Lumpur pada sambutan di Dataran Merdeka.

Pertunjukan pesawat-pesawat pejuang berenjin supersonik, termasuk tiga jet Sukhoi yang baru dimiliki Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) begitu menakjubkan, sekali gus melambangkan kemajuan Malaysia yang sudah 50 tahun merdeka, bebas daripada belenggu penjahahan kuasa asing.

Memangnya negara kita sudah membangun. Memang pun kita sudah melangkah jauh ke hadapan. Dan memang pun negara kita semakin tersohor, dikenali dan disegani seluruh dunia. Terimakasih kepada pejuang kemerdekaan masa silam, kerana berkat perjuangan itu, kita menuai hasilnya kini.

Lambang kemajuan negara terpancar di sana-sini. Ibu kota metropolitan dihias bangunan pencakar langit, disinari lampu neon (sehinggakan malam seperti siang), kereta-kereta nasional menjalari ke serata tempat hingga pelosok kampung, rumah-rumah para pembesar berdiri teguh bagaikan istana dan sekian banyak lagi lambang kemajuan, kemakmuran dan kemewahan hasil daripada kemerdekaan yang digapai.

Di hari kemerdekaan ke-50 ini, saya berasa sungguh bangga. Betapa kemerdekaan itu membawa makna seribu. Melihat situasi saat ini, mana mungkin ada yang mampu menafikan betapa kemerdekaan itu benar-benar merahmati. Betapa kemerdekaan itu sangat menguntungkan.

Kerana kemerdekaan itulah juga saya menjadi antara yang terawal dapat memandu Proton Saga pada tahun 1988, kemudian memiliki Kancil dan Kembara, semuanya buatan tempatan, dan kini dengan Toyota Avanza yang dipasang di negara sendiri.

Begitupun, di sebalik kehebatan laungan kemerdekaan itu, tidak dinafikan jua masih ada kelompok-kelompok kecil yang terus meraung sedih, menagih simpati dan pembelaan daripada pemimpin, pembesar dan kerajaan. Program `Bersamamu’ serta rintihan orang kampung yang sering diutarakan stesen televisyen swasta, adalah manifestasi betapa masih ada insan-insan yang memerlukan.

Pengalaman saya sebagai wartawan akhbar arus perdana selama 22 tahun turut membawa saya ke seluruh pelosok tempat, menyaksikan bermacam situasi kehidupan rakyat. Setiap tempat yang saya singgahi, setiap masyarakat yang saya temui di pelbagai bukit, lurah dan lembah yang saya turuni, ada cerita yang menagih belas kesihan.

Sebagai wartawan, saya mendekati masyarakat, saya mendampingi pemimpin. Saya menyalurkan suara hati rakyat untuk didengari pemimpin, kemudian saya menyampaikan mesej pemimpin untuk dituruti rakyat. Memang ada yang diatasi, namun ada juga yang tidak diberi perhatian. Lumrah kehidupan manusia.

Setiap kali saya pulang ke kampung, terkadang saya kesihan pada kereta buatan Malaysia yang saya pandu dan miliki. Apa tidaknya, dia terpaksa melalui jalan raya berlubang-lubang. Jalan masuk ke kampung saya yang tidakpun sampai empat kilometer dari lebuh raya Beaufort-Papar masih seperti keadaannya dahulu.

Kira-kira 30 tahun dahulu, laluan inilah tempat saya berjalan kaki setiap hari ke sekolah, mengalas beg penuh berisi buku dan air kosong sebagai bekalan. Cuma bezanya dahulu, jalannya bersalut lumpur dan kiri-kanan diliputi hutan belukar, tetapi kini jalannya sudah berbatu kerikil dan kiri-kanan pula dipenuhi ladang kelapa sawit.

Sudah sekian ramai pemimpin silih berganti, sudah tiga kerajaan bertukar memerintah, keadaannya masih tidak berubah.

Kini harapan tinggi disandarkan kepada wakil rakyat sekarang, seorang pemuda berjiwa rakyat, bersemangat kental dan berwawasan jauh. Jiwanya bersalut keprihatinan, nalurinya bersulam manik-manik keazaman. Saya yakin sungguh, cita-citanya amat tinggi untuk `memerdekakan’ warga Membakut dalam ertikata sebenar. Saya optimis dengan keyakinan ini kerana saya mengenalinya secara peribadi, bukan kerana kami sama-sama berminda seni, tetapi jauh lebih dari itu – kami kebetulan menuntut di satu sekolah sehingga ke peringkat menengah, sebelum beliau melanjutkan pengajian ke Mesir dan saya pantas memasuki alam pekerjaan.

Nun jauh di pelosok daerah lain, dari Kudat di utara hingga ke Pensiangan di pedalaman Sabah, masih ada lagi rakyat yang terkapai-kapai menanti pembelaan. Sedang warga di bandar meraih kemakmuran hidup dengan segala macam kemudahan, ramai juga yang tidak memiliki bekalan air dan elektrik, iaitua prasarana asas yang sewajarnya dinikmati di bumi merdeka ini. Kedaifan hidup pantas kita lihat jika masuk ke kampung-kampung.

Catatan ini hanyalah sebahagian daripada pengalaman dan pengamatan kecil saya. Namun, ia seperti dipersetujui oleh seorang pemuda bernama Ramlan dari Kota Belud yang menghantar emel kepada saya sehari selepas kemerdekaan, antara lain mesej beliau berbunyi: “Pada realitinya, ada antara kita di bumi Sabah ini tidak dapat memerdekakan diri dari belenggu kemiskinan. Tentu saudara terbaca kajian Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dibentang di Dewan Undangann Negeri (DUN) baru-baru ini dan berita kematian orang terbiar di Tuaran berusia 42 tahun mati kebuluran. Saya fikir tentu tajuk ini akan menarik perhatian untuk melihat sejauh manakah terisinya kemerdekan di Sabah?”

Natijahnya, pengisian kemerdekaan negara sangat penting, terutama bagi penduduk di kawasan kampung terpencil dengan membawa kemajuan dan kesamarataan pembangunan, supaya mereka benar-benar mendapat rahmat daripada hasil kemerdekaan yang dicapai selama ini. Pimpinan perlu melihat kedua-dua aspek pembangunan, sama ada secara makro atau mikro, supaya tiada yang merasakan diri mereka terpinggir dan tersisih atau dipinggir atau disisihkan.

Sememangnya, kemerdekaan ini sungguh merahmati jika ia mampu diterjemah dalam konteks lebih menyeluruh, tetapi ia tidak membawa apa-apa makna jika sekadar diisikan dengan laungan `Merdeka’.

Kini berakhir sudah sambutan kemerdekaan negara yang ke-50, tetapi perjuangan untuk membawa kemajuan tidak harus berhenti di sini. Perjuangan mesti diteruskan kerana langkah ke hadapan ini masih penuh dengan ketidaktentuan dan ketidakpastian serta kemungkinan yang sukar diramalkan. Salam Merdeka! Emel: ichong69@yahoo.com


Category: General
Posted by: keruak

Saya lahir kira-kira 18 bulan selepas pembentukan Malaysia pada 16 September 1963. Tetapi ayah saya sudah berusia 20 tahun ketika negara mencapai kemerdekaan pada 1957. Bapa kepada bapa saya pula pernah hidup dalam dua zaman penjajahan – British dan Jepun – tetapi anak-anak saya, iaitu cucu kepada bapa saya dan cicit kepada datuk saya, adalah generasi era globalisasi.

Saya adalah generasi pertama pasca merdeka, manakala datuk saya adalah generasi terakhir era kolonial. Saya tidak merasai hidup pada zaman datuk saya. Dia pula tidak menikmati hidup pada zaman saya. Hanya bapa saya yang merasai kehidupan dalam dua zaman yang berbeza itu – pra merdeka dan pasca merdeka.

Maaf kerana mukadimah artikel ini agak panjang berjela dan mungkin sedikit mengelirukan kerana berbentuk uji minda. Tapi, di sebaliknya ada fakta sejarah yang perlu diketahui oleh kita semua – fakta sejarah kemerdekaan negara kita.

Sesuai dengan suasana bulan kemerdekaan pada bulan ini, saya ingin berkongsi cerita mengenai kemerdekaan pada kali ini. Saya juga terpanggil menulis mengenainya lantaran beberapa sahabat blog turut memaparkan cerita sedemikian dalam tulisan terbaru mereka.

Dua sahabat saya, Jackson Sawatan (www.jsawatan.com) di Singapura dan Syabuddin Abdullah (http://duniabudin.blogspot.com) di Kuala Lumpur misalnya ada menulis mengenai cerita kemerdekaan. Kedua-dua artikel mereka akan saya perturunkan di penghujung nanti.

Sewaktu zaman kanak-kanak saya, bapa sering bercerita tentang zaman kanak-kanaknya sehingga remaja. Tentang keperitan hidup zaman itu. Tentang bahaya pada zaman penjajahan – semuanya adalah cerita nostalgia yang begitu menginsafkan.

Bapa saya menceritakan bagaimana bapanya serta-merta menyiram air pada dapur kayu api tempat memasak nasi pada suatu senja, apabila terdengar deruan bunyi enjin pesawat terbang rendah melintasi ruang udara kampung mereka – Kampung Piasau, sebuah kampung terpencil di daerah kecil Membakut, kira-kira 120 kilometer ke selatan Kota Kinabalu.

Kampung tersebut adalah laluan pesawat tentera dari arah Kota Kinabalu (Jesselton ketika itu) ke Pulau Labuan atau Sarawak.

Menurut bapa saya, mereka bertindak memadamkan api sebelum nasi sempat masak kerana bimbang pancaran cahaya api dapur tersebut dapat dilihat tentera penjajah dari pesawat yang melintas, lalu mengugurkan bom. Jika ada kerdipan api, tentera penjajah mesti mengesyaki kawasan itu ada penghuni.

Hanya setelah beberapa jam berlalu dan malam semakin pekat, tiada lagi kedengaran deruan enjin pesawat, barulah mereka memasak semula nasi tatkala perut sudah berkeroncong kelaparan.

Suatu lagi peristiwa yang masih diingat bapa saya ialah apabila tentera Jepun yang lengkap bersenjata memasuki kampung mereka – mengeledah rumah penduduk dan mengambil apa saja yang mereka mahu – golongan lelaki (termasuk bapa dan datuk saya) akan lari bersembunyi ke dalam hutan kerana takut diseret dan diseksa.

Hanya selepas merdeka, kehidupan penduduk mulai aman. Tetapi mereka terpaksa membina semula kehidupan dari sisa-sisa kesengsaraan yang dialami. Nasib baik sudah terbiasa dengan kehidupan kampung, maka keluarga bapa saya tidaklah terlalu susah untuk menyesuaikan diri dalam proses membina sebuah kehidupan baru di atas tanah merdeka.

Bapa saya pun berkahwin dengan ibu saya – disusuli dengan kelahiran kakak dan abang saya sebelum pembentukan Malaysia, manakala saya lahir kira-kira lima bulan sebelum Singapura bertindak meninggalkan gagasan Malaysia. Saya disusuli dengan kelahiran enam adik yang lain, tetapi seorang daripadanya meninggal dunia setahun selepas dilahirkan ketika zaman pemerintahan parti Berjaya.

Ketika di bangku sekolah, saya banyak menulis sajak dan pantun yang kebanyakannya berkisar kepada kehidupan di kampung. Sebahagiannya saya hantar ke akhbar tempatan pada waktu itu, Kinabalu Sabah Times, manakala sebahagian lagi saya tulis dalam sebuah buku sekolah – kononnya sebuah antologi tulisan tangan.

Setelah beberapa dekad berlalu, saya melihat semula puisi-puisi dan pantun dalam `antologi tulisan tangan’ itu dan yang disiarkan dalam Kinabalu Sabah Times, mendapati semuanya ada unsur-unsur jiwa patriotik. Saya tidak sedar ketika menulisnya dahulu, idea saya disaluti dendam kemarahan pada penjajah dan pemikiran saya pula dipengaruhi jiwa merdeka.

Misalnya, sebuah puisi bertajuk “Perjalanan” yang saya tulis ketika dalam tingkatan empat pada 1980, saya ada menggunakan ungkapan berikut:-

Kampung Tahak
Sakit kakiku memijak jalan penuh selut berduri
Menuju ke sekolah mengejar ilmu seribu
Bekalan hidup masa depan
Tidak lagi mahu mewarisi gersang hidup orang tua
Yang sengsara dari kebuasan penjajah
Lalu menderita jiwa di bumi sendiri

Tapi ku gagahi langkah dan semangat
Maka dalam dingin pagi, ku redahi jalan selut berduri
Demi menimba ilmu, mengejar sinar baru


Begitu juga dalam penghasilan pantun, saya melihat semula beberapa rangkap yang pernah saya tulis. Rupanya ada semangat patriotik terselit di dalamnya, seperti pantun berikut yang saya tulis pada 1979, berbunyi:-

Selipar Jepun peninggalan penjajah
Dipakai budak pergi ke kedai
Rajinlah belajar di bilik darjah
Supaya jadi budak terpandai

Dipakai budak pergi ke kedai
Untuk membeli sebungkus ragi
Bila menjadi orang yang pandai
Tidaklah kita dijajah lagi


Selepas tamat pendidikan menengah, saya menulis secara sambilan dengan akhbar Kinabalu Sabah Times. Pada 1983, saya menaiki kereta api dari Membakut ke Kota Kinabalu untuk menghadiri satu kursus penulisan.

Di situ, saya mengenali lebih ramai penulis tersohor waktu itu, termasuk Editor Sastera Kinabalu Sabah Times, allahyarham Bapak K Bali, serta penulis veteran seperti Haji Hussain Kasau, Emin Madi dan Surya Irawan.

Pengalaman dalam kursus penulisan itulah memupuk minat dan mengembangkan bakat saya dalam penulisan, yang kemudian melebar daripada genre puisi dan pantun kepada penulisan cerpen. Susulan itu juga, minat dalam penulisan fiksyen, berita dan rencana terus berputik dan akhirnya saya menjadikan kewartawanan sebagai profesion, bermula pada 1 Januari 1984 dengan akhbar nasional, Berita Harian.

Bercerita mengenai semangat merdeka, saya tertarik dengan tulisan sahabat saya, Jackson Sawatan menerusi laman webnya Pinakang yang menulis dengan tajuk `Happy Merdeka Day, And That Goes To You Too Mr & Mrs Dan Lain-Lain’
Berikut petikan dari tulisan beliau itu:-

“There’s only one Malaysia and there’s no such things as Malaysia proper and East Malaysia.

Yet I was made aware of the divide, if it can be called as one, when in the course of my tour of duties in Singapore, someone asked me if I come to Malaysia very often since Sabah, my homestate, was so far away… from Malaysia, I suppose.

I took that question as an isolated case — rather than as a general rule — of ignorance. Yet I can’t help but wonder where the division starts and where it would end This year, Malaysia celebrates its 50 years of nationhood.

History would show us that there was no Malaysia as a nation before September 16, 1963 — the day the Federation of Malay States; the two Borneoan states of Sabah and Sarawak; and the island state of Singapore came together to form a Federation called Malaysia.

Later in August 1965 though, Singapore left Malaysia in a mutually-negotiated separation to become an independent state.

The “divisions” might have started from the fact that our politicians did not choose to “honour” Malaysia Day right from Day One. It’s only now that we hear of efforts to accord September 16 some honour.

So perhaps that was why the Peninsula was perceived to be more Malaysia than its Borneoan counterparts.

Perhaps this lingering perception would always be there in our minds — like the low hum of an underground generator — that Malaysia consists first of those states in the Peninsula, while Sabah and Sarawak were just a portion of the real thing.

We, the Malaysians in Sabah and Sarawak, were the other Malaysians — the East of Malaysia, the “junior” Malaysia.

Heck, even the people of Sabah and Sarawak are invariably referred to as the “dan lain-lain” (and the others), remember?

And as the “dan lain-lains”, we can never be the real one.

But I won’t shed tears for 1963. We’ve got the future still; the many more years, decades and hopefully centuries of nationhood. The dynamics of history is still in the working.

So, on this occasion of Malaysia’s 50th Anniversary, let me wish you all Malaysians a Happy Merdeka Day. And that goes to you too Mr & Mrs Dan Lain-Lain.”


Sementara seorang lagi sahabat saya, Syabuddin Abdullah dalam kolum `Sembang Seronok’ pula memberi persepsi kemerdekaan seperti berikut:-

“Kali ini aku nak bawak cerita pasal kemerdekaan. Kisahnya lebih kurang sama dengan yang orang lain banyak bercakap tentang kemerdekaan.

Orang kita ni nampaknya terlebih merdeka. Atau ada kemungkinan tersalah mengerti tentang kemerdekaan. Mereka hanya tahu bahawa kemerdekaan adalah kebebasan. Bebas buang sampah merata tempat, bebas cari duit cara haram, bebas kutuk mengutuk sesama rakyat Malaysia, bebas dan segala-galanya bebas.

Bagi yang bawak kereta mereka fikir mereka bebas bawa laju di tempat yang sepatutnya perlahan, atau bebas bawa perlahan di tempat yang sepatutnya mereka bawa laju, sehingga menyusahkan pengguna lain.

Yang dibelikan motosikal oleh mak bapak pula fikir mereka bebas merempit.
Dan orang yang ada kedudukan pula berasa mereka bebas langgar undang-undang.
Tauke-tauke kedai bebas naikkan harga barang. Mamak-mamak kedai makan bebas kaut untung beratus peratus dengan kenaikan gaji orang kerajaan.

Mereka yang jahil dari segi agama pula fikir mereka bebas berzina, minum arak, hisap, telan dan suntik dadah. Itulah sebahagian pengertian kemerdekaan yang diketahui sebahagian rakyat Malaysia. Malang sekali.

Rasa-rasanya tidak perlulah kita habiskan berpuluh juta ringgit untuk buat acara sambut kemerdekaan. Kerana amalan itu juga merupakan sebahagian daripada salah anggap manusia tentang erti kemerdekaan.

Kerana semasa kerajaan habiskan berpuluh juta sambut kemerdekaan, rakyat buat kerja lain. Mat rempit akan gunakan kesempatan itu untuk tambah ahli. Muda-mudi gunakan kesempatan itu untuk tambah anak haram. Mereka berzina bawah pokok, atau bawah jambatan. Kerana ramai anak dara yang tak dapat pulang ke rumah apabila acara sambutan habis pada dinihari. Tiada lagi kenderaan awam. Yang tinggal kenderaan awang yang sanggup bawa mereka berfoya-foya. Fikir-fikirkan lah.

Pihak yang terbabit jangan hanya fikir nak cari nama dengan melibatkan acara-acara hiburan melampau semasa perayaan. memang kita tengok setiap tahun acara sambutan bertambah besar dan bertambah hebat. Tapi sedarkah kita setiap tahun juga masalah keruntuhan sosial meningkat lebih hebat.

Kalau kita asyik fikirkan acara-acara menarik, muda mudi juga fikirkan acara-acara menarik yang tersendiri. Contohnya, tarik seluar dalam anak dara.

Semasa kita berpuashati dengan acara-acara sambutan yang diatur, remaja juga berpuashati dengan kegiatan mereka yang tanpa batas kesusilaan. Kerana bagi mereka malam sambut kemerdekaan adalah malam untuk mereka bebas melakukan apa saja.

Hanya sebahagian kecil yang sambut kemerdekaan dengan membaca ayat-ayat suci al-quran dan berdoa supaya kemerdekaan yang kita kecapi sekarang berkekalan.

Penganjur Islam Hadhari kena fikirkan sama perkara-perkara ini. Modal Insan perlu dipertahankan supaya tidak menjadi modal insang.”
Emel: ichong69@yahoo.com